Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Tukang Parang Kekal Warisan Ayah

By 17 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad / Foto: Razali Ihi (Sarawak)

KUCHING, 17 Mac (Malaysiaaktif)-Keindahan hasil seni kraf tempatan yang pelbagai menyaksikan perjuangan serta rintangan masyarakat setempat dalam mengekalkan warisan nenek moyang.

Demikian juga berlaku kepada pewaris arwah ayahnya yang bergelar pembuat parang Melayu, Budiman Hipni, 38 yang berasal dari Kampung Kampung Lintang Jaie, Daerah Sadong Jaya, Kota Samarahan.

“Pertukangan parang memang terkenal sebagai satu perusahaan yang amat menguntungkan dan menjadi lambang identiti kebudayaan masyarakat Melayu maka saya ialah seorang yang selalu berangan-angan untuk mewarisinya.

“Walaupun kerja ini kurang glamor tetapi hasil jualannya boleh mencecah sehingga RM4,000 sebulan kerana senjata itu dipasarkan di semenanjung, sekitar bandar Kuching, Miri dan di mana-mana ada jemputan untuk membuat pameran,” ujarnya.

 
Budiman ditemui ketika lawatan rombongan seramai 18 orang bersama Jemaah Hakim Tilawah Al-Quran peringkat Sarawak pada Rabu.

Bengkel kraf tangan yang dilawati merupakan bengkel pertukangan parang yang dibuka hasil inisiatif Kraftangan Malaysia dan pernah menerima bantuan berbentuk geran sebanyak RM250 ribu.

Budiman menunjukkan parang yang berharga ratusan ringgit

Budiman menunjukkan parang yang berharga ratusan ringgit

“Dengan geran tersebut saya gunakan untuk membuat bangunan dan membeli enam buah mesin membuat parang.

“Kerja membuat parang ialah kerja harian dan dalam sebulan permintaan tempahan parang lebih kurang 30 bilah.

“Di samping itu, bengkel ini kini berperanan sebagai sumber rezeki saya sebagai pembuat parang dan selalunya menerima tempahan daripada orang ramai.

“Saya menjual parang dengan harga RM380 hingga RM500 dan dapat menghasilkan lebih kurang 35 hingga 40 bilah sebulan,” jelasnya lagi.

Menurut Budiman kesenian parang terletak pada kehalusan pembuatan hulu dan sarungnya.

“Keunikan hulu dan sarung bergantung kepada jenis kayu yang digunakan kerana kayu mempunyai corak ira yang berbeza-beza, kayu yang sesuai digunakan dan cantik ialah kayu malam manakala ketajaman parang pula terletak pada jenis besi yang digunakan untuk dijadikan parang

“Kebanyakan besi yang digunakan untuk membuat parang adalah dari besi-besi terpakai seperti paku rel kereta api, mata gergaji, spring kenderaan, besi kikir dan lain-lain dan terdapat juga besi-besi moden berteknologi tinggi seperti besi D2, “high speed steel”, besi SW dan sebagainya,” jelasnya.

para hakim di bengkel membuat parang

Para hakim di bengkel membuat parang

Budiman turut menjelaskan parang banyak membantu masyarakat Melayu melakukan kerja seharian seperti memotong kayu, membelah kelapa, dan melapah daging sewaktu majlis kenduri.

“Kepentingan parang semakin ketara apabila tibanya Hari Raya Aidiladha kerana paranglah yang akan digunakan untuk menyembelih binatang korban.

“Dengan menggunakan parang yang tajam maka sembelihan akan menjadi mudah dan sempurna. Syarat-syarat sembelihan dalam Islam telah dipenuhi bertujuan meneroka khazanah seni warisan kraf dan perkembangan industri tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Budiman seperti perusahaan lain, industri pembuatan parang juga tidak terlepas daripada menghadapi masalah yang perlu diharungi oleh pengusaha dan pembeli terutamanya yang bersangkut paut dengan harga, pasaran dan pembekalan.

“Industri pertukangan parang di Sarawak amat memerlukan modal seperti bahan mentah dalam menggerakkan perusahaan itu, antaranya memerlukan barangan besi yang diperoleh daripada kenderaan terpakai atau mana-mana barangan berasaskan keluli atau besi untuk dilebur.

“Antara bahan mentah yang diperlukan ialah arang kayu daripada beberapa jenis kayu, antaranya kayu cempedak, tempurung dan buluh,” ujar Budiman.

Budiman menghasilkan parang candung, parang lakai, parang badi, parang penabas, parang sundi, parang kapak, parang palit, parang kepala rumahan, parang ilang bersilap dan parang ilang biasa.

“Bagaimanapun, jenis parang yang digemari oleh penempah parang ialah parang candung dan lakai yang biasanya digunakan untuk dijadikan sebagai alat menebas rumput dalam perkebunan.
“Manakala hasil pertukangan lain yang dapat dihasilkan ialah keris, samurai, pedang, parang kecil dan pisau Cina. Hasil barangan ini digunakan sebagai perhiasan dan cenderamata seperti keris, samurai dan parang kecil,” katanya yang pernah menghadiri Makmal Pengeluaran Produk Kraf Mata dan Sarung Parang yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, pada 28 April 2016 Di Dewan Komuniti.

SF

Tinggalkan komen anda