
Oleh: Muniyamma a/p Marapen / Foto: Volintine Jiloh (Sabah)
KOTA KINABALU, 27 Jan (Malaysiaktif) – Siapa sangka minat mendalam Carolina Eve Sambag, 20, terhadap dandanan rambut sejak bangku sekolah kini mampu membawanya beraksi di peringkat antarabangsa.
Dia ialah salah seorang pelatih GIATMARA Gaya, Inanam yang akan mewakili Malaysia ke World Skill Competition 2017 di Abu Dhabi Oktober ini.
“Ini merupakan peluang untuk menunjukkan bakat dan kemahiran saya dalam bidang dandanan rambut yang bukan lagi asing dalam jiwa saya.
“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan akan buat yang terbaik demi mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Bermula pada awal bulan depan kami akan berada di Khal Saloon Akademik di Subang Jaya Selangor selama lapan bulan bagi menjalani latihan sebagai persiapan untuk memantapkan lagi kemahiran.
“Terima kasih kepada seluruh tenaga pengajar kerana mendidik saya hingga menjadi insan yang berjaya,” kata Carolina yang ditemui selepas Majlis Jamuan Teh ‘GIATMARA Gaya: Road To Abu Dhabi World Skill Competition 2017′ di institut tersebut pada Rabu.
Carolina pernah mewakili dan memenangi beberapa pertandingan dandanan rambut anjuran GIATMARA di peringkat negeri, kebangsaan, Asia dan sekali gus melayakkan diri ke pertandingan berkenaan.
Antara pencapaiannya ialah mendapat pingat perak di Anugerah Tangan Emas GIATMARA, Juara International Beauty Expo serta berjaya memperoleh pingat emas di Asean Skill Competition 2016.
Seementara itu, rakannya, Michelle Soo Lee Min, 21, yang berasal dari Likas turut dipilih mewakili negara ke Abu Dhabi World Skill Competition 2017.
Antara pencapaiannya ialah memenangi Pingat Emas Anugerah Tangan Emas GIATMARA, Naib Juara International Beauty Expo dan meraih pingat emas dalam Asean Skill Competition 2016.
“Rasa bangga dan terima kasih kepada pihak GIATMARA yang memberi peluang untuk membuktikan kebolehan serta mengasah kemahiran yang kami.
“Saya akan terus berkerja keras mengekalkan kecemerlangan demi mengharumkan nama Sabah.
“Bukan mudah untuk capai kejayaan ini tanpa pengorbanan, disiplin, kesungguhan dan keazaman semoga impian menjadi kenyataan. Saya anggap peserta dari negara Jepun, China dan Korea ialah pesaing utama,” kata Michelle dengan penuh semangat.
GIATMARA menyediakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional kepada belia-belia di luar dan di dalam bandar bagi membolehkan mereka bersedia menjadi tenaga kerja mahir dan usahawan teknikal bagi memenuhi keperluan industri dan kegiatan ekonomi serta keusahawanan di daerah setempat dan dalam negara.
-SF