Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau PinangViral

Pejabat Pos Bergerak Permudahkan Perkhidmatan

By 14 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: R. Balakrishnan (Nibong Tebal)

NIBONG TEBAL, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Kemudahan fasiliti seperti Projek Mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan gelanggang permainan yang disediakan kerajaan persekutuan di Sungai Chenaam, di sini sentiasa memudahkan urusan dan aktiviti masyarakat setempat.

Kini, satu lagi kemudahan yang mendekatkan masyarakat dengan pelbagai perkhidmatan di sini telah diperkenalkan, iaitu Pos Bergerak atau “Post on Wheels”.

Menurut seorang penduduk tempatan, Khairuddin Abd. Aziz, 45, sambutan orang ramai terhadap perkhidmatan Pos Malaysia ini dilihat amat memberangsangkan.

Tambah Khairuddin, penduduk kampung sentiasa menantikan kenderaan Pos Malaysia yang datang pada setiap minggu kedua dan keempat, setiap hari Rabu ini, mulai 10 pagi hingga 1 petang.

Seorang lagi pengguna yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Zulkifli Ariffin, 51, berkata, kehadiran perkhidmatan Pos Bergerak ini amat memudahkan penduduk kampung.

Katanya, sebelum ini penduduk kampung terpaksa pergi ke Nibong Tebal untuk mendapatkan perkhidmatan atau membuat sebarang bayaran bil.

“Secara keseluruhannya perkhidmatan ini amat memudahkan penduduk kampung dan ianya menjimatkan masa juga wang,” ujar Zulkifli lagi.

Usaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh ini telah membuktikan usaha kerajaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, terutamanya masyarakat luar bandar.

Pejabat Pos Bergerak ini menyediakan beberapa perkhidmatan seperti memperbaharui insuran kenderaan, cukai jalan, lesen memandu, bayaran pelbagai bil, kiriman wang pos, pos laju, insuran nyawa, semakan daftar pemilih serta semakan saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

– AH

Tinggalkan komen anda