Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Masih Gagal Peroleh Pekerjaan, EKUINAS Ada Penyelesaiannya

By 16 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Muhammad Khairul Azad Yunus / James Gimpas Ghani  (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 16 Feb (Malaysiaktif) – “Kesukaran para graduan mencari pekerjaan berikutan kurang keyakinan, tiada pengalaman, tidak fasih berkomunikasi atau kelulusan tidak baik.

“Kesemua perkara tersebut merupakan sebahagian permasalahan minda yang membataskan peluang keinginan graduan memiliki pekerjaan, ujar pelatih Program Pembangunan Profesional (PDP) ILTIZAM, Ericquely Lacius Yusok.

Ericquely ketika berkongsi pengalaman menjadi pelatih PDP ILTIZAM

Ericquely ketika berkongsi pengalaman menjadi pelatih PDP ILTIZAM

Disebabkan hal itu, Ericquely mengambil keputusan untuk mengikuti program tersebut dan sedikit sebanyak terdapat perubahan berlaku kepadanya.

“Program tersebut benar-benar menjadikan diri saya seorang yang lebih yakin untuk berkomunikasi dengan majikan dan pelanggan selain melatih diri menjadi pekerja yang disenangi oleh semua pihak,” jelasnya.

Ericquely antara yang sedang menjalani latihan di Orkim Sdn Bhd turut mengajak para graduan di negeri ini untuk merebut peluang yang ditawar melalui PDP ILTIZAM.

Pengarah Hal Ehwal Berkepentingan Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), Hizwani Hassan berkata pihaknya mensasarkan tambahan jumlah pemohon dari Sabah dan Sarawak untuk mengikuti Program Pembangunan Profesional (PDP) ILTIZAM bagi sesi 2017/2018 yang kini telah dibuka untuk permohonan.

Jelasnya, PDP ILTIZAM memfokuskan tiga cabang utama iaitu keusahawanan, pendidikan dan komuniti.

“Cabang pendidikan memfokuskan membangunkan graduan bumiputera agar menjadi modal insan yang mempunyai tahap kebolehpekerjaan dan kebolehpasaran yang tinggi setelah tamat program,” katanya.

Menurutnya, syarikat pengurusan dana ekuiti berkaitan kerajaan itu mengadakan satu sesi penilaian pada 6 Mei ini di Kota Kinabalu dan menyasarkan 100 peserta dari Sabah.

Tiga cabang utama ditawar PDP- ILTIZAM ; Keusahawanan, Pendidikan dan Komuniti - Hizwani

Tiga cabang utama ditawar PDP- ILTIZAM ; Keusahawanan, Pendidikan dan Komuniti – Hizwani

“EKUINAS berharap dapat menarik lebih ramai graduan dari Sabah dan Sarawak pada tahun ini untuk menawarkan peluang dan platform yang sama seperti rakan-rakan sebaya mereka di Semenanjung.

“Pemohon yang berjaya bukan sahaja diberi pengalaman on the job malah turut melalui beberapa latihan seperti Perniagaan dan Pengurusan, Pembangunan Kepimpinan, Pengajian Bahasa Inggeris, serta Komunikasi dan Pembentangan.

“Pelatih juga ditawarkan gaji bulanan RM 2500 termasuk faedah seperti cuti tahunan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) , Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta perlindungan perubatan dan insurans,” jelasnya.

Tambah beliau, keutamaan diberikan kepada graduan dari keluarga berpendapatan RM 5,000 dan ke bawah dan sekurang-kurangnya mendapat 3.0 Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK).

“Graduan yang berminat boleh membuat permohonan dengan menghantar resume terkini, transkrip peperiksaan atau ijazah dan gambar terkini bersaiz pasport ke alamat [email protected] sebelum 20 Mac 2017,” ujarnya.

Hizwani turut menjelaskan, PDP ILTIZAM kini mempunyai kadar kejayaan sebanyak 90% pelatih berjaya mendapat pekerjaan tetap setelah tamat program dan EKUINAS membelanjakan dua hingga tiga juta ringgit untuk program terebut pada tahun ini.

 

-SH

Tinggalkan komen anda