Skip to main content
Berita TempatanSabah

Penerima PPR Taman Batu Sapi Bersyukur Miliki Tempat Berteduh

By 4 Mac 2017Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh: Alen Lim Chung Chieh / Foto: R Fauzi Abdul Lahap (Sabah)

 
SANDAKAN, 4 Mac (Malaysiaktif) – Tiada yang lebih bernilai dalam hidup seorang insan apabila ditawarkan sebuah rumah untuk diduduki seisi keluarga.

Setelah sekian lama berusaha tanpa pernah kenal erti penat lelah membanting tulang empat kerat mencari pendapatan tambahan sebagai tabungan untuk membeli sebuah rumah, akhirnya tertunai apabila ditawarkan sebuah rumah yang menjadi impian hidup selama ini.

Penerima rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Adam Amin, 49, meluahkan rasa syukur kerana terpilih menerima sebuah rumah PPR di Taman Batu Sapi di sini dan merasa terharu kerana terpilih.

Adam Amin, penerima kunci rumah PPR Taman Batu Sapi.

Adam Amin, penerima kunci rumah PPR Taman Batu Sapi.

“Saya tidak mampu untuk menyatakan apa-apa, hanya syukur dan terima kasih atas tawaran ini ketika saya memang inginkan rumah untuk berteduh kami sekeluarga.

Katanya, saya sebenarnya telah terdengar rakan-rakan memaklumkan bahawa saya terpilih tetapi saya tidak meletakkan suatu harapan tinggi sebab bimbang jikatidak berlaku pasti memberi tekanan kepada saya.

“Akhirnya hari ini seperti mimpi apabila nama saya disebut sebagai penerima bantuan rumah ini. Ya Allah syukur dan terima kasih,” uarnya penuh rasa terharu apabila ditawarkan sebuah rumah PPR yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di sini pada Jumaat.

Tambahnya, pemberian ini lebih manis dan tidak akan dilupakan apabila disampaikan sendiri oleh pemimpin nombor satu negara iaitu Perdana Menteri dan ini suatu memori yang tidak akan saya lupakan.

Seramai 10 penerima telah terpilih menerima kunci sebagai simbolik penyerahan kunci rumah tersebut yang turut disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bersama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Sementara itu, Ketua Menteri, Musa Aman, menzahirkan rasa penghargaan kepada kerajaan pusat yang banyak membantu bagi merealisasikan impian rakyat terutama di daerah berkenaan kearah mencapai kemajuan seperti mana yang inginkan rakyat dan seterusnya dapat mengimbangi kemajuan di negeri-negeri lain khususnya di semenanjung.

Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, Sandakan.

Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, Sandakan.

Terdahulu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, berkata dianggarkan sejumlah RM175,000 digunakan untuk membina seunit rumah PPR ini.

“Dengan pembinaan rumah ini golongan B40 yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 layak memohon, pertimbangan dan kelulusan tidak hanya tertakluk kepada golongan yang tidak memiliki rumah sahaja.

Jelasnya lagi, sebanyak 26 buah projek PPR telah dilaksanakan di Sabah setakat ini manakala kadar sewa yang dikenakan sebanyak RM124 sebulan.

“Bukan itu sahaja malah kerajaan turut membantu sebahagian rakyat yang menghadapi masalah rumah terbengkalai oleh pemaju sebanyak 252 projek ketika ini.

“Kerajaan membelanjakan RM205 juta untuk memulihkan projek bagi membantu pembeli tanpa mengharapkan apa-apa faedah sebagai usaha memastikan kebajikan rakyat terbela.

“Nasib para nelayan juga akan turut dibela dengan memperuntukkan sejumlah RM300 juta bagi baik pulih rumah dalam bajet yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan komited untuk memajukan negara dan mensejahterakan rakyat dengan pelbagai program, termasuk membina rumah PPR dan juga mampu milik kepada rakyat miskin dan yang berpendapatan rendah.

“Sebab itu kita mempunyai pelbagai dasar yang baik yang dirangka khusus untuk mengatasi masalah dan membela nasib rakyat.

Katanya lagi, setakat ini di KPKT telah mewujudkan dan memperkenalkan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada rakyat seperti rumah PPR dan kos Rendah.

“Antaranya program tersebut iaitu MyHome dan MyDeposit yang mendapat subsidi kerajaan bagi golongan B40 yang berpendapatan dibawah RM3,000 dengan nilai harga rumah RM300 ribu ke bawah.

“Kerajaan melalui kementerian ini juga, menyediakan bantuan dan pinjaman perumahan kepada rakyat yang memiliki tanah dengan subsidi sehingga RM42 ribu.

Program Perumahan Rakyat Taman Batu Sapi ini merangkumi 180 unit, lima unit disediakan untuk golongan OKU, empat unit lot kedai, lima unit gerai, dewan serbaguna, 120 lot letak kereta, tiga buah taman permainan kanak-kanak, dan masing-masing sebuah gelanggang bola tampar dan sepak takraw.

Perdana Menteri turut menyatakan akan mempertimbangkan konsep “Rent to Own” sewa dan milik kepada PPR ini apabila beberapa proses selesai dilakukan di peringkat kementerian KPKT nanti.

“Saya juga mengumumkan akan menimbang dan meneliti permohonan wakil rakyat di kawasan ini untuk membekalkan air bersih dan bekalan elektrik kepada kampung-kampung yang berada di kepulauan dalam kawasan Batu Sapi ini,” katanya semasa merasmikan Program PPR Taman Batu Sapi.

SF

Tinggalkan komen anda