Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Akta Keganasan Rumah Tangga 2017, Fokus Lima Perkara Utama

By 3 April 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan Rajeswari a/p Nagamuthu / Foto : Rahimah Rafai

KUALA LUMPUR, 3 April (Malaysiaaktif) – “Lima perkara utama diberi perhatian semasa Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Keganasan Rumah Tangga 2017 yang dibacakan buat  pertama kali di Dewan Rakyat adalah bertujuan menambah baik bidangkuasa perundangan institusi kekeluargaan khususnya bagi kanak-kanak di negara ini.”

Demikian umum Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Karim semasa sidang media di Pusat Media Parlimen setelah bacaan kali pertama Rang Undang-undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 dibentangkan kepada ahli dewan rakyat di sini, hari ini.

“Pertama, tafsiran keganasan rumah tangga diperluas dengan membolehkan mangsa mendapat perlindungan interim (IPO) dan perintah perlindungan (PO) apabila pelaku menggelapkan harta, mengugut dan mengaibkan kehormatan sehingga menyebabkan mangsa berasa takut dan sedih melalui apa-apa cara termasuk medium elektronik.

“Kedua, perintah perlindungan kecemasan iaitu perintah perlindungan sementara (yang boleh diperoleh dengan segera daripada pegawai kebajikan masyarakat yang diberi kuasa sekiranya mangsa dalam keadaan ketakutan dan  dicederakan secara fizikal. Mangsa boleh juga membuat laporan melalui talian secara 24 jam,” kata Datuk Seri Rohani.

Tambahnya lagi, perkara ketiga melibatkan pemberian hak penghunian eksklusif kediaman bersama kepada mangsa bagi memberi perlindungan terhadap keselamatan diri mangsa semasa dalam IPO dan PO selama seminggu. Pindaan ini dibuat berdasarkan Akta sedia ada menyebabkan mangsa terpaksa tinggal bersama si pelaku.

“Keempat, program pemulihan di bawah Kelolaan KPWKM diperkenal  bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan kekeluargaan, pengurusan kewangan dan pengurusan emosi kepada pelaku dan mangsa dalam tempoh PO bagi menangani punca permasalahan keganasan rumah tangga dalam bentuk sesi kaunseling dan sesi terapi.

“Perkara penting dan terakhir  yang diberi perhatian ialah penambahbaikan perintah IPO dan PO dalam aspek pemakluman status kepada mangsa bertujuan untuk menjamin prosedur kerja yang lebih telus dan cekap di samping memberi perlindungan yang lebih baik kepada mangsa sama ada di bawah IPO atau PO,” tegas beliau lagi.

KPWKM mencadangkan pindaan akta ini berikutan peningkatan kes keganasan rumah tangga pada masa kini yang mencatat peningkatan mendadak sebanyak 15,617 kes bermula dari 2014 hingga Disember 2016.

 

-MSM

Tinggalkan komen anda