Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pencinta Bunga Anggap Hobi Sebagai Rezeki Keluarga

By 30 Mac 2017Tiada komen4 minit bacaan

Oleh: Fezieana Anak Rajasmi / Foto Zamlan Ramle & Mohd Yusrie Othman (Sabah)

BEAUFORT, 30 Mac (Malaysiaktif) – Setiap individu pasti memiliki hobi tersendiri sama ada minat mengumpul setem, koleksi kasut, memelihara haiwan ternakan hinggalah kepada minat terhadap bunga-bungaan.

Namun, tidak semua individu memahami bahawa hobi mampu memberi pulangan lumayan jika dikomersialkan bagi menampung permintaan ramai oleh masyarakat sekitar, swasta atau agensi pentadbiran kerajaan.

Pemilik Pilajau Nursery, Yanti Munchit, 37, tidak menyangka minat pada bunga membawanya sehingga membuka sebuah nurseri hari ini.

Pilajau Nursery.

Pilajau Nursery.

“Saya memang minat terhadap bunga-bungaan, setiap hari pada masa lapang aktiviti utama yang dilakukan ialah menanam pokok bunga di halaman rumah.

“Setiap kali saya berpeluang ke tamu minggu di pekan Beaufort saya pasti akan singgah di gerai bunga untuk melihat jenis bunga yang tiada dalam koleksi taman halaman rumah,” ujarnya.

Jelasnya, ke mana-mana sahaja dia pergi, apabila terlihat bunga cantik di sepanjang perjalanan yang dilalui, pasti dia tidak akan lepaskan peluang untuk mengambilnya dan terus menanam di halaman rumah.

Tambahnya, tidak dapat dinafikan hobi menanam pokok bunga ini juga terdorong apabila dia sekeluarga mengalami tekanan hidup untuk membesarkan tiga cahaya mata ditambah suami ketika itu tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Sebagai seorang suri rumah sepenuh masa, aktiviti menanam pokok bunga ini sajalah yang dapat memberikan ketenangan dan kepuasan kepada diri untuk mengurangkan tekanan fikiran tersebut,” ujarnya.

Antara peralatan yang terdapat di nurseri tersebut.

Antara peralatan yang terdapat di nurseri tersebut.

Menceritakan permulaan hobinya yang memberikan pulangan, Yanti berkata, mulanya dia hanya menggantung beberapa pokok bunga dalam pasu di sebuah pondok kecil di hadapan rumah.

“Saya menggantung dalam 15 buah pasu bunga di pondok hadapan rumah. Mulanya saya hanya beranggapan tindakan ini dianggap sebagai perhiasan semata-mata tetapi Allah Maha Kuasa, pasu bunga yang digantung mendapat perhatian pembeli.

“Setiap minggu pasti ada saja seorang dua pembeli akan singgah ke pondok kecil untuk membeli bunga tersebut. Ini menyebabkan jumlah jualan semakin meningkat daripada 15 pasu kepada 20 pasu.

“Dengan sambutan positif yang diterima saya bersama suami, Azman Napih, 41, membuat keputusan untuk menjadikan hobi ini suatu perniagaan bagi menampung keperluan hidup seharian. Melalui simpanan berjumlah RM600, kami serahkan nasib menubuhkan perniagaan Pilajau Nursery,” jelas Yanti, apabila ditemui wartawan Malaysia Aktif di kediamannya di Kampung Pilajau pada Rabu.

Yanti (kanan) bersama pelapor Malaysia Aktif.

Yanti (kanan) bersama pelapor Malaysia Aktif.

Kini, Pilajau Nursery semakin berkembang dan mendapat permintaan bukan sahaja daripada individu malah daripada pihak syarikat landskap dan agensi kerajaan.

Dengan pendapatan kasar sebulan yang diperoleh sekitar RM15,000 hingga RM30,000 sebulan, Pilajau Nursery menawarkan pelbagai jenis bunga seperti bunga orkid, cempaka, bunga kertas, ros, bunga raya hinggalah kepada pokok bonzai.

Selain itu, nurseri ini turut menjual pelbagai peralatan menanam pasu bunga seperti baja bunga, tanah hitam, racun serangga, tanah baja serta pasu bunga pelbagai saiz berharga RM7 hingga RM100 mengikut jenis dan saiz pasu.

Umpama peribahasa Melayu, alang-alang penyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, Yanti dan suami terus mengorak langkah berani mengembangkan perniagaan hingga ke kota raya Kota Kinabalu seterusnya ke Tamu Putatan, Penampang, Inanam dan Gaya Street malah kini turut menerima tempahan sehingga ke Tawau untuk memenuhi permintaan pelanggannya.

Menurut Yanti, berikutan permintaan bunga semakin meningkat, nurserinya terpaksa mendapatkan bekalan bunga dari negara luar seperti Brunei Darussalam dan Thailand yang dihantar melalui kargo.

“Bekalan bunga diterima sebanyak tujuh kotak sekali seminggu. Setiap kotak mengandungi empat sehingga 100 pokok mengikut saiz dan jenis bunga. Dianggarkan nilai tempahan berjumlah RM30,000 setiap kali tempahan dibuat.

Berkongsi pengalaman mengembangkan perusahaan ini Yanti berkata sejak usaha ini berhasil, nurseri ini pernah dilawat oleh agensi Bank Negara Kota Kinabalu berikutan adanya transaksi kewangan luar negara.

“Mulanya agak risau tetapi apabila dijelaskan baru kami mengetahui prosedur sebenar, begitu juga dengan agensi penguat kuasa seperti Kastam yang turut meluaangkan masa meninjau kebenaran kewujudan perusahaan ini.

nursery5

Jelasnya lagi, semua tempahan yang dilakukan berpandukan prosedur import oleh Jabatan Pertanian Sabah melalui tempoh kuarantin tumbuhan di Kinarut, Papar sebelum boleh dipasarkan.

Yanti bercadang ingin mendapat khidmat daripada agensi tertentu dalam usahanya mendapat bantuan khusus membimbing perniagaan bagi mendapat pasaran lebih luar termasuk luar Negara.

“Ketika ini memang banyak agensi yang menawarkan perkhidmatan seperti Bank Pertanian Papar yang membuka ruang bagi mendapatkan bantuan dana tetapi fokus utama ketika ini adalah dari sudut penjagaan.

Sementara itu, bagi Pegawai Pertanian, Seksyen Biosekuriti dan Kuarantin Tumbuhan, Jabatan Pertanian Sabah, Joseph Fung ketika dihubungi berkata Pilajau Nursery sentiasa memberi kerjasama baik terutama dalam memastikan proses membawa masuk tumbuhan dari luar negara mematuhi prosedur yang ditetapkan.

“Ketika ini nurseri berkenaan memang banyak melakukan tempahan luar negara terutama dari Thailand dan spesis bunga-bungaan yang sering ditempah ialah orkid.

“Pihak kami berharap agar mana-mana syarikat yang mengusahakan nurseri turut mengambil contoh seperti Pilajau Nursery bagi memastikan prosedur kemasukan tumbuhan dari luar negara sentiasa dipatuhi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adik Yanti yang juga merupakan pembantu pekerja di nurseri tersebut, Rumawi Munchit, menyatakan dia bangga dengan kejayaan kakaknya.

“Saya tidak terfikir hobi minat pada pokok bunga mampu memberikan pulangan yang cukup besar. Ini menjadi motivasi kepada saya untuk mencontohi kesungguhan kakak hingga berjaya pada hari ini,” ujarnya yang menjaga dan merawat pokok-pokok bunga di nurseri tersebut.

Rumawi turut berkongsi pengetahuan terhadap bunga iaitu orkid iaitu sejenis bunga yang mudah dijaga kerana hanya perlu disiram sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan merupakan bunga yang popular dalam kalangan pelanggannya.

-SF

 

Tinggalkan komen anda