Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Saudara Baru Johan Pengucapan Awam Tilawah Peringkat Melaka

By 6 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Hatta Johari

MELAKA, 6 Feb (Malaysiaaktif) –  Lebih empat tahun memeluk agama Islam, Miesha Alisha Sofea Abdullah, 23, kali ini memberanikan diri menyertai Pertandingan Pengucapan Awam Tilawah Peringkat Negeri Melaka 2017.

Miesha tidak menyangka sama sekali penyertaan kali pertamanya dengan tajuk Israk Mikraj, berjaya menobatkan dia sebagai johan sekaligus membawa pulang wang tunai RM1,000.00, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Merupakan anak jati Melaka, Miesha yang dilahirkan di Umbai merupakan dari keturunan India yang sentiasa dikelilingi rakan-rakan berbilang bangsa sejak kecil lagi.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Wen Hua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Selangor dan kini Miesha merupakan seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Fisiologi dari Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Miesha Alisha Sofea

Miesha Alisha Sofea, 23, ketika menyampaikan pengucapan awamnya bertajuk Israk Mikraj.

“Saya mula memeluk agama Islam pada 29 Oktober 2012 setelah tamat pengajian dari kolej matrikulasi dan ketika itu mengikut jejak ibu yang telah memeluk agama ini terlebih dahulu. Bagi mendalami agama Islam, saya menyambung pengajian di KUIM.

“Pengucapan awam ini  merupakan minat saya sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana penyertaan saya bagi kategori ini hanya kerana minat dan tidak sangka saya dinobatkan sebagai Johan,” ujarnya ketika dijumpai di majlis anjuran Majlis Agama Islam Negeri Melaka (MAIM) itu.

Hadiah disampaikan oleh Datuk Latifah Omar, EXCO Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan pada Majlis Penutup Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Melaka di Masjid Saidina Ali, Bukit Katil Melaka, semalam.

Turut hadir, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda