Skip to main content
Berita TempatanSabah

PMR, Mini UTC Pilihan Masyarakat

By 8 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan: Noorayah Ganipin & Chang Mui Fui / Foto: Mohd Sabri Sailus (Sabah)

KOTA KINABALU, 8 Apr (Malaysiaktif) – Kewujudan bangunan perpustakaan Negeri dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dilihat sebagai suatu kemudahan terbaik perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat.

Namun, kombinasi gabungan Perpustakaan dan UTC sesuatu yang tidak mustahil tetapi tetap berlaku tanpa sedar dalam perkhidmatan awam di negara ini.

Situasi santai dan selesa di pusat PMR.

Situasi santai dan selesa di PMR.

Pusat Maklumat Rakyat (PMR) kelolaan Jabatan Penerangan (Japen) dianggap sebagai sebuah mini UTC dan Perpustakaan Negeri oleh kalangan pengunjung yang mendapatkan khidmat di pusat terbabit.

Pengunjung, Clarylisa Pinus, 19, dari Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu berkata dia mengetahui adanya PMR ini melalui rakan ketika melakukan tugasan sekolah yang memerlukan Internet.

“Terlalu susah untuk mencari khidmat siber yang selesa untuk perbincangan bersama rakan menyiapkan tugasan.

“Perkhidmatan kafe siber di Kota Kinabalu lebih banyak menawarkan khidmat permainan video berbanding penggunaan khusus menyiapkan tugasan kerja sekolah.

“Ketika itulah saya dimaklumkan PMR di Japen Kota Kinabalu ialah lokasi sesuai kerana bukan sahaja menawarkan khidmat komputer yang dilengkapi kemudahan Internet malah menawarkan pelbagai bahan bacaan semasa secara percuma.

“Perkhidmatan yang terdapat di pusat terbabit seolah-olah seperti berada di UTC kerana jika UTC kita boleh berurusan dengan pelbagai jabatan dalam satu bangunan tetapi di PMR kita seperti turut berada di sebuah perpustakaan lengkap dengan pelbagai maklumat yang boleh diperoleh,” jelasnya.

Pengunjung Lailah Elok ketika sempat ditemubual semasa hadir kali pertama mengunjungi PMR tersebut.

Pengunjung Lailah Elok ketika sempat ditemubual semasa hadir kali pertama mengunjungi PMR tersebut.

Sementara itu, seorang kakitangan awam, Laila Elok berkata kunjungan ke pusat maklumat rakyat ini adalah atas makluman pusat berkenaan memberi khidmat edaran poster pemimpin di negara ini seperti poster Perdana Menteri dan sebagainya.

“Kehadiran ini merupakan yang pertama dan merasa cukup selesa dengan layanan mesra dan tidak sangka kerajaan ada menyediakan pusat seperti kafe siber yang lebih selesa serta persekitaran lebih sesuai kepada para belia.

Katanya lagi, belia dan masyarakat seharusnya menggunakan kepelbagaian kemudahan ini sebaiknya.

“Pelajar terutamanya, adanya PMR ini dilihat lokasi terbaik bagi mengadakan perbincangan tugasan sekolah malah para pelajar institut pengajian tinggi juga boleh menggunakan perkhidmatan di sini bagi menyiapkan kajian atau penyelidikan yang memerlukan penggunaan komputer secara percuma.

Antara pengunjung yang hadir untuk mendapatkan bahan penerbitan dan bacaan di pusat terbabit.

Antara pengunjung yang hadir untuk mendapatkan bahan penerbitan dan bacaan di pusat terbabit.

Tambahnya, masyarakat mahupun belia boleh menjadikan pusat ini sebagai suatu lokasi untuk mengetahui kebenaran sesuatu berita atau perkara tersebut kerana pusat ini turut menyediakan laman sesawang Facebook sebagai medium penyampaian maklumat sahih.

Dalam pada itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Inanam, Sapiah Sadat, ketika berkunjung ke pusat tersebut turut berkata pusat maklumat ini sebenarnya telah diketahui lama dan kerap mengunjunginya kerana terdapat banyak bahan bacaan yang boleh diperoleh secara percuma.

“Sebagai guru penyelaras Kelab 1Malaysia di sekolah, saya sering mendapatkan bahan bacaan di pusat tersebut dalam kuantiti yang banyak untuk dijadikan bahan rujukan dan pembelajaran terutama mata pelajaran bahasa Malaysia.

Sapiah ditemui ketika mengadakan lawatan ke Pusat Maklumat Rakyat berkenaan pada Rabu.

Bagi Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Suwadi Guliling ketika ditemui wartawan Malaysia Aktif berkata, PMR merupakan hub maklumat yang beroperasi di setiap Pejabat Penerangan seluruh daerah sebagai titik fokus maklumat dan informasi kepada rakyat.

“Perkembangan teknologi dan kepantasan penyebaran maklumat kini memerlukan fungsi PMR dipelbagaikan, suntikan ke arah mencari horizon baharu sebagai penanda aras transformasi berperingkat pusat berkenaan.

“Pusat ini akan terus dipertingkat keupayaannya terutama dalam kebolehcapaian maklumat berkaitan pelbagai agensi kerajaan secara lebih meluas kepada masyarakat.

“Tidak mustahil jika suatu hari pusat berkenaan turut menawarkan khidmat penjualan atau pembayaran beberapa urusan yang difikirkan perlu bagi memudahkan urusan rakyat seharian,” jelasnya.

Pegawai Penerangan Bahagian, Peter Tong berkata pusat berkenaan sedang merangka melaksanakan pelbagai program antaranya Hari bersama PMR, Cari harta karun, pertandingan swafoto, pidato spontan dan pelbagai lagi aktiviti sebagai usaha menarik masyarakat dan belia khususnya hadir ke pusat berkenaan.

SF

Tinggalkan komen anda