Skip to main content
Berita TempatanSabah

Mahligai Impian Arbayah Menjelang Aidilfitri

By 23 Mei 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Abdul Sani Ariff Lokman (Sabah)

SANDAKAN, 23 Mei (Malaysiaktif) – Perasaan sayu, gembira, sedih yang bercampur-baur dirasai oleh Arbayah Sabran, 36, apabila dia menerima bantuan untuk membaik pulih rumahnya yang terbengkalai sejak hampir setahun.

“Tragedi itu berlaku pada hari raya tahun lepas apabila rumah ibu saya terbakar akibat litar pintas, lebih malang lagi kayu-kayu untuk membuat rumah saya diletak di bawah rumah ibu turut terbakar,” jelas Arbayah yang ditemui semasa Program Menghubung dan Menyatu (CTU) di Kampung Rancangan Luboh, Peringkat 6, pada Sabtu.

Rentetan kejadian itu, saudaranya bermurah hati untuk menumpangkan rumah mereka sebagai tempat berlindung enam beranak tersebut sehingga mereka mendapat rumah baharu.

Arbayah bersama anak-anaknya Rumah Saudara yang ditumpangi Arbayah sekeluarga hampir setahun lalu hingga kini

Arbayah bersama anak-anaknya yang menumpang di rumah saudaranya sejak setahun lalu.

Menurutnya, selama hampir setahun itu jugalah dia dan suami Azwan Des Mat Usop, 33, memohon daripada pelbagai agensi untuk bantuan membaik pulih rumahnya namun belum mendapat sebarang maklum balas.

“Mujur beberapa hari lalu ada pihak yang datang bertanyakan tentang masalah saya, dan sepantasnya mereka menghantar  kayu kayan dan zink ke sini dan dimaklumkan projek akan dijalankan secepatnya,” ujar Arbayah.

Arbayah yang mempunyai empat orang anak yang berusia antara tiga hingga 10 tahun hanya bergantung pada pendapatan suami yang bekerja membantu ayahnya di ladang kelapa sawit.

“Pendapatan juga bergantung kepada hasil jualan, jika banyak hasilnya, maka banyaklah upah yang diberi, namun kami tidak pernah putus bekalan makanan kerana keluarga dan jiran sering menghantar makanan untuk kami,’ jelasnya.

Tambahnya, dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia yang diterimanya, dapatlah dipenuhi sedikit sebanyak keinginan anak-anak dan sesekali dijadikan modal berniaga dalam program yang sesekali dianjurkan di kampungnya.

“Bagi menghadapi Ramadan yang bakal menjelang beberapa hari lagi, saya dan suami hanya akan menyediakan juadah berbuka ala kadar sahaja, tapi di kampung ini, jiran-jiran masih lagi amalkan budaya bertukar juadah berbuka jadi kami akan menikmati menu yang pelbagai,” ujar Arbayah yang merupakan anak jati Kampung Rancangan Luboh.

Juslie (dua dari kanan) dan Suwadi (lima dari kiri) ketika hadir ke rumah Arbayah menyampaikan sumbangan peralatan baiki rumahnya semasa pelaksanaan program CTU pada Sabtu.

Juslie (dua dari kanan) dan Suwadi (lima dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan peralatan membaiki rumah semasa program CTU pada Sabtu.

Walaupun impiannya untuk berpindah ke kediaman sendiri menjelang Aidilfitri nanti namun dia reda jika terdapat kekangan waktu jika rumahnya tidak sempat disediakan.

“Teringin juga menghias rumah sendiri, dan masak makanan kegemaran anak-anak pada hari raya pertama, tetapi semua bergantung dengan tempoh masa rumah dapat disiapkan, kalau tidak sempat kami sambut ala kadar sahaja,” ujarnya.

Menurutnya, rumah yang hendak dibina itu tidaklah sebesar mana, hanya mempunyai satu bilik berserta dapur dan tandas dan ruang tamu kecil untuk mereka anak-beranak bersantai.

Arbayah turut berharap jika ada pihak-pihak lain yang sudi untuk menyumbangkan peralatan membuat kuih kering untuk kegunaannya seperti pengisar dan ketuhar.

“Saya berhasrat untuk berniaga kuih kering dan memasarkannya di kedai-kedai untuk menambah pendapatan keluarga namun kekurangan peralatan untuk membuatnya,” kata Arbayah.

Program CTU yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan diselaraskan oleh Jabatan Penerangan merupakan salah satu program di bawah Strategi Lautan Biru Nasional (National Blue Ocean Strategy) yang melibatkan pelbagai agensi.

CTU berfungsi untuk mendekatkan rakyat di luar bandar dengan agensi-agensi kerajaan melalui komunikasi bersemuka, meningkatkan kualiti pencapaian maklumat agensi kerajaan ke arah yang lebih efisien serta mewujudkan hubungan kerjasama, berkongsi perkhidmatan dan fungsi agensi kerajaan untuk faedah rakyat khususnya di kawasan pedalaman.
-SF

Tinggalkan komen anda