
Laporan dan foto oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
PUTRAJAYA, 11 Apr (Malaysiaaktif) – “Pemaju akan menanggung kos guaman untuk surat perjanjian sewa-beli, kos duti setem ke atas memorandum pindah milik dan menanggung kos penyelenggaraan dalam tempoh setahun pemilikan”.
Demikian kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Unit RUMAWIP Residensi Rimbunan di Menara Seri Wilayah di sini pagi tadi.
Ku Nan turut menjelaskan projek kelima RUMAWIP ini yang dibangunkan oleh Kumpulan I&P membuktikan inisiatif pihak swasta untuk bekerjasama dengan kementerian dalam menyediakan rumah mampu milik kepada golongan yang memerlukan.
“Projek 20 tingkat yang terdiri daripada 272 unit berkeluasan 829 kaki persegi ini dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu tempat letak kereta ini dijual dengan harga kurang RM300 ribu.
“Projek yang dijangka siap pada 2020 ini merupakan contoh terbaik untuk memberi peluang kepada masyarakat berpendapatan sederhana dan sederhana rendah untuk menikmati kehidupan berkualiti di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pemohon yang berjaya, Nor Sheila Ahmad, 32, menganggap kini bukan senang untuk mendapatkan tawaran untuk membeli rumah di Kuala Lumpur.
“Saya rasa lega sebab bukan senang nak dapat rumah di Kuala Lumpur. Residensi Rimbunan ini pada saya memang mampu milik oleh sebab terletak di lokasi yang strategik.
“Saya dah 27 tahun menetap di Sri Petaling. Memang serba-serbi senang. Sekolah, LRT (Sistem Aliran Transit Ringan), akses kepada lebuh raya utama seperti KESAS, NPE, MRR2 dan MEX selain ada masyarakat yang majmuk,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang bapa Tee Hiap Le, 60, yang mewakili anaknya Tee Wei Kang, 27, menganggap projek Residensi Rimbunan ini dianggap murah berbanding harga pasaran semasa.
“Sebagai pembeli rumah pertama, anak saya cukup bertuah kerana rumah ini lokasinya memang strategik. Berdekatan pula dengan rumah kami di Bukit Jalil.
“Fasiliti asas yang ada seperti dewan serba guna, ruang kedai serta taman permainan memang cukup untuk keperluan anak saya.
“Harga pada saya murah berbanding pasaran semasa. Lebih-lebih lagi lokasinya di Sri Petaling,” ujarnya yang baru bersara.
Sehingga Mac 2017, projek RUMAWIP telah berjaya mencapai 70% sasaran iaitu 55,609 unit berbanding 80,000 unit yang ditetapkan menjelang 2020.
–SF