Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Lebih Tujuh Dekad Mina Warisi Bubu Suku Kaum di Sarawak

By 4 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Luhat Ajang

KUCHING, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Sejak berumur 12 tahun lagi, bekas Pemancha (Penghulu) Kaum Salako Daerah Lundu, Mina Anak Kalum, 85, suka mengganggu bapanya ketika membuat bubu.

Walaupun sering dimarah kerana selalu mengganggu orang tuanya, atas dasar minat dan ingin belajar membuat bubu itu telah membuatkan Mina kini akhirnya mewarisi bakat tersebut.

“Untuk menghasilkan sebuah bubu, memerlukan lebih kurang seminggu bermula dengan proses mencari rotan dan buluh di dalam hutan. Buluh dan rotan kemudiannya dibelah, diraut dan seterusnya dijemur antara dua ke tiga hari.

“Semakin besar bubu tersebut semakin lamalah masa diambil untuk menyiapkannya. Terdapat dua jenis bubu yang biasa dibuatnya iaitu bubu baring dan bubu duduk,” ujarnya yang ditemui di Lundu pada Ahad.

Semasa kudratnya masih kuat, Mina ligat ke hutan mencari rotan danbuluh. Walau bagaimanapun kini dia hanya membeli rotan dan buluh daripada orang kampung memandangkan dia sudah tidak larat lagi ke hutan.

Kini Mina hanya membuat bubu pada waktu lapang sahaja dan menjualnya di Pekan Lundu dan Sematan. Pelancong-pelancong yang datang ke rumah panjang Kampung Pueh juga berpeluang membeli hasil kerja tangannya untuk dijadikan perhiasan mahu pun kegunaan masing-masing.

Mina bertuah kerana kampungnya menyediakan perkhidmatan ‘Homestay’ untuk pelancong-pelancong baik dari dalam mahu pun luar negara.

Mina turut mengambil bahagian dalam pameran yang dihadiri oleh
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz yang melawat Kampung Pueh pada 18 Mei 2016 bersempena Program ‘Visit My Kampung’ menerusi program Homestay seliaan penyelaras Homestay, Meot anak Nuber.

Selain membuat bubu, Mina juga mahir membuat ‘Bangkat’ dalam dialek Salako iaitu bakul untuk membawa bekal seperti makanan dan minuman ke kebun dan sebagainya. Salah satu lagi hasil daripada kreativitinya ialah bakul kecil yang digelar ‘Antoro’ yang dianyam menggunakan rotan ‘paladas’ untuk menyimpan biji benih padi semasa menanam padi dan ‘Engge’ iaitu bakul yang agak besar untuk menyimpan padi yang diketam semasa musim menuai padi.

“Kalau dahulu bubu memang menjadi salah satu peralatan menangkap ikan bagi penduduk kampung di anak-anak sungai berdekatan kini ada sesetengahnya dijadikan sebagai perhiasan di rumah sahaja.

“Dewasa ini, golongan muda kurang berminat belajar membuat bubu serta kraftangan lain. Saya berharap agar generasi akan datang tidak melupakan salah satu dari peralatan tradisi menangkap ikan ini,” tambahnya.

Sementara itu, Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang dalam proses pembinaan turut melibatkan sebahagian tanah kampung Mina yang dipercayai akan mampu membangunkan kawasan perkampungan masyarakat Salako di sini. Apabila lebuh raya berkenaan siap kelak akan memudahkan perhubungan dan pergerakan dari Sarawak hinggalah ke Sabah.

Ajang sungguh teliti dalam menyiapkan hasil kerjanya.

Ajang sungguh teliti dalam menyiapkan hasil kerjanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Long Panai dalam daerah Baram keturunan Kayan, Ajang Jok, 69, memberitahu dahulu dan kini bubu masih merupakan salah satu alat penting menangkap ikan selain pukat mahu pun jala bagi masyarakat Kayan.

Ajang yang juga mewarisi kemahiran membuat bubu daripada mendiang ayahnya lazimnya membuat bubu menggunakan buluh dan batang nibung.

“Jika nak ikan besar dan banyak, buatlah bubu besar. Bubu yang diperbuat daripada batang nibung sangat tahan dan boleh disimpan agak lama berbanding bubu daripada buluh.

“Saya berharap agar kerajaan dapat menyekat dan mengawal penerokaan hutan secara besar-besaran demi melindungi flora dan fauna di dalamnya. Saya percaya banyak lagi manfaat diperoleh sekiranya hutan terus terpelihara.

“Saya juga berharap agar kemahiran membuat bubu ini dapat diwarisi oleh anak, cucu-cicit mahu pun generasi akan datang walaupun dunia kini kian moden,” ujar Ajang Jok lagi.

SF

Tinggalkan komen anda