Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Keindahan Pantai, Ketam Popularkan Sematan

By 13 Februari 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Zarel Azreqh Zainal Aznam

SEMATAN, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Keindahan muka bumi serta kecantikan Pantai Sematan yang jauhnya kira-kira 120 km dari Kuching dan 30 km dari Pekan Lundu menyebabkan ramai pelancong memilihnya sebagai lokasi percutian keluarga.

Terletak di bawah Dewan Undangan Negeri N.03 Tanjong Datu, penduduk Sematan yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan bumiputera Sarawak menerima kunjungan ramai setiap kali tiba musim cuti sekolah mahupun hujung minggu.

IMG_0518

Bakal pengantin yang merakam gambar perkahwinan di Pantai Sematan

Sesuai dengan musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu yang sedang berlangsung sejak 4 Februari lepas, semakin banyak kelibat petugas dan pengunjung luar yang memenuhi Pantai Sematan yang indah saujana mana memandang.

Masyarakat tempatan dan pelancong turut menyambut baik, pengumuman Manifesto Barisan Nasional untuk mentransformasikan Lundu dan Sematan sebagai destinasi pelancongan utama di Sarawak oleh Ketua Menteri Sarawak, Abang Zohari Tun Abang Openg atau lebih dikenal sebagai Abang Jo pada Jumaat lepas.

Bakal pengantin Eric Gilbert

Bakal pengantin Eric Gilbert

Tinjauan Malaysiaaktif pada hujung minggu lepas, walaupun keadaan cuaca agak berangin dan hujan pada malam hari, kebanyakan mereka yang datang ke Sematan ini masih menikmati keindahan pantai yang sukar didapati di tempat-tempat lain.

Bakal pengantin dari Sematan, Eric Gilbert, 25, dan Caroline Insing, 23 memilih pantai Sematan untuk merakam gambar pra perkahwinan mereka.

“Rata-rata jurufoto di sini banyak menceritakan keindahan kawasan pantai Sematan yang sesuai dijadikan lokasi penggambaran bagi perkahwinan. Selain pemandangan yang cantik, suasana yang mendamaikan tiada pula sebarang caj dikenakan.

“Saya sangat bersetuju dengan Manifesto yang dibawa oleh Puan Sri Jamilah untuk memajukan daerah Sematan. Pada saya, ini satu langkah yang bagus oleh sebab semakin ramai pelancong akan datang sekali gus beri lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” ujar Eric yang merupakan suku kaum Selako.

IMG_0522

Aiefiee Khalil sekeluarga ketika menikmati keindahan pantai Sematan

Bagi Penolong Pegawai Perubatan yang menjadikan aktiviti merakam gambar sebagai hobi, Abdul Muaz Abdul Latif dari Kota Kinabalu, Sabah, keadaan cuaca dan angin kencang di sini merupakan sesuatu yang cukup bernilai.

Abdul Muaz Abdul Latif ketika ditemu bual Malaysiaaktif

Abdul Muaz Abdul Latif ketika ditemu bual Malaysiaaktif

“Saya jadikan hobi merakam gambar ini sebagai aktiviti hujung minggu. Saya mahu menyimpannya sebagai memori. Macam hari ini ada ombak, dengan angin kencang. Bukan setiap hari kita boleh tengok.

“Apabila saya memuat naik dalam laman sosial seperti Facebook dan Instagram, ramai juga yang bertanya saya di mana, apa yang menarik di sini. Jadi saya percaya dengan pelbagai strategi mantap, pasti lokasi ini menjadi tumpuan utama pelancong,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Aiefiee Khalil, 33 yang berasal dari Kuching memilih Sematan sebagai percutian keluarganya oleh sebab banyak kemudahan rekreasi dan makanan tempatan yang lazat.

“Pantai Sematan ini cukup besar dan bersih berbanding pantai lain seperti pantai Santubong. Sejak habis sekolah dahulu, saya memang kerap ke sini. Kini ada pula anak-anak, hujung minggu atau cuti sekolah inilah tempat pilihan kami sekeluarga.

“Boleh berkayak, main basikal, ada juga kolam renang. Namun, saya harap selepas ini penginapan perlu ditambah oleh sebab selalu tempat menginap penuh. Untuk percutian ini, saya dah tempah sejak tahun baharu lagi.

Antara menu wajib jika berkunjung ke Semantan

Antara menu wajib jika berkunjung ke Semantan

“Kami pun suka ketam goreng yang terkenal dalam kalangan pengunjung kerana kerangupannya. Berbeza dengan Kuching, kami lebih senang nak cari ketam masak lemak, masak halia dan sebagainya,” katanya yang menyifatkan arwah Tok Nan yang banyak membangunkan kawasan terpencil ini sejak menjadi wakil rakyat Tanjong Datu pada 2006.

Bagi suku kaum Melanau, Abdul Kadir Mahasir dan isterinya, Shuhada Kipli dari Kuching, Pantai Sematan ini mempunyai banyak kenangan manis kepada mereka berdua.

“Pantai Sematan ini ada banyak ‘sentimental value’ buat saya dan isteri. Dahulu masa bercinta, sekarang dengan dah ada tiga anak inilah lokasi pilihan kami.

IMG_0534

Abdul Kadir Mahasir berswafoto bersama ahli keluarganya

“Di Lundu, ada dua kawasan pantai iaitu Sematan Beach Resort dan Lundu Retreat. Pada saya, kedua-duanya sesuai dan selesa untuk percutian keluarga. Selain panorama pantai, makanan sedap, kami juga suka minum kelapa pandan dan coconut shake yang dijual berdekatan jambatan Kg. Stunggang.

“Kami memang berharap lokasi ini dapat dimajukan sebagai lokasi pelancongan termasuk juga Telok Melano. Apabila kami menaiki kapal terbang, selalu tengok cantik dari atas. Harapnya kerajaan dan pihak swasta akan berusaha juga untuk menambah fasiliti di situ,” ujarnya lagi.

 

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda