Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sepasang Cermin Mata Beri Sinar Harapan

By 6 Mac 2017Mac 8th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Asmidar Zainol (Sabah)

KOTA BELUD, 6 Mac (Malaysiaktif) – Hidup bagai bersinar kembali, harapan umpama bertaut erat memberi peluang kepada cahaya kejayaan apabila sebahagian pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Arshad di daerah ini menerima sepasang cermin mata.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Arshad, Hasrinawati Datuk Golkhan, ketika ini terdapat beberapa pelajar di sekolah terbabit mengalami masalah kekaburan penglihatan

“Syukur bantuan yang diterima dapat meringankan beban ibu bapa pelajar yang kurang berkemampuan untuk membuat rawatan mahupun menyediakan sepasang cermin mata untuk anak mereka.

Salleh (dua dari kanan) menyampaikan Bantuan Awal 1Malaysia kepada salah seorang penerima di Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan II, Kota Belud.

Salleh (dua dari kanan) menyampaikan Bantuan Awal 1Malaysia kepada salah seorang penerima di Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan II, Kota Belud.

Sumbangan ini turut membantu para pelajar untuk lebih fokus kepada pelajaran seperti rahmat dan nikmat apabila dapat melihat lebih jelas berbanding sebelum ini.

Katanya, Maxie merupakan antara 15 pelajar yang menerima sumbangan tersebut daripada Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Dr Salleh Keruak di sekolah terbabit pada Sabtu.

“Sebenarnya ramai lagi pelajar yang mengalami masalah penglihatan ketika ini dan kami terpaksa melakukan beberapa saringan terhadap 50 pelajar kurang berkemampuan yang memerlukan bantuan tersebut.

“Kami berharap akan ada lagi mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan selepas ini bagi memastikan setiap pelajar yang bermasalah penglihatan ini dapat menerima bantuan sewajarnya,” ujarnya semasa ditemui Malaysia aktif selepas penyampaian sumbangan tersebut.

Salleh bergambar kenangan bersama ibu bapa dan pelajar SMK Arshad.

Salleh bergambar kenangan bersama ibu bapa dan pelajar SMK Arshad.

Penerima yang pelajar Pendidikan Seni Visual Maxie Breyen B.K Lipsu, 16, meluahkan perasaan gembira yang jelas terpancar di wajahnya selepas menerima sepasang cermin mata tersebut.

Maxie mengalami masalah rabun teruk hingga memerlukan “power” kanta hingga 600 darjah untuk memudahkannya dapat melihat dengan lebih jelas.

“Saya mula mengalami masalah penglihatan ini agak lama, iaitu sejak di tingkatan dua tapi tidak teruk dan selepas menduduki Penilaian Tingkatan Tiga (PT3), semakin teruk tapi terpaksa juga saya hadapinya disebabkan kurang kemampuan memiliki sepasang cermin mata.

“Terima kasih Datuk Salleh kerana beri saya sinar harapan dan saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk capai kejayaan pada peperiksaan SPM nanti,” Ujarnya.

Bagi Maxie, sumbangan tersebut amat dihargai kerana dapat membantunya melihat dengan lebih jelas dan seterusnya dapat belajar dengan lebih baik untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Salleh turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 ribu kepada sekolah berkenaan bagi tujuan naik taraf dewan sekolah terbabit.

Salleh turut merasmikan majlis Penyerahan Bantuan Awal 1Malaysia kepada 50 pelajar kurang berkemampuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan II, seterusnya merasmikan Bengkel Peningkatan Profesionalisme – Pemaju Masyarakat KEMAS 2017 di Dewan KEMAS Kota Belud.

Dalam ucapan perasmian majlis berkenaan, Salleh menggesa orang ramai supaya tidak terlalu mudah menyebar dan menular maklumat yang belum pasti kesahihannya melalui media-media sosial.

Salleh berkata, penyebaran maklumat yang belum disahkan kesahihannya boleh mengundang pelbagai persepsi kepada masyarakat.

Salleh turut menyarankan supaya penduduk setempat mengambil peluang menambah pendapatan melalui penyertaan program keusahawanan menggunakan landasan dalam talian iaitu eUsahawan dan eRezeki anjuran Multimedia Development Corporation (MDeC).

-SF

Tinggalkan komen anda