Skip to main content
Berita Sarawak

Minat Dorong Linda Fauziah Main Gendang Untuk Tarian Singa

By 6 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad/Jurufoto: Roslee Hashim

SIBU, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Tarian singa yang merupakan sebahagian daripada tarian tradisional adat warisan masyarakat Cina biasanya menampilkan penari yang meniru pergerakan singa dengan memakai kostum singa.

Seorang penari di bahagian hadapan menggerakkan kepala, manakala seorang lagi menggerakkan bahagian belakang ‘singa’ tersebut. Apabila sudah senada kedua-duanya mula beraksi sepenuhnya di atas pentas yang disediakan.

Tarian singa ini akan diiringi paluan gong, gendang berserta ledakan mercun yang dipercayai membawa tuah.

Malaysiaaktif menemui Linda Fauziah, 17, yang merupakan satu-satunya anggota berbangsa lain yang menyertai kumpulan Persembahan Tarian Singa di Sekolah Sungai Bidut di sini bersempena lawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Taib Mahmud ke kediaman Menteri Kewangan merangkap Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh, semasa sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Berasal dari Dalat, Linda yang berketurunan Melanau mewakili SM Guong Ming, Sibu sejak tiga tahun lepas hingga sekarang berkata minatnya yang mendalam untuk mengikut tarian tersebut bermula sejak kecil lagi.

 Linda berminat untuk bermain dram tarian sejak kecil lagi.

Linda berminat untuk bermain dram tarian sejak kecil lagi.

“Memang penat, tetapi pada saya pengalaman serta keseronokan bersama kawan-kawan berbangsa Cina ketika membuat sesuatu persembahan yang paling penting,” ujarnya.

Pelajar tingkatan lima ini khusus memukul gendang untuk mengiringi persembahan tarian singa sejak dia mula-mula menyertai kumpulan tersebut hingga sekarang.

“Selain minat untuk bermain tarian singa, saya juga mencari pengalaman dan berkawan dengan anggota-anggota berbangsa Cina. Di samping itu, saya ingin membantu sekolah mencari duit untuk kegiatan kebajikan.

“Saya juga mahu menyertai pertandingan tarian singa jika dijemput, sama ada mewakili sekolah atau persatuan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, menurut jurulatih dan guru pengiring, Tiie Sing Kuon, kumpulan yang dibimbingnya dianggotai seramai 25 orang daripada pelbagai peringkat umur.

“Mereka berlatih tiga kali seminggu dan Linda penutut yang sangat aktif apabila dipanggil untuk berlatih. Kini pihak sekolah memilih Linda untuk mewakili sekolah kami.”

 

Ahli kumpulan tarian singa

Anggota kumpulan tarian singa

Menurut Tiie, dalam budaya banyak masyarakat di Asia, singa dianggap sebagai haiwan pelindung, terutamanya bagi mereka yang berketurunan Cina. Oleh yang demikian tidak salah bagi Linda ikut serta dalam persembahan tarian berkenaan.

“Setiap negara mempunyai corak dan bentuk tarian yang berbeza. Namun tarian ini lebih terkenal sebagai warisan orang Cina, kerana dikatakan sejarahnya bermula lebih 1,000 tahun lalu. Dua tarian singa yang popular ialah “Tarian Singa Utara” dan “Tarian Singa Selatan”.

“Tarian Singa Selatan menjadi lambang yang mempunyai ciri-ciri berkaitan alam sekitar. Tarian ini selalu dipersembahkan bagi menyerikan istiadat atau upacara membuang semangat jahat dan mengisikan dengan aura tuah,” ujarnya lagi.

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda