Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Mengenang 67 Tahun Pemergian Rosli Dhoby

By 6 Mac 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

Laporan / foto oleh Rosman Zaini

SIBU, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Tanggal 2 Mac 2017 merupakan hari yang penuh bersejarah bagi Sarawak khususnya masyarakat Sibu kerana genap 67 tahun seorang pejuang sejati, Rosli Dhoby mengorbankan diri setelah membunuh Gabenor British kedua, Sir Duncan Steawart, pada 3 Disember 1949. Rosli dihukum gantung di penjara Kuching pada 2 Mac 1950.

Bagi mengenang pergorbanannya, “Malam Baca Puisi Mengenangmu, Rosli Dhoby” telah diadakan pada Sabtu di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor, Sibu anjuran Kelab Deklamator Borneo melalui Warisan Anak-Anak Seni Sibu (WARASS) dan Biro Kebudayaan dan Kesenian Kelab Melayu Kampung Nyabor, Sibu (MUC).

Pengerusi WARASS, Sulaihi Yahya menyampaikan ucapan

Pengerusi WARASS, Sulaihi Yahya menyampaikan ucapan

Menurut Pengerusi WARASS, Sulaihi Yahya, program tersebut diadakan bagi mengingatkan rakyat Sarawak dan Sibu khususnya agar tidak lupa akan perjuangan Rosli Dhoby bagi membebaskan Sarawak daripada penjajahan British secara rasmi pada 1 Julai 1946.

“Golongan muda khususnya, nama Rosli Dhoby mesti terpahat dalam ingatan mereka. Dibimbangi peralihan tahun dan zaman, masyarakat akan mula melupakan tokoh yang banyak berjasa kepada Sarawak.

“Diakui, perjuangan Rosli Dhoby bukan keseorangan malah nama seperti Bujang Suntong, Morshidi Sidek dan Awang Rambli juga menjadi pendorong kepada pembunuhan Sir Duncan Stewart. Namun, semangat muda Rosli Dhoby harus dikenang kerana hasratnya untuk membunuh Duncan menjadi kenyataan,” tegasnya.

Wakil WARASS, Ismuni (kiri), menyampaikan cenderamata kepada anak saudara Rosli Dhoby iaitu Musa Ainie (kanan)

Wakil WARASS, Ismuni (kiri), menyampaikan cenderamata kepada anak saudara Rosli Dhoby iaitu Musa Ainie (kanan)

Sementara itu, sejarawan Sibu, Hamden Merais yang dikenali sebagai Pak Den, 78, mengimbas kembali betapa Rosli Dhoby bersemangat membunuh Duncan yang dijadualkan ke Sibu pada 3 Disember 1949.

“Tarikh tersebut merupakan tarikh keramat kerana pada masa itu tepat 9.30 pagi, Duncan telah tiba di pangkalan Pelabuhan Sibu menuju ke Dataran Sibu melalui hadapan barisan murid Sekolah Rendah Chung Hua, Sekolah Rendah Abang Ali, Sekolah Methodist dan Sekolah Roman Catholic Mission dalam rangka lawatan ke Sibu untuk bertemu rakyat dan para pemimpin tempatan.

“Di situlah, Rosli Dhoby tanpa disedari oleh polis British yang mengiringi kawalan perbarisan dengan tiba-tiba muncul di hadapan Duncan dan terus menusuk pisau atau badik tepat mengenai perut Duncan.

“Rakan Rosli Dhoby iaitu Morshidi Sidek yang turut berada di situ menyangka tusukan Rosli Dhoby tidak kena pada Duncan turut membantu usaha membunuh tersebur tetapi digagalkan oleh polis British. Ketika itu, Rosli dan Morshidi ditangkap dan terus dibawa ke rumah pasung, Balai Polis Sibu,” ujar Pak Den lagi.

“Dalam pada itu, detik yang paling sukar dilupakan ialah bagaimana perbicaraan demi perbicaraan diadakan selepas pembunuhan tersebut. Rosli Dhoby telah didapati bersalah dan dibawa ke penjara Kuching. Maka, pada 2 Mac 1950, tepat 6.30 pagi selepas solat Subuh, Rosli Dhoby dan Morshidi Sidek telah dihukum gantung sampai mati.

“Manakala dua orang rakannya, Awang Rambli dan Bujang Suntong telah dihukum gantung pada 23 Mac 1950.

“Sebagai penghargaan selaku anak watan Sibu, kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah mengembalikan kuburnya yang lama berada di penjara Kuching untuk disemadikan di Sibu pada 2 Mac 1996,” ujar Pak Den sebak.

Rusdi Sirad (Komek), Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian MUC Sibu

Rusdi Sirad (Komek), Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian MUC Sibu

Bertemakan “Kecekalan dan Keberanian Rosli Dhoby”, seramai 14 orang pemuisi tampil dalam pelbagai bentuk persembahan puisi yang diketengahkan secara solo mahupun berkumpulan.

Bagi Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian MUC, Rusdi Sirad yang dikenali sebagai Komek, 57, program sebegini wajar diteruskan pada masa akan datang.

“Program ini pertama kali diadakan yang pada mulanya merupakan inisiatif WARASS. Namun, atas semangat mengenang kembali pengorbanan Rosli Dhoby, pihak MUC dan semua ahli jawatankuasa telah bersetuju untuk bergabung bagi menyemarakkan semangat anak-anak Sarawak supaya sentiasa ingat akan perjuangan Rosli Dhoby dan rakan-rakannya sejak 1946.

“Amat malang, jika generasi muda sekarang tidak mengenali siapa Rosli Dhoby dan sejarah perjuangannya. Tidak mustahil, jika usaha untuk mengembalikan kenangan ini tidak dibuat, sejarah ini akan pupus dan rakyat mula lupa akan perjuangan beliau,” ujar Komek dengan penuh bersemangat.

Cikgu Joni mendeklamasikan puisi Mencari Wira

Cikgu Joni mendeklamasikan puisi Mencari Wira

Dalam pada itu, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dalat, yang hanya mahu dikenali sebagai Joni menyifatkan Rosli Dhoby seorang pejuang yang berani. Melalui puisi Mencari Wira, Joni mengingatkan dirinya dan masyarakat agar mencontohi kecekalan Rosli Dhoby yang pada usia mudanya telah memberi kejutan kepada dunia bahawa anak Sarawak bukan calang-calang orang yang boleh dipermainkan oleh pihak British.

“Saya sanggup datang dari jauh untuk mempersembahkan semangat atas nama cinta kepada perjuangan. Generasi sekarang perlu mencontohi ketabahan dan keberanian Rosli Dhoby untuk membebaskan Sarawak daripada penjajahan British,” pesannya.

IMG_1581

Hashimah Siri, menyampaikan puisi bertajuk Manifesto Perjuangan Seorang Wira

Pendeklamasi puisi terkenal Sarawak, Hashimah Siri dari Daro, Mukah pula mendedikasikan puisi Manifesto Perjuangan Seorang Wira kepada generasi muda sekarang dan rakan-rakannya.

Antara bait puisinya:

Pada malam bulan padam
dan bintang-bintang bercahaya hitam
sebuah gelanggang adalah sebidang tanah
tapak negeri dan tamadun tua
sedang menghitung saat pelupusannya
di permukaan meja sejarah
penuh hidangan
rangkaian peristiwa zaman demi zaman
wira tanpa nama…

“Rosli Dhoby banyak berjasa kepada Sarawak dan sejarahnya telah memahat satu kekuatan kepada masyarakat Sarawak. Walaupun telah 67 tahun Rosli Dhoby meninggalkan kita, sejarah dan perjuangannya masih tetap diingati sehingga sekarang,” ujarnya seusai membaca puisi tersebut.

Turut hadir, Penghulu, Mohd Kassim, Pengerusi MUC, Annuar Taha dan anak saudara Rosli Dhoby iaitu Musa Ainie.

SF

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda