Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

KRT Tubuh Laman WiFi Bantu Penduduk Setempat

By 5 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan / Foto oleh: M Zakry Chan

MELAKA, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Laman WIFI Taman Bertam Jaya yang memberikan kemudahan internet secara percuma mula beroperasi pada tahun 2012 memberi banyak manfaat kepada masyarakat sekitar.

Merupakan hasil inisiatif Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Taman Bertam Jaya, Nor Hashim Yusof, 56, pada awal penubuhannya, kelajuan internet di Laman WiFi ini hanya 1Mbps dan terdiri daripada dua unit khemah, dua set kerusi dan meja batu sumbangan individu dan KRT Taman Bertam Jaya.

“Laman WiFi yang dilihat pada hari ini adalah hasil sumbangan yang diterima antaranya daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang turut membantu menurap kawasan Laman WiFi yang sebelum ini hanya berlantaikan tanah, dan menyebabkannya berlecak apabila hujan turun selain rasa kurang selesa.

Pengerusi KRT Taman Bertam Jaya, Hashim Yusof.

“Selain itu, bantuan enam set kerusi dan meja batu turut disumbangkan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Abu Bakar Mohamad Diah untuk kemudahan masyarakat khasnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput,” jelasnya.

Tambahnya, kemudahan yang disediakan ini diharap dapat membantu masyarakat untuk mendapatkan maklumat dan urusan dalam talian seperti mendaftar serta mengemas kini Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), memohon pekerjaan, mencari maklumat dan banyak lagi.

Setelah lima tahun beroperasi, sambutan terhadap Laman WiFi ini semakin mengalakkan apabila kelajuan internet dinaik taraf kepada 4Mbps dan boleh diakses selama 24 jam serta tiada kata laluan diperlukan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Abu Bakar Mohamad Diah memberi sumbangan enam set kerusi dan meja batu untuk Laman WiFi.

“Pengunjung yang mengguna pakai pusat ini tidak terhad kepada pendudik Taman Bertam Jaya sahaja, malah, meliputi pendidik Taman Paya Emas, Kampung Bertam Hulu dan Bukit Rambai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hashim turut menjelaskan masalah yang dihadapi dalam memberi perkhidmatan percuma kepada masyarakat ini.

“Apa yang membimbangkan adalah berkaitan vandalisme kerana ada segelintir pengguna yang kurang prihatin berkaitan kemudahan yang disediakan dengan duduk di atas meja, membuang sampah merata-rata dan minum minuman keras di kawasan laman Wifi ini.

Sekitar kawasan Laman WiFi Taman Bertam Jaya.

“Namun begitu, selaku orang yang dipertanggungjawab menjaga Laman Wifi ini, saya akan sentiasa memantau masalah ini dan memastikan pengguna lain selesa,” jelasnya.
Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput, Syazwan Hashim, 16, berkata, Laman WiFi ini sangat membantu pelajar dalam mendapatkan sumber maklumat dalam internet selain sesuai menjadi lokasi pembelajaran berkumpulan yang selesa.

Manakala, seorang lagi pelajar SMK Paya Rumput, Aidil Azwar, 15, turut berasa bersyukur dengan kemudahan ini.

Dari kiri: Syazwan Hashim, Aidil Azwar dan Muhd Arash Zakaria

“Laman WiFi ini dapat membantu pelajar-pelajar mengulang kaji pelajaran melalui internet. Pembelajaran kini lebih mudah seperti memuat turun contoh-contoh kertas peperiksaan,” ujarnya.

Menurut Muhd Arash Zakaria, 16, juga pelajar SMK Paya Rumput yang menetap di Taman Paya Emas, Laman WiDi ini amat berguna kepada masyarakat bukan sahaja untuk kemudahan pembelajaran malah untuk membuat permohonan kemasukan universiti.

“Selain itu, sebagai pelajar, kita harus bertanggungjawab ketika melayari internet kerana kemudahan ini kini banyak disalahgunakan antaranya melayari laman sesawang lucah dan menyebarkan fitnah,” tegas Muhd Arash.

Set kerusi dan meja di Laman WiFi Taman Bertam Jaya kini bertambah dan boleh memuatkan lebih ramai pengguna.


-DZ

Tinggalkan komen anda