Skip to main content
Berita TempatanSabah

Teo Dulu Gelandangan, Kini Usahawan

By 29 Januari 2017Tiada komen6 minit bacaan

 

 Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus / Foto: Jeffrey Nian (Sabah)

LABUAN, 29 Jan (Malaysiaktif) – Bertemankan air mata derita, bersahabat dengan semut, nyamuk dan haiwan berbisa seperti kala jengking.

Begitulah secebis pengalaman perit Teo Lim Lai, 55, bersama isteri dan lima anaknya yang masih kecil apabila menjadikan kawasan bawah tangga sebuah bangunan kedai sebagai tempat berteduh daripada hujan dan panas.

Teo menunjukkan tempat di mana keluarganya pernah tinggal semasa menjadi gelandangan.

Teo menunjukkan tempat di mana keluarganya pernah tinggal semasa menjadi gelandangan.

Teo yang berasal dari Sipitang, Sabah berhijrah ke Wilayah Persekutuan (WP) Labuan pada 1975 dan hanya bersekolah sehingga darjah enam di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Labuan.

Pada usia yang masih muda, Teo pernah melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjadi pembantu di kedai kopi, menjadi ejen jualan rokok, menjual sayuran di kaki lima, menjual ubatan tradisional dan bekerja di firma guaman.

IMG_9686

Teo menunjukkan salah satu sijil anugerah yang pernah diterimanya.

Pada 1986, Teo bertemu jodoh dengan gadis Labuan bernama Tan Geok Lin dan dikurniakan sembilan anak namun empat daripada mereka meninggal dunia semasa kecil.

Adat hidup berumah tangga penuh dengan episod suka-duka, turun-naik seperti putaran siang dan malam, kehidupan Teo sekeluarga tidak terlepas daripada situasi sukar.

Kedaifan hidup mereka akhirnya sampai dikemuncak pada 2001 apabila tujuh beranak itu terpaksa melalui siang dan malam sebagai gelandangan selepas dihalau tuan rumah yang disewa ketika itu.

Walaupun hanya menjadi gelandangan selama lebih kurang dua minggu, episod duka itu tetap menjadi parut yang membekas di hati sehingga ke saat ini.

Tidak cukup dengan itu, kisahnya yang mula menjadi buah mulut masyarakat Labuan turut dimanipulasi sehingga Teo difitnah menjual anak RM5000 seorang dan menggunakan duit itu untuk berfoya-foya seperti berjudi dan minum arak.

Mula merangkak selepas jatuh terduduk, Teo mula menjual kacang rebus dan telus rebus di pusat-pusat hiburan sekitar bandar Labuan namun usaha tersebut juga tidak berbaloi apabila sering diberkas penguat kuasa tempatan.

Keratan akhbar, Teo mewakili persatuan menerima dana khas daripada kerajaan.

Keratan akhbar, Teo mewakili persatuan menerima dana khas daripada kerajaan.

Akhirnya pada 2009, terpancar sinar harapan dalam hidupnya apabila Bahagian Pelaburan dan Sosio Ekonomi, Perbadanan Labuan (PL) memberikan tapak berniaga pasar malam berserta bantuan alat berniaga seperti seperti generator, kanopi dan komputer riba.

Ibarat dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, Teo mula berniaga di pasar malam dengan menjual aksesori telefon dan komputer.

Berkat kesabaran dan tidak mengenal erti penat lelah, pada 2012, akhirnya Teo berjaya melangkah setapak lagi dalam perniagaannya apabila berjaya membuka kedai menjual telefon bimbit iaitu Teo Tech Experts Outlet yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan.

Antara pingat yang dimenangi anaknya yang masih tersimpan di sebuah rumah kecil yang pernah disewanya.

Antara pingat yang dimenangi anaknya yang masih tersimpan di sebuah rumah kecil yang pernah disewanya.

Kejayaan ini pastinya tidak datang sekelip mata, dugaan, rintangan, cemuhan dan hinaan tentunya banyak mengajar erti hidup kepada Teo.

Setahun selepas itu, Teo terus memacu kemajuan dalam kehidupan apabila membuka cawangan kedainya yang kedua dan sehingga kini dia mempunyai tujuh cawangan kedai aksesori serta membaiki telefon bimbit di seluruh WP Labuan.

Kemajuan perniagaannya tidak menjadikan Teo lupa diri bahkan dia bersyukur atas rezeki yang memihak kepadanya serta berterima kasih atas keprihatinan kerajaan.

Kediaman Teo sekeluarga kini hasil penat lelah berniaga.

Kediaman Teo sekeluarga kini hasil penat lelah berniaga.

“Apa yang saya ada sekarang ini bukanlah milik saya tetapi kepunyaan Tuhan dan tidak akan saya lupa kepada golongan yang memerlukan bantuan.

“Saya merasa bersyukur dengan segala pencapaian yang saya ada kini dan sangat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan melalui Perbadanan Labuan yang telah memberikan bantuan kepada saya untuk membuka lembaran hidup dengan berniaga.

“Saya juga terhutang budi dengan seluruh penduduk Labuan yang selama ini memberikan sokongan sehingga perniagaan saya berkembang maju seperti yang dapat dilihat hari ini,” kongsinya yang ditemui Malaysia Aktif pada Jumaat.

Teo juga melahirkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang pernah menyalurkan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) kepada keluarganya sebelum ini.

Timbul rasa ingin menyumbang kembali kepada penduduk Labuan, Teo membuka sebuah pusat latihan kemahiran membaiki telefon bimbit bagi membuka jalan kepada anak muda di Pulau itu untuk mengasah bakat serta menambah kemahiran yang mampu menjana pendapatan.

“Semuanya bermula apabila Pegawai Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia mengunjungi kedai dan menawarkan syarikat saya menyediakan pusat latihan.

“Setelah menghantar anak saya menjalani kursus di GIATMARA, pusat latihan kami telah diberi kebenaran untuk mengambil pelajar dalam kalangan anak muda terutamanya yang berada pada paras kemiskinan negara,” katanya.

Jeoseh Kuininseh

Jeoseh Kuininseh

Pusat Latihan Teo Tech Experts Outlet telah melahirkan puluhan pelajar yang berkemahiran serta mempunyai segulung Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Menurut salah seorang pelajar, Jeoseh Kuininseh, 31, latihan yang diberi percuma sepenuhnya itu amat berharga buat dirinya untuk menambah kemahiran diri.

Belia-belia Labuan yang telah menjalani kursus di Teo Tech Experts Outlet.

Belia-belia Labuan yang telah menjalani kursus di Teo Tech Experts Outlet.

“Kemahiran yang saya pelajari ini amat berguna dan boleh membuka jalan untuk saya membuka perniagaan sendiri.

“Jika ada modal, memang saya bercadang untuk membuka pusat membaiki telefon untuk menambah pendapatan keluarga,” katanya yang pernah bekerja dalam sektor minyak dan gas selama lima tahun.

Peribahasa, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian amat sesuai mengambarkan kesusahan dan kejayaan yang dikecapi Teo.

Apabila ditanya tentang tip kejayaan, Teo menjelaskan dia suka bergaul dengan orang yang lebih tua dan berpengalaman.

“Saya suka bergaul dengan ramai orang terutama mereka yang berusia dan mempunyai pengalaman dalam membina kehidupan yang lebih berjaya.

“Selain itu, pengalaman hidup susah bersama keluarga telah mengajar saya untuk mencari idea untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Teo menerima Anugerah Penjaja Kecil Terbaik Wilayah Persekutuan pada 2015.

Teo menerima Anugerah Penjaja Kecil Terbaik Wilayah Persekutuan pada 2015.

“Paling penting ialah kehendak diri kita sendiri antara mahu atau tidak untuk bertindak serta mengecapi apa-apa sahaja yang diimpikan dalam hidup,” tegasnya.

Kejayaannya ternyata mendapat perhatian pihak tertentu apabila pernah mendapat pengiktirafan seperti Anugerah Penjaja kecil Terbaik Wilayah Persekutuan pada 2015 yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan Jaganathan.

Selain itu, Teo pernah dianugerahkan sebagai ‘Bapa Perkasa’ oleh Jabatan Pendidikan W.P.Labuan atas pencapaian puteri tunggalnya, Teo Su Chin yang mewakili Malaysia dalam Acara Olahraga, Sukan Sekolah-Sekolah Asean di Jakarta pada 2007.

Teo yang mempunyai sijil kejurulatihan peringkat dua daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan bertindak sebagai jurulatih peribadi, berjaya membimbing anaknya menggapai pingat emas dalam acara lari 1500 meter dan 3000 meter di beberapa kejohanan Olahraga dalam dan luar negara.

Pengiktirafan tidak terhenti di situ apabila dia dilantik sebagai Ahli Majlis Pembangunan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan untuk 2016-2018 yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan.

Bersama Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli semasa merasmikan salah sebuah cawangan kedainya.

Bersama Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli semasa merasmikan salah sebuah cawangan kedainya.

Sedar akan tanggungjawab dan dunia peniaga kecil yang kian mencabar, Teo menubuhkan Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Harmoni bagi membela nasib dan kebajikan peniaga-peniaga kecil di WP Labuan.

“Persatuan ini mempunyai 140 orang ahli yang hampir kesemua ialah peniaga bumiputera yang aktif berniaga di Pulau ini.

“Kami berperanan menyelaras dan memaklumkan semua penjaja kecil tentang sebarang peluang untuk berniaga terutama pada musim perayaan atau dalam acara-acara besar yang dilangsungkan di Labuan.

“Selain itu, persatuan ini juga membantu penjaja kecil untuk mendapatkan pinjaman mikro tanpa faedah sebanyak RM50 ribu yang telah diperuntukkan kerajaan bagi membantu peniaga mengembangkan perniagaan.

Dengan slogan ‘Menyatupadukan ahli, menegakkan kebenaran, menyokong yang makruf dan menolak yang mungkar’ persatuan ini berjaya menambah bilangan penjaja kecil dalam kalangan warga tempatan dan warganegara malaysia berbanding sebelum ini.

Teo melihat sendiri operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Lawas, Sarawak yang melibatkan ahli persatuan.

Teo melihat sendiri operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Lawas, Sarawak yang melibatkan ahli persatuan.

Seperti payung yang menjadi tempat berlindung daripada hujan dan panas, Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Harmoni juga menyalurkan bantuan kepada ahli-ahli yang ditimpa musibah.

“Kami berterima kasih sekali lagi kepada kerajaan kerana dengan dana yang disumbangkan kami dapat menghulurkan bantuan kepada ahli-ahli yang ditimpa musibah seperti kebakaran, kematian ahli keluarga dan sebagainya.

“Kami juga sering menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti bantuan kepada warga emas, ibu tunggal dan fakir miskin,” Katanya.

Menjadi satu kepuasan bagi Teo kerana rata-rata ahli berpuas hati dengan peranan persatuan dalam menyelesaikan masalah penjaja kecil seperti mendapatkan tapak berniaga, mengambil berat kebajikan penjaja dan menyuarakan suara penjaja kecil kepada pihak berkuasa tempatan.

Nasihat Teo kepada mereka yang menghadapi detik sukar dalam kehidupan dan ingin memulakan perniagaan, jangan terlalu fikirkan modal besar untuk berniaga kerana modal yang paling besar ialah idea dan keinginan untuk belajar membaiki diri dari masa ke masa.

Teo sempat menitipkan kata-kata mutiara sebagai perkongsian dan azimat untuk menempuh kehidupan yang menjanjikan seribu satu cabaran.

“Manfaat diri dalam pelajaran hanyalah jadi bekalan untuk hidup pada masa hadapan, ilmu itu pelindung diri seperti kebun berpagar duri seperti sinar intan baiduri,” ujar Teo mengakhiri perbualan.

SF

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda