Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

‘Pai Ji Sa Chap’ Tradisi Berzaman Mohon Keberkatan

By 27 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Wee Kim Been (Kota Bharu)

MACHANG, 27 Jan (Malaysiaaktif)- Kemeriahan malam makan besar amat dinanti-nantikan oleh semua kaum Cina di seluruh pelosok dunia apabila tibanya perayaan Tahun Baharu Cina.

PAI JI SA CHAP

Wang disedekahkan kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia agar mereka lebih aman dan bahagia.

Walau bagaimanapun disebalik kemeriahan menikmati pelbagai hidangan dan juadah malam makan besar, satu upacara khas sebelum tibanya acara tersebut iaitu upacara Pai Ji Sa Chap turut diadakan.

Pai bermaksud sembahyang manakala Ji Sa Chap bererti hari 30 merupakan upacara sembahyang memohon keberkatan agar dilimpahi kemakmuran, kebahagiaan serta keharmonian setiap ahli keluarga.

Sebilangan besar masyarakat bandar hanya tahu meraikan malam makan besar sahaja, menjadikan tradisi ini semakin terhapus. Meskipun makin dipinggirkan, budaya ini masih diterapkan oleh masyarakat Tiong Hwa di sini.

Upacara ini turut disusuli dengan memohon keberkatan daripada roh ahli keluarga yang telah meninggal dunia, semoga setiap ahli keluarga dirahmati kebahagian dunia dan akhirat.

Penerapan nilai budaya sebelum menjelangnya malam makan besar ini, kini hanya dapat dilihat serta diterapkan di perkampungan tradisional masyarakat Tiong Hwa sahaja, khususnya masyarakat Tiong Hwa Peranakan Cina Kelantan.

Menurut Setiausaha Pertubuhan Peranakan Cino Kelantan, Tan Chin Hock, 52, bagi masyarakat Tiong Hwa yang berada di kampung, budaya ini masih diterapkan lagi, memandangkan ianya merupakan khazanah tradisi masyarakat Tiong Hwa sejak berzaman.

“Semasa upacara ini dilaksanakan semua ahli keluarga akan berkumpul sama ada yang jauh mahupun yang dekat bagi merapatkan ikatan kekeluargaan agar lebih erat,” jelasnya.

Menurut Chu Hun Tiu, 94, setiap tahun budaya  ini masih diteruskan oleh generasi pelapisnya walaupun sudah ramai ahli keluarganya yang telah berhijrah ke luar negeri demi mencari nafkah di ibu kota.

Makanan tradisi yang selalu dihidangkan seperti limau yang melambangkan kemewahan dan kekayaan disamping mengeratkan ikatan tali persaudaraan. Buah nenas yang melambangkan tuah sudah menjelang tiba pada tahun baru, yang mana perkataan “Ong Lai” itu sendiri dalam bahasa Tiong Hwa bermaksud tuah sudah mari.

 

-SH

Tinggalkan komen anda