Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Sungai Rambai Aerodrome, Tumpuan Pemilik Drone

By 14 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

Gambar utama: Harian Metro

 Oleh: Khairunnisa Abd Rahman / Foto: Mohd Muhaimin Amran
JASIN, 14 Mac (Malaysiaaktif) – “Ekoran daripada larangan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia yang tidak membenarkan ‘drone’ diterbangkan di tempat-tempat yang tidak dibenarkan, maka ramai pemilik ‘drone’ datang untuk beroperasi di SRA (Sungai Rambai Aerodrome) dan dikenakan bayaran.”

EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman berkata demikian ketika ditemui di Karnival Udara Antarabangsa Sungai Rambai 2017 pada Sabtu.

Datuk Hasan Abd Rahman

Pada tahun 2000, landasan SRA telah diwartakan lulus dan boleh digunakan sebagai lapangan terbang oleh DCA.

“Tujuan lapangan terbang ini diwujudkan adalah untuk dijadikan ‘supporting airport’ dan alhamdulillah ia kini menjadi sebuah ‘supporting airport’ yang sangat berjaya,” ujar Hasan.

Dalam pada itu, sekretariat karnival, Hussin Mohamad, 47, berkata, “SRA ini pernah digunakan untuk iklan Proton Saga pada tahun lepas oleh KRU Studios.”

Hussin Mohamad

Karnival yang memasuki kali ke-12 penganjurannya ini meriah dengan kehadiran pengunjung sekitar Jasin khususnya Sungai Rambai termasuklah pengunjung dari Muar, Johor yang juga tidak mahu ketinggalan melihat pertunjukan udara.

Karnival ini turut menganjurkan acara ‘joyride’ dan melibatkan pesawat jenis ‘fixed wing’, ‘heli’ dan ‘microlight’ dengan jumlah bayaran yang ditetapkan antara RM100-150 untuk setiap pesawat.

Selain itu, sebanyak 12 pesawat ringan dan dua buah helikopter menyertai karnival ini serta turut melibatkan penyertaan dari negara Hungary, Singapura dan German.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata walaupun program ini dalam skala kecil tapi semangatnya ibarat Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA’17).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

“Acara saban tahun ini juga merupakan agenda ADUN Sungai Rambai untuk mengangkat nama Melaka di mata dunia.

“Kegiatan seperti ini membuka mata orang muda supaya melihat dunia ini dari mata burung apabila berada di angkasa, barulah dunia ini dapat diteroka dengan lebih luas lagi,” ujar Idris.

Seorang pengunjung cilik, Nifail Syahmi Yahyah, 9, berasa seronok dapat tengok pertunjukan udara di karnival ini.

Nifail Syahmi Yahyah

“Pertama kali tengok dan seronok sebab ayah bawa saya ke sini hari ini. Saya harap dapat hadir lagi tahun hadapan,” katanya penuh teruja.

Sebuah lintas hormat pertunjukan udara daripada sebuah aircraft jenis ‘super petrel’, dua buah aircraft jenis ‘cesna 172’ dan sebuah aircraft jenis ‘piper’ menandakan acara kemuncak majlis perasmian.
-DZ

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda