
Laporan oleh : Mohamad Borhan Ahmad Ulis / Foto oleh : Cassidy Lisut
LUNDU, 12 Feb (Malaysiaaktif) – Penganjuran Program Pemimpin Bersama Komuniti Zon Sampadi bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk bertemu secara bersemuka dengan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia yang diadakan petang tadi menjadi pemangkin kepada hubungan erat antara pemimpin dan rakyat.
“Pelaksanaan penganjuran yang berbentuk santai diisi dengan aktiviti seperti kenduri, pertandingan sukan dan peraduan mewarna. Konsep sebegini akan memudahkan pergaulan antara penduduk kampung dengan pihak penganjur, iaitu Jabatan Penerangan Malaysia,” kata lagi.
Jailani turut mengambil contoh pemimpin yang dekat di hati rakyat iaitu mantan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang terkenal dengan laungan keramatnya, “Ohaaa” yang kini masih dirindui oleh segenap lapisan masyarakat Bumi Kenyalang.
“Allayarham banyak meninggalkan jasa kepada rakyat negeri ini seperti projek Lebuhraya Pan Borneo dan rundingan penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963. Sewajarnya usaha beliau itu akan diteruskan oleh penggantinya, Abang Jo,” ujarnya lagi.
Beliau juga menyeru kepada masyarakat di kawasan Sampadi agar turun untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 18 Februari 2017 nanti bagi menentukan masa hadapan yang lebih terjamin.
-MSM