Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Pesta Angin Timur Perlis 2017 Jana Ekonomi Rakyat

By 5 Mac 2017Mac 9th, 2017Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / foto oleh Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)

Arau, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Setiap tahun sekitar bulan Mac adanya angin dingin bertiup pada waktu malam di Perlis yang dipanggil angin timur. Pada waktu ini padi telah selesai dituai. Bendang atau sawah padi terbiar kosong.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli berkata, pihak kerajaan melalui JKKN dengan kerjasama kerajaan negeri Perlis mengambil kesempatan ini untuk menyerlahkan lebih 50 acara di Pesta Angin Timur (PAT) 2017 dari 3 hingga 5 Mac di Kampung Telela, Pauh, Arau, Perlis.

Sebagian aktiviti di dalam PAT 2017 ini, ialah aktiviti rakyat seperti menggagau ikan, bermain wau, pukul bantal dan sebagainya.

Separuh lagi ialah aktiviti menjana ekonomi bagi penduduk tempatan. 200 gerai disediakan bagi masyarakat tempatan menjual produk mereka, sama ada hasil tangan, makanan warisan, buah-buahan atau apa saja, ujarnya lagi.

Seterusnya acara dilengkapkan dengan persembahan yang berunsur budaya seperti dikir barat, mek mulung, “ghazal party” dan irama 60an.
Noriza berkata, ini ialah kali ke lima jabatannya menganjurkan PAT di negeri Perlis ini. Program ini bertujuan menyerlahkan aktiviti masyarakat kampung di negeri Perlis khususnya Kampung Telela yang dipilih pada tahun ini.
Menurut seorang pengunjung dari Kulim Kedah, Megat Mertaba Megat Yunus, 59, dia dan isterinya datang ke PAT 2017 ini kerana ingin melihat kebudayaan lama yang dipertunjukkan kembali di sini. Hari ini dia dan isterinya berpeluang melihat kaedah menumbuk emping padi.

Rosmawati Mohd Ismail, 32, dari Padang Katong Perlis berkata, dia suka datang ke PAT ini setiap tahun untuk melihat Kubota Berhias.

Menurutnya berbeza dengan tahun lepas, peserta tahun ini jauh lebih kreatif dan menarik. Mereka pada tahun ini menjadikan pelamin sebagai tandu yang di bawa oleh kubota berhias.

Katanya lagi, acara seperti ini dapat menjana ekonomi tempatan dan menyatupadukan rakyat. “Masyarakat kampung dapatlah rezeki lebih kerana ramai orang datang membeli hasil jualan mereka.

Menurut Azlan Ahmad, 54, dari gerai jualan FAMA, dia sebenarnya mengjangkakan tahun ini pengunjung akan berkurangan kerana suasana tapak yang sangat panas dan berdebu, tetapi jangkaannya meleset kerana hasil jualan meningkat dari tahun lalu.

Peniaga Baju, Mohd Hanizam Azhar, 23 dari Padang Besar, berkata, keadaan tapak PAT tahun lepas lebih baik. Di sini terlalu berdebu dan hari ini berselut. Walaupun begitu, jumlah pengunjung berlipatkali ganda dan baju jualannya amat laris berbanding tahun lepas, bajunya tidak habis dijual.

Pengunjung ke PAT 2017 mencapai sasaran 100 ribu orang. Ini diumumkan oleh ADUN Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob mewakili Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang merasmikan penutupan PAT 2017 pada pukul 6.30 petang ini.

Tinggalkan komen anda