Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau PinangViral

Ponggal Bukan Sekadar Pesta Menuai

By 14 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: S. Shanmuganathan (George Town)

GEORGE TOWN, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Lukisan ‘kolam’ berwarna-warni di halaman rumah menjadi hiasan di kebanyakan rumah masyarakat India yang menyambut Perayaan Ponggal, hari ini.

Pintu-pintu rumah pula diikat dengan tebu dan periuk tanah liat yang dihias dengan mangga, daun kunyit serta pewarna kum-kum bagi memeriahkan lagi suasana.

Perayaan Ponggal yang juga dikenali sebagai Pesta Menuai ini, diadakan pada permulaan bulan Thai mengikut kalendar Tamil.

WhatsApp Image 2017-01-14 at 12.44.49 PM (1)

Bagi G. Shanti, 42, yang berasal dari Taman Padang Tembak, di sini, dia dan keluarganya sentiasa meneruskan tradisi menyambut Ponggal di rumah pada setiap tahun.

Menurut Shanti, masyarakat India percaya bahawa bulan Thai akan membawa tuah dan sinar harapan baharu dalam kehidupan mereka.

“Hari Ponggal adalah hari kesyukuran dan ia bukan sahaja sebagai Pesta Menuai malahan boleh dianggap sebagai platform mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya lagi.

Turut berkongsi pendapat yang sama, P. Kumari, 41, yang berasal dari Gelugor berkata, Pesta Ponggal harus digunakan untuk mengalakkan perpaduan dan persefahaman yang lebih kukuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

WhatsApp Image 2017-01-14 at 12.44.47 PM

Disambut dalam keadaan sederhana namun meriah, Pesta Ponggal merupakan acara terbesar selepas sambutan Deepavali dan Thaipusam bagi masyarakat India di Malaysia.

Pada Hari Ponggal, sesetengah masyarakat India akan ke kuil dan ada juga yang menyambut Ponggal di rumah masing-masing.

Sempena sambutan Ponggal, orang ramai akan melaungkan kata-kata “Ponggalo Ponggol” sewaktu beras baharu yang dimasak dengan susu lembu mula meluap.

– AH

Tinggalkan komen anda