Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Latihan SOP Cegah Kebakaran Tanah Gambut

By 11 April 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Mohd Hanif Ahmad / Foto: Mohd Zahairi Ahmad Zabidi (Mersing)

MERSING 11 April (Malaysiaaktif) – Bagi menguji tahap kesiapsediaan agensi-agensi terlibat dalam menangani kebakaran di tanah gambut pada musim panas dan kering, latihan uji cuba prosedur operasi standard (SOP) telah dilaksanakan, di sini semalam.

Latihan anjuran Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor ini telah dilaksanakan berikutan insiden kebakaran Hutan Simpan Gunung Arong di Tanjung Resang pada 17 April tahun lalu.

Ketua Kampung Air Papan yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Mohamed Asri Jaafar memaklumkan latihan ini adalah amat berguna kepada dirinya.

“Kebakaran Hutan Simpan Gunung Arong tahun lalu telah membuka mata banyak pihak tentang pencegahan kebakaran tanah gambut dan langkah-langkah yang perlu diambil,” kata Asri.

20170410_101149

Menurut Ketua Zon 2 Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Al Hasra Mohamed, sifat tanah gambut yang mempunyai bahan organic yang tinggi menjadikan kawasan tanah gambut mudah terbakar dan sukar dipadamkan pada musim panas dan kering.

“Tanah gambut secara semula jadinya mempunyai kandungan kelembapan yang tinggi. Penerokaan kawasan tanah gambut bagi tujuan pembangunan guna tanah secara tidak terkawal berpotensi menyebabkan kehilangan kandungan air dari kawasan gambut.

“Kebakaran yang berlanjutan akan menyebabkan fenomena jerebu setempat dan boleh menjejaskan kesihatan,” ujar Hasra.

Tambah Hasra yang juga merupakan Komander Operasi latihan uji cuba ini, masalah utama pemadaman kebakaran tanah gambut ialah pencarian sumber air di sekitar lokasi kebakaran.

“Melalui latihan ini penyelarasan antara jabatan-jabatan kerajaan dapat dibuat bagi memastikan tindakan pemadaman yang lebih tersusun dan berkesan apabila berlakunya kebakaran.

“Bekalan air melalui Check Dam dan Tube well yang telah dibina oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia telah membantu pasukan Bomba untuk memadamkan kebakaran tanah gambut ini,” jelasnya.

20170410_101905

Hasra turut menasihatkan orang awam agar tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka sesuka hati, terutamanya ketika cuaca panas.

Majlis perasmian latihan ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat.

– AH

Tinggalkan komen anda