Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Kota Al Hasanah Akhiri Lawatan Yang Di-Pertuan Agong Ke Melaka

By 5 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan
Laporan / foto: Khairunnisa Abd Rahman

JASIN, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Lautan manusia membanjiri Kompleks Kota Al Hasanah (KKAH), Sungai Rambai semalam bagi menyambut keberangkatan tiba Yang Di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V yang berkenan melawat ke KKAH sebagai destinasi akhir Lawatan Tugas Khas ke Melaka.

Seawal 8.00 pagi, masyarakat Sungai Rambai dan seluruh Daerah Jasin serta Muar dan Tangkak, Johor mula membanjiri RTC Sungai Rambai dan KKAH bersama-sama menyertai keterujaan untuk menerima kunjungan Seri Paduka.

Keberangkatan tiba Seri Paduka diiringi dengan gema selawat oleh pasukan selawat Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Orang ramai berpusu-pusu turut serta menyambut keberangkatan tiba YDPA ke-15, Sultan Muhammad V.

EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman turut sama mengalunkan selawat.

Seorang penduduk Sungai Rambai, Halimah Ahmad, 60, berkata: “Alhamdulillah, Sungai Rambai sudi dikunjungi Yang Di-Pertuan Agong hari ni. Berganda kegembiraan rakyat Sungai Rambai. Baru-baru ni, Sungai Rambai dah lulus kabinet untuk menjadi Daerah Kecil. Hari ni Agong pula datang sini. Seronok akak, Agong datang melawat pekan kecil kami ini.”

Halimah Ahmad, 60, teruja untuk melihat YDPA Sultan Muhammad V dengan lebih dekat.

Manakala, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rambai, Muhammad Izamri Jasmi, 14, berasa sangat gembira berpeluang menyambut keberangkatan Sultan Muhammad V.

“Saya seronok sangat sebab teruja dapat tengok Yang Di-Pertuan Agong depan mata sendiri hari ni. Majlis hari ni pun meriah sangat. Saya dengan kawan-kawan sekolah datang beramai-ramai untuk jumpa Agong hari ni,” ujar Izamri, gembira.

Pelajar, Muhammad Izamri Jasmi

Keberangkatan Baginda ke KKAH pada 11.30 pagi ini diiringi Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan isteri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz dan Tengku Puan.

Menurut Idris, keberangkatan Seri Paduka ke Melaka membuka catatan sejarah baharu buat Melaka, khususnya kepada rakyat Sungai Rambai.

Keberangkatan tiba YDPA ke-15, Sultan Muhammad V, disambut dengan meriah oleh penduduk sekitar daerah Jasin dan juga dari Muar dan Tangkak, Johor.

“Kompleks Kota Al Hasanah ini terdiri daripada beberapa komponen antaranya Masjid Al Hasanah yang dibina melalui gabungan reka bentuk daripada tiga buah masjid iaitu Masjid Al Haram, Masjid Al Aqsa dan Masjid An Nabawi. Maka, daripada semangat itulah terbit nama Masjid Al Hasanah.

“Kompleks ini turut menyediakan bazar yang menjual pakaian, jubah, barangan keperluan haji dan umrah, gerai makanan berasaskan Timur Tengah seperti kebab, nasi arab dan kambing golek,” jelas Idris dalam ucapan menjunjung kasih.

Tambahnya, terdapat juga Pejabat Majlis Agama Islam seperti Pejabat Agama Islam, Pusat Zakat, Akademi Al Quran dan Mahkamah Syariah.

“Kesemua elemen yang ada di Kompleks ini menepati ciri-ciri sebuah kota Islam dalam skala kecil,” jelas Idris.

Selepas Idris mengakhiri ucapan menjunjung kasih, Sultan Muhammad V berkenan menyempurnakan gimik pembangunan KKAH.

Baginda seterusnya diiringi ke bangunan Mahkamah Syariah Sungai Rambai (MSSR) untuk menandatangani plak perasmian MSSR dan kemudian dibawa melawat ke dalam MSSR sebelum ke majlis santapan rakyat dan berangkat pulang.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda