Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Mahkamah Rendah Syariah Kedua Masjid Tanah, Selangkah Membangun

By 12 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh : Noraidah Mat Seh dan Nur Hafif Zainurdin

ALOR GAJAH, 12 Feb (Malaysiaaktif) – Daerah Masjid Tanah kini selangkah membangun dengan terdirinya sebuah lagi Mahkamah Rendah Syariah.

Mahkamah ini merupakan lambang kemajuan Masjid Tanah kerana merupakan Mahkamah Rendah Syariah yang kedua ditubuhkan di daerah ini.

Berfungsi sebagai sebuah institusi penghakiman yang memberi khidmat pembelaan dan kehakiman ini, masyarakat setempat yang inginkan khidmat kaunseling, pembelaan serta keadilan, kini oleh mendapatkannya dengan lebih mudah dengan adanya Mahkamah Rendah Syariah kedua ini.

Menariknya, bangunan mahkamah ini merupakan kediaman penghulu di DUN tersebut yang telah lama terbiar dan tidak didiami yang dibaiki dan dihias semula tanpa melibatkan kos yang tinggi untuk dijadikan sebuah mahkamah.

Menurut seorang penduduk tempatan, Yusof Salleh, 55, penambahan sebuah lagi mahkamah syariah ini memudabkan masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan mahkamah.

Yusof Salleh

“Dengan adanya dua mahkamah syariah di Masjid Tanah ini, ia bukanlah menunjukkan bahawa kes penceraian di sini tinggi, namun ia adalah satu langkah bagi memudahkan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan di mahkamah.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana mewujudkan satu lagi kemudahan kepada masyarakat Masjid Tanah,” ujarnya.

Selain itu, seorang lagi penduduk setempat yang ditemui, Nailah Samad, 27, berharap kes-kes dapat diselesaikan dalam waktu yang singkat dengan kewujudan dua mahkamah syariah tersebut.

Nailah Samad

“Dengan adanya dua mahkamah syariah di Alor Gajah, saya berharap kes-kes yang dibicara akan diselesaikan dalam tempoh waktu yang singkat tanpa perlu menunggu masa berbulan-bulan lagi,” katanya.

Manakala, seorang penduduk dari Kuala Linggi, Nor Rashid Noordin, 52, berkata: “Apa yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada masyarakat hari ini, membuktikan kerajaan sangat mengambil berat akan permasalahan rakyat dan sangat komited dalam membantu memudahkan urusan rakyat.

Nor Rashid Noordin

“Saya amat berterima kasih kepada kepimpinan Ketua Menteri Melaka yang telah banyak membantu rakyat khususnya penduduk di daerah ini,” ujar Rashid ketika ditemu bual semasa majlis pelancaran Mahkamah Syariah Masjid Tanah, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron semasa merasmikan mahkamah syariah ini berkata, “penubuhan Mahkamah Rendah Syariah di Masjid Tanah ini diharap dapat memudahkan mereka yang menetap jauh untuk berurusan dari segi kekeluargaan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron ketika merasmikan Mahkamah Rendah Syariah Masjid Tanah yang kedua.

“Ini kerana mahkamah syariah yang sedia ada terletak di Daerah Alor Gajah dan ianya menyukarkan penduduk yang menetap jauh di pedalaman terutamanya yang tinggal di Kuala Linggi.

“Pembinaan mahkamah ini juga diharapkan mampu menjimatkan masa untuk menyelesaikan sesebuah tuntutan atau kes tetapi ia juga bergantung terhadap kerjasama yang diberikan untuk menguruskan satu-satu kes yang telah difailkan,” ujarnya.

Tambahnya, jumlah kes penceraian di Melaka masih di tahap yang tidak membimbangkan walaupun jumlah kes meningkat dari tahun ke tahun.


“Mulai tahun 2011, kes penceraian meningkat setiap tahun di Daerah Alor Gajah sehingga mencatatkan sebanyak 723 kes pada tahun 2016 sahaja.

“Statistik menunjukkan bilangan pasangan yang bercerai adalah lebih ramai di Parlimen Masjid Tanah berbanding Parlimen Alor Gajah. Statistik dari tahun 2011 sehingga 2016 mencatatkan peningkatan bilangan dari tahun ke tahun,” katanya.

Jelasnya, 2011 kes mal sebanyak 495 jenayah 99, 2012 kes mal sebanyak 534 jenayah 66, 2013 kes mal 542 jenayah 25, 2014 kes mal sebanyak 587 jenayah 44, 2015 kes mal 617 jenayah 16 dan sehingga 19 Disember 2016 kes mal sebanyak 617 jenayah 78 kes.

“Secara keseluruhannya, kes penceraian di Negeri Melaka mencatatkan peningkatan sebanyak 500 kes pada 2016 berbanding 2015. Walau bagaimanapun, kes penceraian di negeri Melaka adalah jauh lebih rendah berbanding kes-kes di negeri lain,” ujar Idris.

-DZ

Tinggalkan komen anda