Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

2546 Peluang Pekerjaan Untuk Warga Batu Pahat

By 31 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Mazlin Basir (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 2546 peluang pekerjaan telah ditawarkan oleh 30 majikan kepada warga Batu Pahat menerusi Program Kembara Kerjaya Johor, di sini semalam.

Menurut pelajar jurusan Diploma Multimedia yang berkunjung ke program ini, Haz Nurul Aina, 23, program ini sangat membantu anak-anak muda dalam merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh majikan-majikan, selain memudahkan urusan kerana boleh bertemu secara bersemuka.

Seorang lagi pengunjung yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Mohd Faiz Ahmad Talhah, 21, berkata program ini merupakan satu platform yang bermanfaat untuk mereka yang ingin mencari pengalaman dalam pekerjaan serta mendapat serba sedikit pendedahan mengenai skop pekerjaan daripada majikan yang dipilih.

Mohd Faiz Ahmad Talhah menanti gilirannya untuk ditemuduga di Program Kembara Kerjaya Johor.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Negeri Johor, R. Vidyananthan berkata, program ini adalah selari dengan objektif untuk memberi pendedahan, kesedaran dan memastikan rakyat luar bandar mengetahui maklumat pembangunan negeri Johor, seterusnya merebut peluang yang ditawarkan oleh agensi-agensi terlibat.

Katanya, Konvoi Kembara Kemahiran Kerjaya ini telah melibatkan 72 kenderaan yang membawa 41 agensi daripada kerajaan, swasta, pusat pengajian tinggi awam dan swasta serta pusat latihan kemahiran.

4

Tambah R. Vidyananthan, program yang turut membuka peluang kepada mereka yang mahu melanjutkan pelajaran di pusat-pusat latihan kerajaan mahupun swasta ini telah mendapat respon yang menggalakkan dan Unit Swadaya Insan Negeri Johor bakal mengenalkan program ini ke peringkat sekolah pada masa akan datang.

Sementara itu, wakil majikan Usrah Resources yang turut menyertai Program Kembara Kerjaya ini, Rosmi Khairuddin, 45, memandang positif terhadap program yang memberi ruang kepada majikan-majikan untuk membuka peluang pekerjaan kepada bakal pekerja.

6

Orang ramai membanjiri Program Kembara Kerjaya Johor di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat semalam.

Antara syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan ialah Ranhill Water Services, Johor Port Berhad, Kulim Malaysia Berhad, Aeon Index Living Sdn Bhd, AEGIS BPO Malaysia Sdn Bhd, Usrah Resources, Hotel Katerina dan Hotel Jen Puteri Harbour.

– AH

Tinggalkan komen anda