Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuanWilayah Persekutuan

Perpaduan Dalam Perayaan Tarik Pelancong Ke Labuan

By 12 Februari 2017Februari 20th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto oleh: Jeffrey Nian/ See Hua Daily

LABUAN, 12 Feb (Malaysiaaktif) – Malaysia amat bertuah kerana mempunyai masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama.

Justeru, dengan kepelbagaian amalan dan budaya tersebut, masyarakat di negara ini membentuk satu perpaduan apabila bersama-sama merayakan sesuatu perayaan yang disambut oleh sesebuah kaum di Malaysia.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata masyarakat di Labuan juga tidak ketinggalan merayakan perayaan Tahun Baharu Cina 2017 dalam suasana perpaduan yang harmoni yang diyakini mampu menarik minat para pelancong untuk berkunjung ke Labuan.

“Sifat perpaduan dalam kalangan masyarakat Labuan memang sentiasa diamalkan sejak dahulu lagi dan ia diterjemahkan lagi dengan sambutan rumah terbuka yang menghimpunkan pelbagai kaum yang ada di Labuan.

Rozman dan tetamu membuat acara Yee Sang.

“Melalui suasana perpaduan yang erat ini mampu dijadikan contoh serta daya tarikan kepada para pengunjung dari dalam dan luar Labuan untuk berkunjung ke pulau ini,” ujarnya.

Rozman ditemui ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2017 Barisan Nasional Labuan, di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chi Wen, di sini, pagi semalam.

Tambahnya, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, industri pelancongan mampu dijanakan di Labuan sesuai dengan kemesraan dan perpaduan yang diamalkan oleh warga Labuan.

Rozman juga gembira dengan penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Barisan Nasional yang diadakan dalam suasana santai yang membolehkan beliau bertemu denga semua warga Labuan serta para pengunjung luar yang hadir.


Terdahulu pada Majlis Malam Mesra Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan Tionghua Labuan yang diadakan di perkarangan Medan Selera Sungai Keling, di sini malam tadi, Rozman memuji semangat kunjung mengunjung yang diamalkan oleh penduduk Labuan yang memeriahkan lagi sambutan perayaan sesuatu kaum.

Menurut salah seorang pengunjung, Murni Abdullah, 49, dia berasa gembira melihat suasana meriah dan harmoni di rumah terbuka tersebut kerana bukan sahaja dapat bersama-sama dengan masyarakat Cina merayakan sambutan Tahun Baharu Cina namun dia juga dapat berjumpa dengan para pemimpin dalam suasana santai sebegini.

Bagi individu yang mahu dikenali sebagai Uncle Lee, 62, walaupun semalam merupakan hari terakhir sambutan Tahun Baharu Cina, yang juga dikenali sebagai perayaan Chap Goh Mei, namun suasana rumah terbuka tersebut tetap meriah dengan kehadiran ramai warga Labuan.

Dia juga besetuju bahawa suasana perpaduan sebegini mampu menarik para pengunjung untuk berkunjung ke sini kerana masyarakat di Labuan turut bersatu-padu dalam kemesraan menyambut kedatangan para pelancong ke sini.
-DZ

Tinggalkan komen anda