
Laporan dan foto oleh: Sahiman Rahman (Sabah)
KUDAT, 4 Mac (Malaysiaktif) – Ikatan dan perhubungan antara rakyat dan pemimpin harus seiring dan senada mencipta pembangunan lebih bertamadun, melahirkan idea yang didokong bersama agar masyarakat hidup sejahtera berkat pemimpin utamakan rakyat.
Irama pemimpin sukar ditemui, rakyat segan dan takut bertemu dek pakaian tidak cantik dan pemimpin sombong banyak birokrasi sebenarnya hanya satu andaian semata-mata.
Program ‘Battle Of The Bossku’ merungkai pemecah tradisi pandangan negatif tersebut apabila buat julung kalinya setiap ketua jabatan bertanding beradu suara menghiburkan seluruh penduduk di daerah Kudat sebagai pengisian kepada Tahun Melawat Kudat 2017.
Peserta yang juga merupakan Ketua Polis Daerah, ASP Douglos Taung berkata, sepanjang menjawat jawatan sebagai ketua polis daerah di beberapa buah daerah, inilah pengalaman yang sukar dilupakan apabila terpilih menyertai pertandingan ini untuk menghiburkan penduduk sempena tahun melawat kudat.
“Permulaanya saya bimbang jika memberi kesan negatif terhadap pandangan umum terutama etika tugas tapi bila mengetahui menteri tugas-tugas khas Datuk Teo Chee Kang turut serta saya menyahut cabaran tersebut untuk menghiburkan penduduk Kudat bahawa tiada suatu pun halangan antara saya dengan penduduk demi menjalinkan ikatan erat bersama.
Tambahnya, program seumpama ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ketua jabatan kerajaan di daerah ini secara langsung bersama masyarakat setempat.
Douglos juga berharap melalui program ini masyarakat terus dapat bekerjasama dengan pihak polis dalam memastikan Kudat sifar jenayah.
Sementara itu, Pengerusi, Sapdin Ibrahim berkata, tujuan utama pertandingan ini adalah bukan sekadar mencari pemenang tetapi lebih penting sebagai pemangkin kerjasama melahirkan hubungan silaturahim dan menghapuskan halangan fobia untuk berurusan dengan jabatan kerajaan yang ada di daerah tersebut.
“Kita inginkan program ini sebagai suatu keramaian bersama antara kerajaan dan masyarakat menjayakan tahun melawat kudat ini.
“Setiap masyarakat berperanan menjayakan kempen Tahun Melawat Kudat dan masyarakat perlu bersama kerajaan memastikan Kudat menjadi salah satu destinasi kunjungan semua orang baik dalam mahupun luar Sabah.
Jelasnya, masyarakat perlu rapat dengan agensi kerajaan dan melalui program ini penduduk boleh menilai dan berhibur dengan menyaksikan gelagat dan persembahan daripada ketua-ketua jabatan sebagai suatu permulaan kemesraan tersebut.
“Walaupun hadiah tidaklah lumayan tapi penyertaan dan keterbukaan ketua-ketua jabatan di daerah ini jelas membuktikan kerjasama semua jabatan dalam apa-apa juga program yang dianjurkan adalah sangat baik,” ujarnya yang juga Pegawai Daerah.
Penganjuran Pertandingan “Battle Of The Bossku” ini berjaya menggambarkan betapa eratnya kerjasama antara jabatan kerajaan negeri dan persekutuan di daerah ini untuk mencapai misi dan visi menjadikan Kudat destinasi pelancongan.
Dalam pada itu, Menteri Tugas-tugas Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Teo Chee Kang berkata kerjasama dan hubungan baik antara ketua jabatan negeri dan persekutuan dapat merealisasikan hasrat dan aspirasi kerajaan membentuk Kudat lebih maju dan berdaya saing bila semua bekerja dalam satu pasukan.
“Saya sangat teruja dan memuji usaha ini dengan penglibatan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri mahupun persekutuan menjayakan pertandingan ini.
Katanya, belum pernah dianjurkan oleh mana-mana daerah di negeri ini yang membolehkan setiap ketua jabatan menghiburkan penduduknya yang tentunya lebih mesra dan merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat.
“Diharap usaha ini akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan seterusnya dapat mempromosikan Kudat sebagai sebuah destinasi pelancongan di Sabah.
Chee Kang berkata demikian ketika merasmikan pelancaran kalender tahun melawat Kudat 2017 dan Pertandingan “Battle Of The Bossku” di sini pada Sabtu.
Pada pertandingan tersebut, Ketua Polis Daerah, ASP Douglos Taung, dinobatkan sebagai juara serta turut memenangi persembahan terbaik, tempat kedua dan vokal terbaik dimenangi Pegawai Perikanan Daerah, Zainal Abidin dan tempat ketiga disandang oleh Pegawai Kementerian Belia dan Sukan, Mat Rudin Baluan.
Dianggarkan seramai 600 pengunjung daripada pelbagai latar belakang turut menghadiri dan menjayakan Majlis Pelancaran Tahun Melawat Kudat 2017 ini.
Bagi Pengunjung, Mohd Tahir Hj Akil, 50, berkata pelaksanaan program ‘Battle of the Bossku’ ini menang benar-benar menghiburkan dan suatu kelainan dalam setiap penganjuran perasmian sesuatu majlis.
“Kami lebih rasa terhibur dan seronok selain dapat mengenali lebih rapat ketua-ketua jabatan yang menyertai pertandingan ini.
Katanya, sebelum ini saya tidak mengenali ketua polis daerah tapi apabila melihat gelagat dan persembahan beliau baru saya tahu bahawa beliau mesra orangnya dan mudah dibawa berbual.
“Tahniah kepada penganjur kerana berjaya mencetuskan suatu revolusi baharu mewujudkan hubungan lebih erat antara ketua jabatan dan masyarakat di daerah ini,” ujarnya selepas menyaksikan pertandingan tersebut.
–SF