Skip to main content
Berita TempatanSabah

Saya Tidak Akan Berhenti Main Singa – Ah Seng

By 27 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

  Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus / Foto:  Johnny George Kimlon (Sabah)

KOTA KINABALU, 27 Jan (Malaysiaktif) – Tarian Singa merupakan tarian tradisional adat warisan masyarakat Cina. Kehadirannya ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina tentunya menggamit keseronokan kanak-kanak menyaksikannya.

Tarian Singa merupakan suatu tarian yang meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum oleh dua penari seorang di bahagian hadapan dan seorang di bahagian belakang sambil menari mengikut rentak gendang yang dimainkan.

Ah Seng (kiri) bersama pasangannya.

Ah Seng (kiri) bersama rakannya.

Tarian Singa dianggap sebagai pelindung dan pembuka rezeki dalam kebanyakan adat masyarakat Cina. Namun peredaran zaman kebanyakan Tarian Singa ini semakin kurang dimainkan oleh anak-anak muda Cina.

Belia keturunan Cina, Chin Zhi Seng atau lebih mesra disapa dengan panggilan Ah Seng, 14, mula berjinak-jinak dengan seni Tarian Singa seawal usia empat tahun berkata seni ini akan terus dipertahankan serta diperjuangkan. Seni ini kian mendapat tempat dalam kalangan belia bukan Cina kini.

Ayah Ah Seng, Chin Yun Vui

Ayah Ah Seng, Chin Yun Vui

“Ayah tidak pernah paksa, saya sendiri yang mahu belajar bermain singa selepas melihat ayah melatih anak muridnya,” kongsinya selepas membuat persembahan tarian singa di Karnival Tahun Baharu Cina 2017 di Padang Merdeka, dekat sini.

Sementara itu, menurut ayahnya, Chin Yun Vui, 37, anaknya itu hanya mengambil masa seminggu untuk mempelajari seni Tarian Singa.

“Sebagai ayah saya memang sedikit risau kerana tarian singa ini memang berisiko untuk terjatuh semasa melakukan aksi-aksi tertentu.

“Tetapi saya juga sebenarnya bangga dengan Ah Seng kerana dia mahu mewarisi bakat seni tarian tradisi yang sangat bernilai ini,” katanya yang bertindak sebagai ‘sifu’ dalam Persatuan Summer Lion Dance yang telah ditubuhkan sejak enam tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Yun Vui mengakui masih banyak lagi yang perlu dipelajari oleh anak sulung daripada empat beradik itu untuk menjadi seorang penari Tarian Singa yang hebat.

Ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos operasi persatuan yang meningkat, Yun Vui pernah menasihati anaknya supaya berhenti bermain tarian singa tetapi mendapat bantahan keras daripada anaknya itu.

“Ah Seng tidak setuju dan hampir menangis, saya tidak boleh buat apa-apa kerana minat dan kesungguhannya mengatasi segala-galanya,” katanya sambil diperhati Ah Seng yang tersipu malu.

Antara aksi berani Ah Seng bersama rakannya

Antara aksi berani Ah Seng bersama rakannya

Yun Vui juga sering menasihati Ah Seng untuk terus terus berlatih bersungguh-sungguh untuk menjadi penari Tarian Singa yang bagus sekali gus menarik perhatian terutamanya dalam kalangan belia Cina sendiri untuk menceburi dalam seni tarian itu.

Pelajar Sekolah Tinggi Kota Kinabalu itu juga berkebolehan bermain gendang Cina dan pernah membuat persembahan di luar Kota Kinabalu antaranya di Johor, Genting Highland dan Sandakan.

Selain Ah Seng, salah seorang adik lelakinya yang berusia 12 tahun juga kini mengikut jejak langkahnya bermain Tarian Singa.

-SF

Tinggalkan komen anda