
Laporan: Eviannie Kin Mei Hoon / Foto: Vicky Sylvester Matanjang (Sabah)
KOTA KINABALU, 31 Mac (Malaysiaktif) – Dron atau pesawat udara kawalan jauh tanpa juruterbang kini semakin diminati ramai dengan kepelbagaian reka bentuk dan saiz seperti yang terdapat di pasaran.
Kecanggihan dan keseronokan permainan ini turut dikongsi oleh sepasang kembar dari Kuala Penyu yang turut berkongsi hobi sama terhadap permainan ini sehingga tidak melepaskan peluang menjadi ahli Kelab Dron Sabah yang pertama berdaftar di Malaysia.
Pasangan kembar, Johnny Joklis dan John Eddy Joklis, bukan sahaja memiliki wajah yang serupa tetapi turut ?berkongsi? minat yang sama iaitu dalam aktiviti dron ini.
Johnny berkata manfaat daripada aktiviti ini adalah untuk kepuasan diri selain dapat mencabar kemampuan diri.
“Penggunaan dron bukan perkara mudah kerana untuk mengawal sesebuah dron memerlukan tumpuan sepenuhnya kerana dron mampu mencecah kelajuan 70 hingga 100 kilometer (km) per jam.
“Jadi ini memerlukan semua gabungan deria iaitu penglihatan, otak dan jari untuk tujuan kawalan dron ini,” jelasnya.
Tambah Johnny lagi, pada mulanya dia hanya bermain jenis ‘toy grade’ (gred mainan) tetapi lama-kelamaan minat terhadap dron ini semakin mendalam sehinggakan sanggup membelanjakan wang untuk membeli jenis ‘hobby grade’ (gred hobi).
Gred hobi ini lebih kepada bentuk profesional setiap bahagian dron yang digunakan untuk dipasang adalah jenis yang lebih berkualiti.
“Lagipun kini sukan perlumbaan dron ini mula berkembang seluruh dunia dan mulai diiktiraf, jadi saya cuba untuk membawa hobi ini ke peringkat yang lebih tinggi,” harapannya.
Manakala adiknya, Eddy pula berpandangan lahir suatu perasaan kepuasan apabila bermain dron iaitu dapat merasakan pengalaman terbang bebas di udara dan kelajuan yang menjadikan pengalaman dron ini sangat menarik.
“Pergerakan akrobatik di udara juga mendorong deruan adrenalin sama seperti yang dirasakan juruterbang pesawat sebenar.
“Misi dalam bidang ini adalah untuk memajukan lagi diri dan mengharapkan sukan dron ini dapat diperkembang serta mencapai ke peringkat lebih tinggi selain dapat menyertai pertandingan yang akan datang,” jelasnya.
Pertambahan bilangan peminat dron ini dilihat semakin bertambah dan usaha mewujudkan satu kelab perlu sebagai platform peminat dron berkumpul sambil melaksanakan aktiviti bersama.
Kelab yang baharu sahaja ditubuhkan sejak Mac, kini mempunyai seramai 100 keahlian daripada seluruh negeri ini.
Pelancaran kelab tersebut disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan di Lobi Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, pada pagi Khamis.
Tawfiq dalam ucapannya, berharap agar kelab berkenaan giat ?menjalankan promosi supaya lebih ramai yang mendaftar.
“Pihak kelab juga disarankan untuk berhubung dengan pihak berkuasa yang relevan agar ?lesen hanya dikeluarkan kepada mereka yang menjadi ahli kelab ini.
“Ini bertujuan untuk memastikan penggunaan dron sesuai dan adanya penyelarasan dalam aktiviti dron ini selain penggunaannya tidak disalahgunakan bagi tujuan yang salah,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama dan sokongan terhadap usaha memajukan sukan dron ini di negeri ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Kelab berkenaan, Umar Faruq Alidad berkata tujuan kelab itu ditubuhkan adalah untuk mewujudkan komuniti sosial para peminat dron seterusnya menggalakkan perkongsian idea dan maklumat berkenaan dron.
“Selain itu, kelab ini juga dapat mendedahkan dan mendidik masyarakat berkenaan dron mengikut etika-etika dan perundangan.
“Dron bukan sahaja boleh dijadikan sebagai hobi atau aktiviti sukan malah dron ini digunakan sebagai teknologi yang dapat membantu sektor pekerjaan,” katanya.
Umar berharap penubuhan kelab ini dapat membantu dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan pendidikan dalam konteks penggunaan teknologi.