Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Mudarat Hayat Alam Sekitar Angkara Manusia

By 31 Mac 2017April 2nd, 2017Tiada komen5 minit bacaan

 

 Laporan / Foto : Lim Ann Teck dan Azreen Ahmad

MELAKA, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Alam semesta adalah hak semua makhluk di dunia. Tetapi dalam mengejar pembangunan, manusia rakus sehingga tidak mengambil berat keseimbangan ekosistem alam sekitar.

Ahli alam sekitar Amerika Syarikat, David Ross Brower menyatakan ‘we do not inherit the earth from our ancestors but we borrow it from our children’ yang membawa maksud masa depan anak cucu kita pada masa hadapan bergantung kepada tindakan kita pada hari ini.  Sekiranya kita tidak bertindak bijak sekarang ia akan membawa musibah pada masa akan datang.

Malayia, yang merupakan ahli Conference of Parties (COP), menyatakan komitmennya untuk mengurangkan 40 peratus pembebasan karbon pada tahun 2020 dalam persidangan COP ke-15 di Copenhagen, Denmark pada 2009.

Jumlah Keluasan Hutan di Semenanjung dari tahun 1954 hingga 2000 (berkurang sebanyak 3.5 juta hektar)

Jumlah keluasan hutan di Semenanjung Malaysia berkurang sebanyak 3.5 juta hektar bermula dari tahun 1954 hingga 2000. / Sumber gambar: relaksminda.com

Pada tahun 1965, Malaysia membebaskan sebanyak tujuh juta tan karbon dioksida. Pembebasan itu meningkat sehingga 100 juta tan pada 1996 dan mencecah tahap membimbangkan iaitu 258 juta tan pada 2014.

Peningkatan pelepasan karbon dioksida yang mengurangkan lapisan ozon ini adalah akibat daripada penggunaan yang tidak terkawal pelepasan gas karbon dari kereta, kilang, dan lain-lain. Ini mengakibatkan sinaran matahari boleh sampai secara langsung kepada kita tanpa lapisan perlindungan dan seterusnya menyebabkan kanser selain boleh menyebabkan kematian kerana gelombang haba yang tinggi.

Penebangan hutan secara tidak terancang juga menyebabkan manusia  menerima ‘musibah’ dalam bentuk pemanasan global dan perubahan iklim dunia. Masalah jerebu yang melanda Malaysia hampir setiap tahun, tanpa kita sedari, udara yang disedut mengandungi bahan yang berbahaya dan merupakan pembunuh senyap yang wujud dalam atmosfera kita. Kesannya bukan sahaja kepada manusia malahan kepada haiwan serta kehidupan lain.

Lori Sisa Pepejal di Tapak Pelupusan

Lori sisa pepejal di tapak pelupusan Sungai Udang.

Menyedari hakikat ini, kerajaan melaksanakan banyak inisiatif untuk meningkatkan kesedaran rakyat supaya dapat bersama-sama mengambil tindakan bagi memastikan kemerosotan kualiti suhu, udara dan alam sekitar dapat dibendung.

Kerajaan Negeri Melaka turut menyahut usaha hijau itu dengan melaksanakan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik setiap hari Sabtu pada tahun 1 Januari 2011 melalui Perbadanan Teknologi Hijau.

Kemudian, pada 1 April 2014, penguatkuasaan hari tanpa plastik tersebut ditambah menjadi dua hari iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu.  Pada  1 Januari 2015, penguatkuasaan ini ditambah kepada tiga hari iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Seterusnya, mulai 1 Januari 2016, seluruh negeri Melaka menguatkuasakan setiap hari tanpa plastik dan polisterin.

Norazura Abd Latif

Norazura Abd Latif

Seorang penjawat awam, Norazura Abd Latif, 32, menyokong penuh langkah kerajaan negeri melaksanakan program Melaka tanpa beg plastik dan polisterin ini.

“Saya amat sedar bahan berasaskan plastik mengambil masa yang lama untuk lupus.  Saya ada terbaca dalam artikel menyatakan bahawa botol plastik hanya akan lupus selepas 450 tahun, beg plastik mengambil masa antara 200-1000 tahun untuk lupus.

“Saya anak negeri Melaka amat terasa kesan daripada pembuangan sampah cara lama dan pelupusan juga mengunakan kaedah lama. Setiap hari saya mendengar rungutan masyarakat berkaitan masalah bau busuk sampah dari pusat pembuangan sampah di Sungai Udang. Masalah ini telah berlarutan sekian lama dan rakyat menderita bau busuk tersebut setiap hari.

“Jika kita tidak sama-sama mendisplinkan diri dalam membantu usaha murni kerajaan, kita dan anak cucu kita akan menerima musibahnya pada masa akan datang. Saya akan membantu kerajaan membuat kempen ini kepada rakan-rakan serta masyarakat setempat. Malah, saya sudah mengamalkan membawa beg atau bekas sendiri ketika membeli-belah,” jelasnya.

Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Udang Melaka

Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Udang Melaka.

Manakala bagi seorang peniaga Bundle dari Merlimau, Izzah Adiha Syuhadah Ishak, 25, dia pada mulanya berasa marah dan agak terbeban kerana perlu menukar kepada beg plastik biodegrasi yang lebih mahal berbanding beg plastik biasa.

“Jika saya menaikkan harga barangan ia akan menjejaskan perniagaan saya. Apabila memikirkan semula, kita perlu sama-sama bertanggungjawab memulihara alam. Saya juga ada menonton berita sebanyak 33,000 tan metrik sampah dibuang setiap hari dan memerlukan sebanyak RM1.2 bilion untuk kerja pengutipan sampah setahun. Ini merupakan satu perbelanjaan yang amat besar.

“Kita juga merasai haba panas yang semakin teruk walaupun baru pukul 10 pagi tetapi haba panas sudah terasa seperti pukul 12 tengah hari.  Maka, saya bersetuju dengan langkah yang diambil oleh kerajaan demi masa depan anak cucu kita juga,” ujar Izzah panjang lebar.

Izzah Berbaju biru

Izzah Adiha Syuhadah Ishak (kanan).

Dalam pada itu, seorang penduduk yang menetap di Bandar Teknologi Kajang, Selangor, Noemi Suhaida Mohd Salleh, 37, berkata “saya sememangnya ada menyimpan beberapa beg di dalam kereta kerana sangat diperlukan apabila saya sekeluarga balik ke kampung di Melaka.”

“Kalau kita mahukan alam sekitar bersih dan selamat, usaha ini harus bermula dari diri sendiri.  Namun begitu, pihak penguat kuasa perlu membuat pemantauan dan penguatkuasaan peraturan yang ditetapkan di setiap pasaraya, penjaja dan kedai runcit agar mereka mematuhi peraturan penggunaan produk biodegradasi sebagai bahan penganti kepada beg plastik dan polisterin,” tegasnya.

Noemi Suhaida Mohd Salleh

Noemi Suhaida Mohd Salleh

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dalam persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13 sebelum ini menegaskan Kerajaan Negeri kini telah menukar semua 120,000 batang tiang lampu jalan kepada lampu LED dengan teknologi pintar.

“Penukaran ini bukan sahaja dapat menyelamatkan bumi tetapi juga mengurangkan penggunaan elektrik sehingga 50 peratus. Kerajaan Negeri memohon kerjasama rakyat negeri Melaka mengamalkan pengunaan bahan biodegradasi dalam kehidupan mereka kerana dengan amalan ini kita dapat mengurangkan kawasan tapak pelupusan. Kerajaan Negeri berharap semua rakyat mengamalkan gaya hidup hijau untuk menjadikan Melaka Negeri Teknologi Hijau menjelang 2020,” serunya.

Idris Haron_gambar dari FB Idris Haron

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dikerumuni para pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13. / Sumber gambar: Facebook Datuk Seri Idris Haron

Pada tahun 2000, Malaysia melaksanakan Local Agenda 21 (LA21).  LA21 merupakan suatu program yang menekankan penglibatan tiga pihak iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), masyarakat dan sektor swasta untuk bekerjasama merancang dan menguruskan kawasan persekitaran mereka ke arah pembangunan mampan dan kualiti hidup yang lebih tinggi.

Di bawah program LA21, pembangunan yang dilaksanakan harus memenuhi keperluan masa kini tanpa menidakkan keperluan generasi yang akan datang.

Bagi mengurus sampah secara lebih sistematik, kerajaan memperkenalkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Mula berkuat kuasa pada 1 September 2015, kerajaan mewajibkan sisa pepejal di rumah diasingkan daripada sisa-sisa lain.

Pengasingan sisa pepejal di rumah ini adalah mengikut jenis komposisi sisa pepejal seperti kertas, plastik, kaca, tin aluminium, sisa elektrik, sisa kebun/taman dan pelbagai lagi yang boleh dilihat di sini.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda