Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

OKU Buta Ajak Mereka Senasib Sertai Kursus Urut

By 17 Mac 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

Oleh: Luhat Ajang/Foto: Cassidy Lisut

KUCHING, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Acap kali kita mengeluh mahupun mengadu ketidakselesaan seluruh tubuh badan selepas seharian penat bekerja baik di pejabat mahupun luar pejabat. Kita lantas terbayangkan alangkah seronoknya jika badan kita diurut.

Pusat-pusat urut yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan ada kalanya membuatkan kita keliru untuk memilih lokasi sesuai yang memberi manfaat kepada tubuh badan kita. Pelbagai kaedah urutan ditawarkan bagi mendapatkan keuntungan.

Menurut salah seorang jurulatih urut, Julid Muor, yang kini berkhidmat di Sarawak Society For The Blind (Pusat Latihan) Kuching, tujuan utama urutan badan adalah bagi melancarkan peredaran darah dalam badan dan untuk melegakan kesakitan otot dan sendi.

Julid yang ditemui di hadapan bangunan Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak pada Rabu.

Julid yang ditemui di hadapan bangunan Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak pada Rabu.

“Boleh dikatakan 80% kesakitan yang dialami disebabkan oleh peredaran darah yang kurang lancar dalam badan dan ketegangan otot dan sendi,” ujar Julid yang ditemui di Pusat Latihan Orang Buta di sini pada Rabu.

Julid, 46, berbangsa Bidayuh dari Padawan turut menyatakan bahawa amalan mengurut ini sebenarnya berasal dari China. Amalan ini kemudiannya berkembang ke negara-negara lain dengan teknik urutan mengikut keperluan masing-masing.

Walaupun mengalami masalah penglihatan (Partially Sighted) sejak berumur dua bulan namun Julid berjaya menamatkan alam persekolahan sehingga Tingkatan Enam Atas pada 1991 di Kolej Tun Abdul Razak, Kuching dan kini hidup bahagia bersama gadis pilihannya.

Bergantung hidup sepenuhnya terhadap kemahiran mengurut, Julid yang menetap di Taman Sri Cahaya, Tondong, Bau biasanya akan berulang-alik setiap hari dari tempat kerja.

“Saya juga ada menawarkan perkhidmatan mengurut dari rumah ke rumah dan adakalanya pelanggan akan datang sendiri ke rumah sekiranya cuti hujung minggu.

“Walaupun terpaksa bersaing dengan pusat-pusat spa dan urut yang lebih selesa namun saya tetap optimis dan menasihatkan orang ramai agar bijak memilih pusat urut yang bertauliah dan yang benar-benar menawarkan khidmat urut profesional demi
kebaikan pelanggan itu sendiri,” jelasnya.

Sebelum menceburi bidang ini, Julid pernah bekerja di Johor sebagai pekerja kilang sebelum berhijrah balik ke Sarawak. Pada masa yang sama Julid turut mengakui pernah memohon jawatan dalam jabatan kerajaan dan swasta namun terpaksa akur apabila permohonannya seringkali dipandang sepi.

“Saya akhirnya mengambil keputusan mengikuti latihan mengurut di Pusat Latihan Kuching mulai 2009. Sebaik sahaja menamatkan latihan pada 2010, saya telah diterima bekerja sebagai tukang urut di unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) Hospital Umum Sarawak (HUS) mulai 2011 hingga 2014.

“Walau bagaimanapun pada 2015, Pusat Latihan Kuching telah menghubungi Julid agar kembali berkhidmat di pusat ini. Justeru, dengan tawaran tersebut saya bersetuju dan kekal berkhidmat di pusat ini sebagai tenaga pengajar sehingga kini.

Julid (kanan) bersama lima orang anak muridnya iaitu pelatih OKU (penglihatan) dalam bilik latihan

Julid (kanan) bersama lima orang anak muridnya iaitu pelatih OKU (penglihatan) dalam bilik latihan

“Sebagai salah seorang tenaga pengajar di Pusat Latihan Kuching, Julid turut melatih lima orang pelatih Orang Kelainan Upaya (OKU penglihatan) iaitu Andy Lau Sie Hui, 23, dari Bintulu, Jefferey Chua Jia Leong , 22, Kuching, Muhammad Firdaus Hamdan, 24, Kuching, Huong Kwok Loong, 35, Miri dan Filistine Merang Dionisus, 20, dari Belaga. Mereka kini sedang giat menjalani kursus urutan yang diadakan selama 18 bulan, bermula September 2016 hingga Mac 2018,” ujarnya lagi.

Pelatih turut diberi pilihan sama ada tinggal di pusat ini atau berulang-alik dari rumah masing-masing kerana tempat tinggal dan makan minum turut disediakan.

Pusat ini juga tidak mengenakan sebarang bayaran ke atas para pelatih. Mereka cuma perlu membayar RM150 bagi yuran komitmen untuk mengelakkan pelatih terlibat dalam masalah disiplin sepanjang berkursus. Wang tersebut akan dikembalikan sebaik sahaja tamat latihan sekiranya pelatih tidak menimbulkan apa-apa masalah disiplin.

Selain menganjurkan kursus dan latihan, Pusat Latihan Kuching juga turut menawarkan khimat urutan untuk orang awam.

Terdapat tiga orang tukang urut OKU penglihatan lelaki dan seorang tukang urut wanita yang bekerja sepenuh masa di pusat ini setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang sementara setengah hari sahaja pada Sabtu.

Julid dan salah seorang pelatih memberikan khidmat mengurut kepada salah seorang pelanggan.

Julid dan salah seorang pelatih memberikan khidmat mengurut kepada salah seorang pelanggan.

Bayaran yang dikenakan iaitu RM25 hingga RM50 untuk tempoh sejam ke dua jam. Jenis urutan yang ditawarkan ialah urutan badan dan urutan kaki. Pelanggan juga turut diberi pilihan sama ada menggunakan minyak urut atau tanpa menggunakan minyak urut.

Julid amat bersyukur, kerana dengan kerjaya ini dia turut diberi peluang mempelajari teknik-teknik terbaharu dalam bidang urutan. Pada tahun lalu, Julid berpeluang mengikuti kursus lanjutan dalam bidang urutan selama seminggu di Pulau Pinang.

Selain itu, sekitar April tahun lalu, Julid berserta tiga lagi rakan OKU penglihatan turut mewakili Malaysia di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia, turut diberi peluang mengikuti kursus urutan di Filipina selama seminggu.

Antara kenangan yang tak dapat dilupakan oleh Julid ialah ketika dia berjaya menyembuhkan tangan seorang pelanggan warga emas pada 2010. Pada masa itu, Julid masih lagi bergelar pelatih.

“Bermula dari situ saya seolah-olah mendapat semangat dan keyakinan untuk mendalami ilmu urutan dan seterusnya menjadikan bidang ini sebagai sumber rezekinya.

“Saya menyeru golongan senasib, OKU penglihatan dan mana-mana ibu bapa yang mempunyai anak yang menghadapi masalah penglihatan dan berminat mengikuti kursus mengurut di pusat ini agar tampil lmendaftarkan diri sebagai pelatih di pusat ini selain berharap agar masyarakat, pihak kerajaan dan swasta tidak meminggirkan golongan istimewa seperti mereka dan turut diberi peluang bekerja dalam jabatan kerajaan,” katanya lagi.

SF

Tinggalkan komen anda