Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Jati Diri Antara Kualiti Calon Penjawat Awam yang Dicari

By 17 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Nurhasnani Abdul Wahab

MELAKA, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), sebagai Pihak Berkuasa Melantik, mempunyai peranan yang besar dan sangat signifikan dalam menentukan kualiti perkhidmatan awam negara dan mewakili kira-kira 40% daripada perjawatan awam.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun, ketepatan keputusan yang dibuat oleh SPA menjadi penentu utama sama ada perkhidmatan awam di negara ini akan dianggotai oleh para penjawat awam yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

“Pegawai yang dipilih haruslah mempunyai ciri-ciri jati diri dan karakter yang bertepatan dengan tugas masing-masing.

Joseph Entulu ketika ucapan perasmian

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun ketika ucapan perasmian Karnival Kerjaya SPA.

“Dalam hal ini, SPA sudah tentulah mengharapkan calon-calon bukan hanya memiliki kelayakan akademik yang cemerlang, tetapi juga memiliki pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang relevan dengan keperluan jawatan bagi melonjak pembangunan negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Di samping itu, keperluan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik turut diberi perhatian dalam pengisian jawatan di sektor awam,” tegasnya ketika ditemui di Majlis Perasmian Karnival Kerjaya SPA 2017 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Karnival yang berlangsung selama sehari itu mendapat sambutan hebat kira-kira 2,000 orang pengunjung yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kerjaya dalam perkhidmatan awam secara bersemuka.

Nor Afifah (berkaca mata) sedang mendapatkan maklumat

Nor Afifah (berkaca mata) sedang mendapatkan maklumat.

Dalam pada itu, seorang pengunjung karnival, Nor Afifah Shaari, 26, yang berpengalaman bekerja secara kontrak sebagai Pembantu Tadbir Data di Kementerian Pendidikan Malaysia turut tidak melepaskan peluang untuk hadir sendiri bertemu dengan petugas SPA.

“Hari ini, saya berpeluang untuk bersemuka dan mendapatkan tips dari SPA sendiri berkaitan jawatan Penguasa Kastam yang telah saya pohon melalui pendaftaran atas talian,” ujar Nor Afifah yang amat berminat dengan jawatan badan beruniform.

Sementara itu, perangkaan yang dikeluarkan SPA bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2016 menunjukkan seramai 1.5 juta orang mengemukakan permohonan dengan SPA dan dari jumlah tersebut seramai 49,910 orang adalah anak jati Melaka.

Antara pengunjung yang hadir di Karnival Kerjaya SPA di MITC 3

Antara pengunjung yang hadir di Karnival Kerjaya SPA di MITC.

Daripada 49,910 ini, seramai 5,157 orang telah dipanggil temu duga, 3,369 hadir temuduga dan seramai 840 orang atau 25 peratus berjaya dilantik.

Manakala, statistik terkini bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Februari 2017 pula, seramai 598,342 orang telah mengemukakan permohonan dengan SPA dan dari jumlah tersebut seramai 19,589 adalah dalam kalangan anak negeri Melaka.

Seramai 540 orang dari 19,589 orang dipanggil temuduga, 328 telah hadir temuduga dan 68 orang atau 21 peratus dilantik oleh SPA ke pelbagai jawatan.

Idris Haron ketika berucap

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron ketika berucap di Karnival Kerjaya SPA.

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dalam ucapannya berkata kadar pengangguran di Melaka masih antara yang terendah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Kadar pengangguran di negeri Melaka masih terendah iaitu 0.8% dan usaha-usaha mengurangkan pengangguran masih diteruskan antaranya dengan menyediakan program kemahiran dan latihan dan diharapkan dapat membantu pencari kerja, khususnya graduan, untuk memiliki kemahiran dalam bidang yang diperlukan oleh pasaran kerja,” jelasnya.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda