Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Projek Pembangunan RM330 Ribu Buat Kg Pueh

By 13 Februari 2017Februari 14th, 2017Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Nur Faezah Salam & Mohd Baharruddin Mohamad / Foto: Jaed Tepus & Razali Ihi

LUNDU, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Kampung Pueh di sini bakal menerima empat projek pembangunan dan naik taraf bernilai RM330 ribu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat pengumuman tersebut ketika Program Jiwa Murni, Gotong Royong Perdana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dekat sini semalam.

Ketibaan Ahmad Zahid disambut meriah masyarakat Kampung Pueh.

Ketibaan Ahmad Zahid disambut meriah masyarakat Kampung Pueh.

“Empat projek pembangunan membabitkan Kampung Pueh termasuklah Gelanggang Sukan Serbaguna bernilai RM80 ribu, naik taraf dan baik pulih Dewan Serbaguna Kampung Pueh RM150 ribu.

“Pendawaian semula bekalan elektrik Rumah Panjang Nek Bujur, Kampung Pueh RM60 ribu dan baik pulih balai raya Zon Sungai Merah Kampung Pueh bernilai RM40 ribu,” jelas Zahid lagi.

Menyentuh Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 7, Zahid menambah sesuatu kemajuan, kestabilan politik dan ekonomi baik untuk sesebuah negara tetapi tiga unsur tersebut  akan lebih penting jika soal pertahanan dan keselamatan diberi perhatian melalui NBOS.

Timbalan Perdana Menteri melawat pusat derma darah di Kampung Pueh.

Timbalan Perdana Menteri melawat pusat derma darah di Kampung Pueh.

“Dan kerana itu, tugas tentera bukan hanya sekadar mempertahankan negara tetapi juga membantu demi kepentingan rakyat keseluruhannya melalui  Program Jiwa Murni,” ujar Ahmad Zahid  lagi.

Terdahulu Zahid turut menyerahkan Khairat Kematian Insurans Perlindungan Kemalangan Diri Berkelompok RELA dan kerusi roda kepada Penerima Khidmat Bakti RELA bertempat di Dewan Masyarakat Lundu pagi tadi.

Nur Adila Shafiqa Aping dari Kampung Sebat turut menerima kerusi roda

Nur Adila Shafiqa Aping dari Kampung Sebat turut menerima kerusi roda

Salah seorang penierima, Awang Maraikan Awang Mos, 71  dari Kampung Tanah Hitam yang mengalami penyakit kencing manis dan cacat kaki sebelah kiri berkata kerusi roda yang diterima memudahkan pergerakannya.

“Kerusi roda yang saya guna sekarang ialah derma daripada Jabatan Kebajikan. Oleh sebab kaki sebelah kiri sudah dipotong maka saya agak susah untuk berjalan. Dengan adanya kerusi roda ini nanti saya akan gunakan sebaik-baiknya. Kepada RELA, terima kasih kerana prihatin  dan membantu OKU,” ujarnya.

Bagi seorang lagi penerima, Nur Adila Shafiqa Aping,23 dari Kampung Sebat, oleh sebab kerusi roda yang sedia ada telah digunakan sejak tiga tahun lalu, kerusi roda yang diterimanya kali ini amat dihargai.

“Sejak tiga tahun yang lalu saya menggunakan kerusi roda ini kerana mengalami penyakit lemah kaki sejak beberapa tahun yang lalu. Kerusi yang saya terima pada pagi ini saya berjanji untuk menjaga dengan sebaik-baiknya,” ujarnya lagi.

Zahid  kemudiannya meluangkan masa untuk menghadiri Majlis Minum Petang TPM bersama Warga Wataniah dan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) di Kem PLKN Putra Sentosa, Semantan.

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda