Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pondok EduTourism Sumber Dana SK Sayap

By 7 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan & Foto:  Fauzrina Hj Bulka (Sabah)

KOTA BELUD, 7 Apr (Malaysiaktif) – “Idea projek EduTourism ini tercetus ketika Guru Besar bercadang untuk mengadakan pertandingan pondok keceriaan. Kebetulan saya pernah membaca buku jurnal tentang pelancongan, maka terdetik mencadangkan pembinaan pondok yang boleh dijadikan produk pelancongan berunsurkan pendidikan.”

Demikian kata Timbalan Pengerusi EduTourism, Bonifice@ Doni Jiran semasa pelaksanaan projek EduTourism Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)  di Sekolah Kebangsaan Sayap pada Khamis.

Projek yang mengambil masa selama dua bulan setengah untuk disiapkan hasil kerjasama seramai 80 ahli PIBG di sekolah berkenaan berjaya menyumbang dana pendidikan kepada para pelajar.

Bonifice turut menjelaskan projek yang memaparkan kepelbagaian tema dan fungsi ini merupakan berkat kerjasama dan tanggungjawab semua ahli

“Saya terharu dengan komitmen daripada ibu bapa yang kebanyakannya adalah daripada kalangan petani yang datang hampir setiap petang ke sekolah menyiapkan projek pondok tersebut.

“Kerjasama yang ditunjukkan ibu bapa terlalu bermakna dan sangat aktif malah yang lebih membanggakan persatuan PIBG turut menyumbang kewangan bernilai RM15,000 untuk menjayakan projek ini,” katanya.

Jelasnya, antara pondok yang dibina adalah seperti Pondok Terbalik, Pondok Tradisional, Taman Inggeris, Taman Motivasi, Taman Herba dan Taman Botani.

“Hanya dengan bayaran sejumlah RM3 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak, kami yakin projek ini mampu memberi pulangan dana bagi kegunaan pendidikan para pelajar disekolah ini.

Tambahnya lagi, setiap pondok mempunyai keistimewaan tersendiri contoh Pondok Terbalik, terdapat beberapa peralatan alat permainan tradisional seperti Sompoton dan Gugundang, dapur kayu serta peralatan menangkap ikan dan haiwan boleh dilawat di pondok terbabit.

“Manakala bagi Pondok Tradisional pula lebih menunjukkan proses penanaman padi, sementara Taman Inggeris pula lebih memaparkan pendidikan Inggeris yang membolehkan pelajar dapat merasai kehidupan gaya hidup Inggeris.

“Di Taman Botani, para pelajar boleh mempelajari tentang tanaman bunga manakala di Taman Herba pula memaparkan sebuah kebun herba liar yang digunakan oleh masyarakat setempat.

Suzana (kiri) bersama Joel (tengah) dan Samuin (Kanan) menunjukkan beberapa kata-kata motivasi yang terdapat di pondok motivasi.

Suzana (kiri) bersama Joel (tengah) dan Samuin (Kanan) menunjukkan kata-kata motivasi yang terdapat di pondok motivasi.

“Di Taman Motivasi pula lebih memaparkan ayat dan tulisan yang berunsurkan motivasi sebagai pemberi semangat kepada murid-murid serta menanam aura positif dalam diri mereka untuk terus cemerlang dalam semua perkara.

Jelasnya lagi, pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah berkunjung ke EduTourism bagi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penyelidikan baru-baru ini.

“Selain itu, EduTourism ini turut dilawati para pelajar dari Australia yang melancong ke sini setelah mengetahuinya melalui promosi yang kami lakukan di laman sosial Facebook dan Twitter,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi PIBG SK Sayap, Joel Yangkat berkata sebagai ahli, kami faham matlamat dan tanggungjawab menjadi rakan kongsi membantu membangunkan sekolah untuk lebih berjaya.

“Sebagai ibu bapa kami menyokong penuh cadangan untuk membina pondok-pondok ini yang turut dijadikan sebagai produk pelancongan di kampung Sayap.

“Kesan daripada pembinaan projek ini banyak memberi manfaat kepada pelajar selain dapat menyumbangkan hasil pendapatan kepada persatuan sebagai bantuan dana pendidikan kepada pelajar.

Katanya, diharap para pelajar turut belajar menghargai usaha sama ibu bapa dan guru ini untuk memastikan para pelajar dapat belajar dengan lebih baik dan selesa.

Dalam pada itu, Guru Besar, SK Sayap, Damirin@ Suzana Simbeh berkata sejak projek ini siap terdapat perubahan ketara yang ditunjuk oleh para pelajar.

“Para pelajar kelihatan lebih gembira, seronok dan bangga dengan kewujudan EduTourism di sekolah ini. Projek ini sememangnya merupakan idea yang luar biasa lebih-lebih lagi kepada sebuah sekolah yang berstatus luar bandar (pedalaman).

“Kami amat mengalu-alukan kehadiran pelbagai pengunjung untuk datang ke sekolah ini untuk merasai sendiri hasil bina para ibu bapa dan guru selain turut berkunjung ke kampung ini khususnya.

Menurut Suzana lagi, selain sesuai dijadikan sebagai tempat pembelajaran,projek ini turut membantu memberikan inspirasi kepada pengunjung selain ketenangan dan keselesaan melihat kepelbagaian jenis tanaman di sini.

“Saya sendiri sering ke pondok-pondok ini dan tidak pernah rasa jemu dan bosan malah merasa ingin mengabadikan kenangan apabila berada di pondok berkenaan.

“Pengunjung juga boleh berkongsi maklumat pembinaan pondok ini untuk dilaksanakan di tempat mereka semoga perkongsian itu nanti mampu memberi inspirasi dan cetusan idea kepada semua yang berkunjung ke pondok ini,” ujarnya.

-SF

Tinggalkan komen anda