Skip to main content
Berita TempatanSabah

Guru Kumpul Kostum Sebagai Hobi

By 7 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

  Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj. Bulka (Sabah)

TAWAU, 7 Feb (Malaysiaktif) – Minat mendalam dengan pelbagai karakter komik sejak kecil banyak membantu Abdullah Alif Dahlan, 33, menghayati watak-watak tersebut untuk diekspresikan ketika menyarungkan kostum mereka.

Abdullah yang juga seorang guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Muzik di sebuah sekolah rendah di sini turut memulakan kerjaya sebagai maskot hampir 10 tahun yang lalu.

“Kostum pertama yang saya beli melalui dalam talian dari China ialah Tom and Jerry yang berharga RM1000 pada 2007,” katanya yang tinggal di Taman Ria 11 di sini pada Ahad.

IMG-20170206-WA0001

Abdullah bersama anak-anaknya turut bergambar bersama koleksi kostumnya

Pendapatan menjadi maskot disimpan untuk membeli kostum-kostum yang lain yang kini ada sembilan dalam koleksinya seperti Ironman, Spiderman, Hello Kitty, Captain America dan juga pasangan Mickey dan Minnie Mouse.

“Koleksi yang saya ada bernilai kira-kira RM15,000 dan antara koleksi yang paling mahal yang saya beli ialah watak Ironman yang bernilai RM5000,” ujarnya yang mengeluarkan modal sendiri untuk membeli semua kostum tersebut.

Menurut Abdullah, adakalanya dalam sebulan dia mampu peroleh kira-kira RM2000 hingga RM10, 000 bergantung kepada permintaan dan watak komik yang dipilih pelanggan kerana setiap watak dikenakan caj yang berbeza.

“Watak seperti Spiderman dan Hello Kitty hanya dicaj sebanyak RM150 manakala watak Ironman akan dikenakan sebanyak RM350 untuk 30 minit servis yang kami berikan,”jelasnya.

Tambah Abdullah, tempoh masa 30 minit telah ditetapkan kerana keadaan yang panas dan bahang ketika memakai kostum mampu memberi implikasi kepada pemakai jika disarungkan lebih lama.

“Pernah suatu ketika saya dijemput untuk menceriakan majlis hari jadi, tiba-tiba saya rasa hendak pitam dan terpaksa keluar meninggalkan majlis hingga tuan rumah terpinga-pinga,” ujarnya.

Namun begitu, setelah merehatkan diri kira-kira 10 minit Abdullah kembali semula ke majlis tersebut dan menghiburkan pelanggan kerana tidak ingin menghampakan mereka.

“Bukan mudah untuk mengenakan kostum watak-watak komik ini kerana kita perlu menghayati setiap karakter mereka supaya watak mereka ‘hidup’,” katanya yang mengakui agak tercabar dengan watak Hello Kitty dan Minnie Mouse.

IMG-20170206-WA0000

Kita perlu menghayati setiap karakter mereka supaya watak mereka ‘hidup’ – Cikgu Adiwira

 

Tambahnya, menyarungkan watak ‘wanita’ memaksa mereka berkelakuan ayu dan lembut hingga ada yang menyangka pemakai kostum tersebut benar-benar seorang wanita.

“Agak menjengkelkan hingga ada yang cuba meraba kami kerana menyangka kami wanita sedangkan saya dan kawan-kawan yang sering membantu kesemuanya ialah lelaki hingga pernah tercetus pergaduhan,” kata Abdullah.

Namun begitu, Abdullah merasa nikmat perkhidmatannya kerana dapat menggembirakan pelanggan terutama sekali kanak-kanak dan pesakit di hospital yang pernah dilawatinya ketika melakukan program kebajikan.

“Saya menyahut saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairi Jamaludin yang mengalakkan belia-belia negara untuk mencuba sesuatu yang baru dan segar, bukan setakat dijadikan hobi malah perniagaan,”jelasnya.

Apa yang menarik, selain menjadi guru dan maskot, Abdullah juga merupakan seorang ahli silap mata, panel motivasi, penulis lagu dan lirik.

Sehubungan itu, bermula awal tahun ini, dia telah memulakan program menggunakan gelaran Cikgu Adiwira untuk menjelajah sekolah-sekolah di Malaysia secara percuma untuk memberikan motivasi kepada para pelajar.

Tambah Abdullah lagi, menyampaikan motivasi sambil melakukan aksi silap mata ini telah dijalankan di tiga buah sekolah di daerah ini dan dia masih menunggu maklum balas beberapa buah sekolah lagi untuk menetapkan masa yg sesuai.

“Sebagai seorang guru, saya ingin melihat pelajar-pelajar berjaya dengan cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Saya ingin memberikan mereka idea untuk ekspresikan diri mereka yang mempunyai kehebatan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, kehebatan dalam diri pelajar itu sebenarnya membawa mereka untuk berjaya. Oleh itu, pelajar-pelajar perlu tahu cara-cara untuk menjelmakan kehebatan diri mereka.

Tambahnya lagi, setiap individu mempunyai kehebatan diri yang berlainan. Kehebatan diri mereka adakalanya tidak disedari oleh mereka dan tersembunyi dalam diri.

“Saya dengan rela hati ingin memberikan idea ini secara percuma kepada pelajar-pelajar sekolah agar mereka sentiasa hebat dan cemerlang, sebab bukan sahaja menaikkan nama sekolah malah negara,” jelasnya yang menyasarkan untuk menjelajah ke 100 buah sekolah seluruh Malaysia.

-SF

Tinggalkan komen anda