Skip to main content
Berita TempatanSabah

300 Profesor Berkampung Di Sabah

By 4 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan / Foto: Fauzrina Hj. Bulka (Sabah)

 KOTA BELUD, 4 Apr (Malaysiaktif) – Seramai 300 profesor bersama 1000 tenaga kerja lain yang berada di lapan daerah berasingan di Sabah terlibat menjayakan program Majlis Profesor Negara (MPN) bersama masyarakat.

Menurut Timbalan Pengerusi MPN, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, program turun padang itu bertujuan memberitahu masyarakat di negeri ini bahawa profesor bukan hanya mengajar di universiti tetapi mereka juga mesra rakyat dengan berjumpa, bermesra dan berbincang sebagai cara menunjukkan keprihatinan ilmuan kepada masyarakat.

Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin

Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin

“Kita telah memilih tema program iaitu ‘Ilmuan Prihatin” bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa profesor juga ambil berat terhadap permasalahan rakyat.

“Projek ini telah lama dirancang. Pemilihan Sabah meliputi suatu kawasan yang besar dan memiliki penduduk yang ramai, jadi kami menggunakan seramai 1300 tenaga untuk memberikan pelbagai khidmat seperti perubatan, ceramah pertanian dan sebagainya,” ujarnya.

Jelasnya lagi, program ini merupakan penganjuran yang terbesar dilakukan pada 2017 dan kami amat berbangga dengan sokongan yang amat kuat daripada kerajaan persekutuan dan negeri selain mendapat sambutan paling besar diterima oleh MPN.

“Sepanjang program ini pelbagai pengisian sokongan disampaikan kepada masyarakat antaranya dari segi perubatan kita ada pemeriksaan mata, jantung, pemeriksaan kesihatan wanita.

“Selain itu, kami turut memberikan khidmat nasihat mengenai masalah-masalah pertanian, ceramah kerjaya yang disampaikan sendiri oleh profesor di bidang berkenaan,” jelasnya.

Tambahnya, hasil daripada program tersebut mereka dapat mengetahui bentuk keperluan masyarakat di negeri ini secara langsung atau bersemuka dengan melihat sendiri situasi keadaan mereka dan bukannya daripada pihak lain.

“Terdapat Profesor yang hadir menjayakan misi ini sebenarnya memiliki kadar bayaran sejumlah RM10,000 untuk mendapat perkhidmatan penyampaian ilmu mereka tetapi dalam program ini semuanya percuma demi rakyat.

“Inilah semangat jiwa cinta akan negara yang hendak kita tonjolkan untuk bersama-sama memberi khidmat kepada masyarakat.

Antara aktiviti kesihatan yang dilaksanakan pada majlis tersebut

Antara aktiviti kesihatan yang dilaksanakan pada majlis tersebut

“Status sebagai Profesor sebenarnya ialah suatu tanggungjawab seperti kakitangan awam lain, dulu belajar dapat biasiswa kerajaan seterusnya jadi doktor, Oleh itu, inilah masanya pulangkan kembali jasa tersebut kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup.

Dr Shamsul turut menjelaskan MPN kini  mempunyai seramai 1700 ahli institusi awam dan 500 institusi swasta.

“Untuk melahirkan seorang Profesor sekurang-kurangnya akan menghabiskan sejumlah RM5 juta, bermula dengan membuat kajian sejak Phd.

“Bayangkan kerajaan melabur tenaga dan wang untuk proses tersebut tetapi bila memiliki status berkenaan tenaga tersebut tidak digunakan dan ini menunjukkan suatu pembaziran,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Dr. Salleh Tun Said berkata, kerajaan mengalu-alukan buah fikiran para ilmuan daripada Majlis Profesor Negara tentang perkembangan dan pembangunan di negeri ini.

Salleh (kanan) mendengar penerangan daripada Dr. Shamsul pada majlis tersebut

Salleh (kanan) mendengar penerangan daripada Dr. Shamsul pada majlis tersebut

“Dengan adanya program sebegini, saya mengharapkan pihak MPN dapat membudayakan perkongsian tersebut bersama masyarakat serta agensi-agensi berkenaan.

“Ini membuktikan para Profesor di negara ini sentiasa berusaha memberi sumbangan sewajarnya kepada masyarakat yang memerlukan khidmat mereka,” kata Salleh semasa menutup Program berkenaan di Dewan Tun Said pada Ahad.

Harapannya, program sebegini akan meningkatkan lagi penglibatan masyarakat melalui program berimpak tinggi menjurus kepada transformasi pelancongan, pendidikan, sosial dan ekonomi.

Katanya lagi, dalam usaha membawa dan merancakkan lagi pembangunan di negeri ini sudah tentu kajian dan perancangan terperinci perlu dilakukan dengan mengambil kira kepentingan masyarakat dalam negeri ini.

“Maka dengan adanya program sedemikian akan mampu menjadi jambatan berkesan antara masyarakat, kerajaan dan para ilmuan untuk membina pembangunan lebih lestari, mesra masyarakat dan alam.

“Kerajaan dalam rangka pelaksanaan Transformasi Nasional 2050, sudah tentu Sabah mahu terlibat secara aktif dalam pelan transformasi tersebut,” ujarnya.

Salleh yakin kepelbagaian maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber sama ada kakitangan kerajaan, pegawai, malah setiap lapisan masyarakat pastinya mampu dijadikan sumber penting merangka pembangunan di negeri ini.

Selain Kota Belud, MPN turut menjalankan program bersama masyarakat di Semporna, Tawau, Sandakan, Kundasang Ranau, Kota Marudu, Kudat, Lahad Datu dan Sipitang bermula 27 Mac hingga 2 April lalu.

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda