
Oleh: Mohammad Abd.Rahman / Foto: Johnny George Kimlon (Sabah)
PAPAR, 29 Jan (Malaysiaktif) – Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina Daerah Papar penuh simbolik keharmonian dan tuah.
Kapitan Cina Pekan Papar, Peter Lee Chuk Yen, 60, berkata sambutan tahunan perayaan Tahun Baharu Cina di daerah berkenaan kali ini terasa amat meriah penuh dengan perasaan persahabatan, kemakmuran dan tuah.
“Kehadiran pengunjung ke tapak pesta di Pekan Papar ini jelas menunjukkan bahawa negara kita hidup dalam suasana harmoni dan bersatu.
“Keharmonian dan bersatunya masyarakat kita hari ini seperti suatu petanda kepada tuah yang akan diperoleh sama seperti simbolik amalan masyarakat Cina menggaul Lou Sang atau Yee Sang setiap kali menyambut perayaan ini,” ujarnya lagi.
Jelasnya, amalan Lou Sang atau Yee Sang ialah satu kelaziman menyambut Tahun Baharu, yang bermaksud permulaan kemakmuran dan tuah yang baharu.
“Sememangnya sebelum tahun baharu, saya sekeluarga akan berkumpul meluangkan masa bersama rakan dan saudara sambil menikmati juadah bersama.
“Salah satu acara yang wajib dilakukan apabila seisi keluarga berkumpul ialah Lou Sang (Yee Sang) iaitu semua ahli keluarga akan sama-sama mengaul sembilan bahan terpilih seperti hirisan lobak, kobis, bunga kantan, timun, ikan, kacang bersama mihun, minyak bijan dan perasa dalam satu bekas sebagai lambang kekayaan dan tuah.
Peter berkata demikian selepas sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Daerah Papar kali ketiga di Jalan Semarak pada Rabu.
Pengujung disajikan dengan pelbagai acara seperti pertunjukan tanglung, persembahan Tarian Singa, nyanyian koir SJKC Cheng Hwa, Simfoni Orkestra Muzik Tradisi Cina Papar Middle School serta penyerahan Angpau kepada kanak-kanak.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Tiong Hua Papar, Datuk Liew Siew Kian berharap tahun baharu kali ini akan membawa tuah, kemakmuran dan kekayaan buat semua ahli masyarakat.
“Tahun Ayam melambangkan kerajinan, kekayaan dan kemakmuran. Saya yakin dan percaya pada tahun ini kita semua akan lebih maju ke hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail berkata keunikan perpaduan dalam kepelbagaian dapat dilihat di mana-mana sambutan perayaan di Malaysia.
“Dianggarkan lebih 4000 hadir ke acara tahunan ini, semua turun memeriahkannya. Ini menunjukkan perpaduan dan keharmonian kaum di sini,” ujarnya.
Dalam majlis berkenaan, Rahim turut menyampaikan cek RM20,000 kepada Dewan Perniagaan Tiong Hua Papar bersempena dengan sambutan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rahid Shirlin berkata pihaknya turut mengiktiraf kejayaan yang telah dicapai oleh masyarakat Cina di sini dalam pelbagai bidang.
“Kita turut meraikan rakan-rakan kaum Cina, terutama pencapaian mereka dalam bidang pendidikan, sukan melalui sekolah-sekolah aliran Cina,” katanya