Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Usaha Ke Arah Membina Generasi Al-Quran

By 6 April 2017Tiada komen5 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan / foto oleh Hj. Noor Zaini Ali

MELAKA, 6 Apr (Malaysiaaktif) – Bagi mengekalkan penghayatan al-Quran dalam kehidupan, kita perlu sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap Muslim.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Hijr ayat 9 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurutkan al-Quran, dan Kamilah yang memmelihara dan menjaganya.”

Rasulullah SAW juga menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalaminya  dari segi bacaannya. Para sahabat Radhi Allahu Anhum (RA) seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Ka’ab dan lain-lain lagi, sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat.

Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu yang mewajibkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu Maghrib secara beramai-ramai.

Budaya dan amalan suci murni ini membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran demi membina generasi al-Quran.

Nur Haziqah Anuar

Pelajar jurusan Komunikasi Massa, Kolej Universiti Antarabangsa Nilai (INTI), Nur Haziqah Anuar.

Menurut Nur Haziqah Anuar, 27, pelajar jurusan Komunikasi Massa di Kolej Universiti Antarabangsa Nilai (INTI), generasi al-Quran merupakan generasi yang faham agama dan tidak tenggelam dalam arus kemewahan dan kebendaan.

“Generasi ini dibimbing oleh al-Quran dan dididik dengan nilai kemuliaan dan budi pekerti yang luhur seperti yang terkandung dalam ajaran Islam. Mereka ini sebagai pembina tamadun yang mampu menghayati kerohanian Islam secara dinamik dan positif,” ujarnya yang ditemui di Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1438H/2017M.

Manakala, Pegawai Farmasi di Hospital Muar, Ahmad Huzaifah, 28, berpendapat generasi al-Quran adalah generasi yang berjaya membentuk dan menanam unsur-unsur takut kepada Allah, membina jiwa berani, merdeka dan bebas, matang dalam memberikan buah fikiran dan membuat keputusan, sentiasa melahirkan idea-idea yang bernas dan membina.

“Pemikiran yang bersifat menyeluruh akan membentuk minda yang sempurna dan bijaksana di samping memantapkan keimanan. Minda yang positif bersikap tidak putus asa terhadap rahmat Allah, tidak sombong dan tidak lupa diri apabila diberi kejayaan, kerana meyakini itu adalah dari Allah SWT, dan inilah minda ‘Quranik’.

Ahmad Huzaifah Pegawai Farmasi Hospital Muar

Pegawai Farmasi Hospital Muar, Ahmad Huzaifah.

 

“Minda yang mempengaruhi pembentukan akhlak yang tinggi, melahirkan semangat pengorbanan dan tidak pentingkan diri sendiri dan generasi ini juga akan menguruskan perubahan yang berlaku dalam masyarakat kita berasaskan kepada pembangunan insan dan roh Islam,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang Pensyarah Jurusan Kejuruteraan di Universiti Malaysia Pahang, Mohd Azri Hizami Rasid, 31, menyatakan walaupun dia berada dalam jurusan kejuruteraan, dia telah membuat kajian bahawa generasi ini perlu dibina melalui didikan dan tarbiyah yang mengetengahkan konsep lima (5) “M” iaitu:

 

Pertama: Membaca al-Quran pada setiap masa. Banyak hadith-hadith yang menjelaskan kedudukan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Kedua: Menghafaz al-Quran bagi membina kekuatan minda dan membentuk benteng ketahanan rohani yang tinggi di dalam diri seseorang penghafaz Al-Quran. Ia dibuktikan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia.” Lalu mereka bertanya: “Siapakah mereka, Ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat dan orang-orang pilihannya.”

Ketiga: Memahami dan menguasai al-Quran dengan sebaik mungkin untuk dijadikan sumber rujukan dan pedoman utama segenap bidang kehidupan.

Keempat: Menghayati idea-idea dan pengajaran baik yang terkandung dalam al-Quran.

Kelima: Mempelajari keindahan dan ketinggian kalamullah yang tiada tolok bandingnya di dalam Al-Quran.

 

“Dalam merealisasikan generasi Al-Quran ini, maka sudah pasti ianya tidak dapat dipisahkan dengan tuntutan keilmuan samaada sudut dari akidah, syariat dan akhlak, kuhsusnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat,” ujarnya lagi.

Dr Mohd Azri Hizami

Pensyarah Jurusan Kejuruteraan di Universiti Malaysia Pahang, Dr. Mohd Azri Hizami. / Gambar ihsan: Dr. Mohd Azri Hizami.

MTHQK, yang merupakan program tahunan, dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran yang mendalam terhadap penghayatan Islam secara menyeluruh dalam kalangan umat Islam terhadap al-Quran.

Tahun ini merupakan kali keempat Negeri Melaka dipilih sebagai tuan rumah bagi MTHQK. Pertama kali dipilih pada tahun 1984, seterusnya tahun 1988, di Stadium Kubu (kini dikenali sebagai Stadium Hang Tuah) di Jalan Hang Tuah, dan kemudian pada tahun 2007 di Dewan MITC.

MTHQK 2017 yang berlangsung selama tujuh hari bermula 2 hingga 8 April ini menyaksikan negeri Melaka menjadi tuan rumah bertempat di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini.

Majlis ini merupakan anjuran secara bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kerajaan Melaka dan beberapa Jabatan dan Agensi Kerajaan di Peringkat Persekutuan dan Negeri melalui kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

 

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda