Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Suami, Isteri Juara Bertahan Sungkadon Obstacle Sprint Run

By 3 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Jeffren Malaning(Sabah)

PAPAR, 3 Apr Malaysiaktif) – Usia bukan halangan kepada pasangan suami isteri, Guanius Salagan, 50 dan Kona Liau, 45 untuk mengekalkan kejuaraan kali kedua bagi kategori Elite Sungkadon Obstacle Sprint Run di Kampung Sungkadon pada Ahad.

Bagi Guanius, pemenang 13 kali acara Mount Kinabalu International Climbathon dan KL Tower International Towerthon Challenge, acara pagi semalam tidak kurang mencabar berbanding acara-cara yang disertai olehnya sebelum ini.

 Pasangan suami isteri, Guanius (kiri) dan Kona (kanan) berjaya mengekalkan kejuaraan tahun ini.

Pasangan suami isteri, Guanius (kiri) dan Kona (kanan) berjaya mengekalkan kejuaraan tahun ini.

“Jika acara lain, saya perlu memanjat dan menurun tangga atau gunung dan bukit-bukau tetapi acara hari ini memerlukan stamina yang lebih untuk merentasi laluan 6 kilometer (km) bersama 18 halangan permainan tradisi yang disediakan oleh pihak penganjur.

“Saya berharap pada tahun hadapan lebih banyak halangan dan laluan yang lebih mencabar akan dilaksanakan oleh pihak penganjur,” katanya ketika ditemui oleh pemberita.

Guanius dan isteri menamatkan larian dengan masa 21:50:7 manakala isterinya mengambil masa hanya 28:50:6 menewaskan 426 peserta yang lain dan membawa pulang wang tunai RM500 setiap seorang, piala dan medal.

Sementara itu, bagi salah seorang peserta Fun Run, Quen Martin, 29, ini merupakan kali pertama dia menyertai acara tersebut.

“Walaupun kali pertama menyertai acara ini, saya amat gembira kerana berjaya menghabiskan acara tadi.

“Antara cabaran yang paling sukar untuk dilakukan ialah aktiviti ‘Gompoton’ iaitu memanjat tali dan membunyikan loceng.

“Sukar dan saya mengambil keputusan untuk melangkau aktiviti tersebut dan telah dikenakan penalti mencangkung sebanyak 30 kali,” ujarnya kecewa.

Timolop Lolobuhon atau selam kolam kerbau.

Timolop Lolobuhon atau selam kolam kerbau.

Ditanya tentang halangan yang paling disukai, Quen teruja menceritakan pengalaman melaksanakan halangan ‘Timolop’ dan ‘Timolop Lolobuhon’.

“Semasa melakukan aktiviti tersebut iaitu masuk ke kolam kerbau dan satu lagi berenang di dalam kolam kerbau, rasanya macam hendak duduk lama-lama di kolam tersebut kerana agak sejuk dan dapat menghilangkan penat saya,” katanya sambil ketawa.

Dalam pada itu, guru SMK Sikuati, Kudat itu, turut berazam untuk menyertai aktiviti yang sama pada tahun hadapan dalam kategori Elit dan berhasrat untuk menganjurkan beberapa aktiviti yang sama di sekolah beliau betugas.

Bagi pemenang tempat kedua kategori Elite Lelaki, Aizan Sofizan Ahmad, 22, pengalaman pertama kali menyertai acara ini ialah sesuatu yang membanggakan.

aktiviti Manaan atau Mengangkat Kayu

Manaan atau Mengangkat Kayu

“Saya langsung tidak menyangka akan mendapat tempat kedua dalam kategori Elite Lelaki memandangkan peserta yang menyertai tidak kurang hebatnya.

“Pengalaman sebagai penonton tahun lepas memberikan kelebihan kepada saya untuk melihat serba sedikit tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Walaupun halangannya agak berbeza dengan tahun lepas namun tetap memberi panduan kepada saya,” katanya.

Aizan turut berkongsi pengalaman tentang halangan terbesarnya dalam acara berkenaan.

“Halangan paling mencabar apabila terpaksa berjalan menggunakan buluh untuk sampai ke garisan penamat.

“Pada ketika itu, tenaga hampir habis dan kaki juga ada sedikit lemah, jadi saya kuatkan mental untuk meneruskan cabaran tersebut dan syukur saya dapat menghabiskan acara berkenaan dalam masa 22:06:7,” jelasnya.

Sungkadon Obstacle Sprint Run merupakan sukan larian berhalangan yang dianjurkan oleh Casero Event bermula pada 2016 yang terbahagi kepada dua kategori, Elite dan Fun Run.

Salleh (lima dari kiri) bersama Johnny (empat dari kiri) dan Steve (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama para pemenang.

Salleh (lima dari kiri) bersama Johnny (empat dari kiri) dan Steve (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama para pemenang.

Menurut Pengarah Urusan, Casero Event, Steve Johnny Mositun acara Sungkadon Obstacle Sprint Run agak berbeza dengan acara-acara yang dianjurkan sebelum ini.

“Yang menariknya, bagi kategori Fun Run peserta dikehendaki berlari dan membuat semua aktiviti atau halangan secara berkumpulan berbanding dengan kategori Elite merupakan pertandingan merebut tempat atau nombor kedudukan.

“Kita dapat lihat setiap kumpulan Fun Run perlu berkerjasama dan menyokong antara satu sama lain.

“Di situ keseronokan menyertai kategori Fun Run berbanding dengan kategori Elite yang lebih serius.

“Kita mengharapkan lebih ramai lagi penyertaan daripada peserta-peserta luar Sabah untuk menonjolkan daerah Papar ini sebagai salah satu destinasi Pelancongan Sukan di negeri ini,” ujarnya.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Timbalan Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Johnny Mositun.

SF

Tinggalkan komen anda