Skip to main content
Berita TempatanSabah

20 Tahun Tunggu Jalan Dinaik Taraf

By 20 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

 Laporan & foto: Hendry Nurdin (Sabah)

KENINGAU, 20 Apr (Malaysiaktif) – Rungutan masyarakat Kampung Patikang Laut, Keningau yang inginkan jalan ke kampung berkenaan dinaik taraf menjadi isu utama pada perbincangan dialog isu semasa di kampung berkenaan pada Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Patikang Laut, Azmal Azmi Atil berkata permohonan untuk menaik taraf jalan ke kampung tersebut telah dimajukan sejak Pilihan Raya Umum ke 11 lagi

“Hampir 20 tahun sudah permohonan naik taraf jalan ini disuarakan kepada pemimpin dan hari ini pada majlis ini saya utarakan lagi sekali dan tahun ini bakal menghadapi PRU ke 14, mahu berapa lama lagi perlu kami tunggu.

“Saya berharap agar permasalahan ini dapat diselesaikan segera kerana kami penduduk kampung terlalu bergantung kepada jalan raya berkenaan untuk memasarkan hasil pertanian kami selain berurusan ke pusat bandar.

Jelasnya, dianggarkan laluan berkenaan hanya sepanjang 400 meter tapi memakan masa berpuluh-puluh tahun tiada tindakan diambil.

“Jika kerajaan boleh menaik taraf jalan Pan Borneo berpuluh-puluh kilometer mampu dilaksanakan, saya yakin jalan sepanjang 400 meter pasti juga boleh dinaik taraf oleh kerajaan,” katanya semasa ditemui selepas majlis dialog Isu Semasa di Kampung Patikang Ulu.

Sementara itu, Pengerusi program dialog yang juga merupakan Pegawai Daerah Keningau, Yusop Osman berkata sebanyak 10 kali pelaksanaan dialog ini di seluruh daerah berkenaan mengikut mukim masing-masing.

“Penganjuran program ini dengan kerjasama Jabatan Penerangan (Japen) berjaya melihat sendiri permasalahan penduduk kampung di samping dapat bertukar maklumat serta memperjelaskan pelbagai tindakan diambil kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Saya tidak nafikan pelaksanaan program ini sangat berkesan dan amat bermakna kepada penduduk kampung dan inilah cara terbaik saya mendekati masyarakat kampung.

Menyentuh persoalan dan rungutan pengerusi JKKK berkenaan, Yusop dengan tegas menyatakan perkara berkenaan akan terus diusahakan untuk menyelesaikan permasalahan ini.

“Saya tidak lagi mahu mendengar rungutan penduduk kampung Patikang Laut tentang kesukaran mereka untuk berbincang dengan agensi kerajaan berkenaan keinginan penduduk kampung untuk jalan ke kampung mereka dinaik taraf seolah-olah masalah mereka tidak dapat diselesaikan.

“Agensi bertanggungjawab perlu membantu menyelesaikan masalah ini, saya tidak mahu masih berlarutan tanpa sebarang penyelesaian,” ujarnya.

Sairin (Berdiri) sedang memperjelaskan isu semasa sesi dialog tersebut.

Sairin (Berdiri) sedang memperjelaskan isu semasa sesi dialog tersebut.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Sairin Karno berkata pelaksanaan program dialog bersama masyarakat ini merupakan saluran terbaik mendengar sendiri keluh-kesah masyarakat akar umbi.

“Dialog ini tepat untuk kita bersemuka bersama rakyat mendengar sendiri permasalahan mereka dan berusaha mencari jalan penyelesaian di samping agensi kerajaan dapat menjelaskan terhadap sesuatu isu agar akar umbi maklum dan jelas terhadap pembangunan yang dijalankan kerajaan.

“Seperti keluhan penduduk kampung Patikang ini, secara tidak langsung melalui program ini kita dapat mendengar sendiri keluhan penduduk dan selepas ini tindakan perlu dilakukan.

Tambahnya, teknologi media sosial hari ini jika digunakan sebaiknya boleh memberikan kebaikan kepada semua pihak tetapi kini sering disalahgunakan untuk menghentam, memfitnah terhadap perkara yang tidak benar.

“Teknologi jika digunakan untuk menyalurkan maklumat dan permasalahan rakyat pastinya lebih mudah dan cepat tetapi melalui program ini lebih mesra kerana pemimpin dapat bertemu rakyat dan melihat sendiri denyut nadi rakyat akar umbi.

Sairin turut berharap program berkenaan akan terus diadakan di setiap mukim di daerah berkenaan bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang menyuarakan permasalahan mereka sambil kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya menyelesaikan persoalan berkenaan.

Dianggarkan seramai 250 penduduk kampung yang telah menghadiri program berkenaan melibatkan 10 buah kampung dan 18 ketua jabatan atau agensi kerajaan.

Penyerahan Watikah Pelantikan kepada semua PJKK Mukim Patikang bagi tempoh 2017 turut diadakan.

-SF

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda