Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Karnival Kerjaya Johor Buka 5,000 Peluang Pekerjaan

By 30 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan oleh : Hamisah Sumar / Foto: Komala Soundara Rajan (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Kira-kira 5,000 peluang pekerjaan dan 700 kursus kemahiran dibuka kepada orang ramai dalam Karnival Kerjaya Johor Berkemahiran 4.0 2017, di sini semalam.

Menurut salah seorang peserta, Dalila Dahari, 30, program ini menyediakan peluang kerjaya, kemahiran, perniagaan, kesukarelawan dan pelbagai informasi berguna untuk ditimba oleh peserta yang turut serta pada kali ini.

“Sekarang bukan masa lagi nak duduk bersembang kosong, tetapi kita kena bangkit, usaha dan majukan ekonomi kita. Peluang tidak akan datang bergolek, jadi semua orang berpeluang untuk bekerja mengikut bidang dan kemahiran masing-masing,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Dan Sumber Manusia Negeri Johor, R.Vidyananthan memaklumkan karnival ini adalah kerjasama Unit Swadaya Insan Johor, JobsMalaysia, Azam Kerja Muafakat Johor dan Jabatan Pembangunan Kemahiran.

“Sebelum ini Kembara Kerjaya telah membantu lebih 4,000 orang mendapat pekerjaan dan pada tahun ini Karnival Kerjaya Johor Berkemahiran 4.0 2017 menyasarkan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan dan 700 kursus kemahiran kepada rakyat Johor.

“Antara peluang pekerjaan yang ditawarkan ialah dalam bidang kejuruteraan, jurukimpal, kursus kemahiran, bidang animasi, bidang hospitaliti, perhotelan, pentadbiran dan kemahiran yang bertujuan untuk membina modal insan cemerlang.

“Jawatan yang ditawarkan adalah dari serendah-rendah jawatan sehingga ke jawatan tertinggi. Peluang ini ditujukan khas untuk Bangsa Johor supaya anak-anak muda tidak perlu berhijrah ke tempat lain untuk mendapatkan pekerjaan,” jelasnya.

R.Vidyananthan turut menyeru kepada semua anak-anak Johor yang sedang mencari pekerjaan supaya datang ke lokasi Kembara Kerjaya Johor Berkemajuan 4.0 2017 yang diadakan di lima daerah di Johor.

kerjaya

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin memberitahu bahawa karnival ini akan bergerak dari daerah Johor Bharu, Kluang, Batu Pahat, Muar, Segamat dan berakhir di Kilang Bateri Johor Bahru pada 2 April 2017.

“Bukan sahaja menyediakan khidmat nasihat, temuduga terbuka dan peluang pekerjaan, malah karnival ini turut menyediakan kursus-kursus pendek kemahiran, maklumat peluang dalam bidang kemahiran dan usahawan, maklumat mengenai pembangunan Johor dan informasi interaktif dari pelbagai agensi yang akan turut serta khasnya kepada lepasan PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3), SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)), Diploma, Ijazah dan Sarjana,” katanya.

Tambah Khaled, lebih 70 buah agensi swasta serta syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) turut serta dalam karnival yang diadakan selama lima hari bermula pada 29 Mac hingga 2 April 2017.

Antara lokasi yang akan dikunjungi oleh konvoi Kembara Kerjaya Johor Berkemahiran 4.0 2017 ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang, Kluang (29 Mac 2017), Dewan Jubli Intan Batu Pahat (30 Mac 2017), Dewan Serbaguna Tun Sulaiman Ninam Shah, Muar (31 Mac 2017), Dataran Segamat (1 April 2017) dan Kilang Bateri Johor Bahru (2 April 2017).

– AH

Tinggalkan komen anda