Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Permainan Tradisional Melatih Kreatif Dan Berdikari

By 5 Mac 2017Mac 9th, 2017Tiada komen3 minit bacaan
Laporan / foto oleh Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)

Arau, 5 Mac (Malaysiaaktif) – “Wau ialah permainan utama semasa musim timur dizaman dahulu kerana angin sangat kuat dimusim ini”. Demikian menurut Halim Che Said, 49 dari Kampung Rambai, Perlis.

Menurut Halim, selain wau, para remaja dizamannya juga bermain gasing yang dibuat sendiri dari batang pokok jambu atau pokok bongor.

“Kanak-kanak dahulu terpaksa menjadi kreatif dan berdikari kerana semuanya terpaksa dibuat sendiri. Mereka juga sangat menghormati orang – orang tua kerana sudah terbiasa meminta pertolongan orang yang lebih tua untuk membuat sesuatu. Selain itu, hubungan masyarakat juga sangat akrab kerana semua permainan harus dimainkan dan dibuat bersama”, ujarnya lagi.

Dia hadir sebagai peserta permainan tradisional congkak di Pesta Angin Timur Perlis (PATP) 2017. Pesta ini di adakan di Kampung Telela, Pauh, Arau dari 3 hingga 5 Mac 2017 dari 10 pagi hingga 10 malam.

Ini ialah kali ke lima Penganjuran Pesta Angin Timur yang diterajui oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Ia sempena tradisi lama masyarakat Perlis semasa peredaran musim daripada sejuk kepada musim panas yang di bawa oleh angin sebelah timur ke negeri Perlis seakan-akan pesta menuai.

Pesta ini bertujuan memberi gambaran kegiatan budaya asal masyarakat Perlis selepas menuai padi.

Pegawai Perpustakaan Negeri Perlis yang juga aktivis permainan Tradisional Negeri Perlis, Norzaidi Ismail, 46, berkata, permainan asli negeri Perlis antaranya ialah “Tibai Lalat”, “Tok Jat” dan “Tuju Para”. Menurut Norzaidin, permainan ini dimainkan oleh ayah dan datuknya semasa mereka kecil. Ini bermakna usia permainan ini tidak kurang dari 100 tahun.

Tibai Lalat dimainkan oleh sepuluh hingga 15 orang yang duduk dalam bulatan. Seorang pemula (jadi) akan meletakkan kain dibelakang seorang pemain ketika mereka menutup mata. Pemain tersebut perlu memastikan pemula tidak mengambil tempatnya ketika dia mengejar pemula kerana meletakkan kain dibelakangnya. Permainan ini tiada pemenang. Hanya siapa kena, dia “jadi” (pemula).

Walau bagaimanapun menurut Norzaidi, permainan ini sudah jarang dimainkan. Malahan dalam acara besar seperti ini pun, ia telah dilupakan.

Katanya lagi, amat wajar permainan seperti ini dimainkan di dalam Pesta Angin Timur sebegini untuk tatapan generasi baru.

Setiausaha Persatuan Permainan Tradisional Negeri Perlis (PETRA), Siti Aisyah Abu Seman berkata, berbeza dengan Tuju Para Kedah yang menggunakan getah di atas ranting kayu seakan para, Tuju Para Perlis menggunakan biji gajus. Biji gajus dikutip sendiri yang diletakkan di atas para tersebut. Pemain akan cuba menjatuhkan sebanyak mungkin biji gajus dari para menggunakan lastik dari gelang getah.

Permainan ini dimainkan oleh sekurang-kurangnya dua orang. Pemenang ialah yang paling banyak menjatuhkan biji gajus. Di akhir permainan semua biji gajus sama ada milik pemenang atau sebaliknya, akan dibakar dengan daun kelapa kering dan dimakan bersama-sama.

Katanya lagi, permainan-permainan ini telah dilupakan dan dia tidak pernah melihat ia dimainkan lagi termasuklah permainan Tiang Empat yang dimain di bawah rumah oleh kanak-kanak dahulu.

Seorang peniaga kraftangan di PATP 2017, Shahabuddin Sabu, 40, berkata, dia tidak pernah mendengar mengenai permainan Tibai Lalat atau Tuju Para. Setakat yang dia tahu memgenai permainan tradisional Perlis ialah Tuju Kasut, Congkak dan Dam Aji.

Menurutnya, dia teringin juga untuk melihat cara permainan ini dimainkan dan berharap ia dipertontonkan kepada orang ramai.

Seorang petugas di gerai Permainan Tradisional PATP 2017 yang menganjurkan permainan Dam Aji dan Congkak, Ku Ismail Ku Jalil berkata, sambutan di gerai mereka amat menggalakkan. Lebih 300 orang dalam lingkungan umur 21 hingga 60 tahun mengambil bahagian dalam permainan ini.

ADUN Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob yang hadir mewakili Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, berkata, keistimewaan PATP 2017 berbanding PAT yang lepas ialah keluasan tapaknya yang dua kali ganda lebih luas. Sebelum ini PAT diadakan di atas sawah berkeluasan 20 relung berbanding tahun ini 40 relung.

Pada tahun ini juga, pertama kali diadakan Pertandingan Wau Antarabangsa yang melibatkan 10 buah negara antaranya Singapura, Thailand dan Indonesia.

Katanya lagi, lebih 70 agensi kerajaan bekerjasama dalam menjayakan acara pada tahun ini.

Menurut Nurul, kehadiran pengunjung pada tahun ini telah melebihi sasara 100 ribu dalam tempoh 3 hari ini.

Lebih dari 50 acara  yang di jalankan sepanjang tiga hari  PATP 2017 ini.
Antaranya ialah menangkap belut, menggagau ikan, menangkap Itik, bermain layang-layang, memancing cili, lumba kerbau, wayang kulit dan jualan hasil kampung seperti buah-buahan dan kraftangan.

 

Tinggalkan komen anda