Skip to main content
Berita TempatanSabah

Bekas Pesakit Jantung Kanak-Kanak Kini Lebih Aktif

By 23 Mei 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Vicky Sylvester Matanjang (Sabah)

KOTA KINABALU, 23 Mei (Malaysiaktif) – Tiada ungkapan yang dapat diberikan selain ucapan terima kasih oleh pasangan suami isteri, Siti Noreha Ibrahim, 34 dan Jafarlie Matusin, 35 selepas anaknya Siti Nurnafisyah, 4, yang menghidap penyakit jantung berlubang kini menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

Siti Noreha ketika ditemui pemberita melahirkan perasaan bersyukur kepada pihak-pihak yang telah membantu membuat pembedahan jantung anaknya di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu (Gleneagles KK).

“Selepas perbincangan, dalam masa dua minggu kami telah mendapat keputusan dan dalam masa sebulan, Siti Nurnafisyah telah menjalani pembedahan, dan syukur kini dia bermain aktif dan lasak bersama adiknya, Siti Nurnazihah, 2 tahun,” katanya gembira

Siti Nurnafisyah merupakan pesakit kanak-kanak pertama yang menjalani pembedahan jantung oleh pakar jantung kanak-kanak di hospital berkenaan pada 2016 dengan dana yang diperoleh daripada Khazanah Malaysia.

Tetamu kehormat bergambar bersama pesakit jantung kanak-kanak pertama yang menjalani pembedahan di Gleneagles KK

Tetamu kehormat bergambar bersama pesakit jantung kanak-kanak pertama yang menjalani pembedahan di Gleneagles KK

Mereka ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Kedua Hari Terbuka Gleneagles Kota Kinabalu (Gleneagles KK) di Plaza Central Riverson di sini pada Ahad.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles KK, Jean Francois Naa, program berkenaan dianjurkan bagi mengutip dana menyokong dan membantu Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah (SOSHF) dalam usaha tanggungjawab sosial hospital berkenaan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Sementara itu, Presiden SOSHF, Datuk Christine Vanhouten berkata, sejak penubuhan persatuan berkenaan pada 1981, seramai 636 pesakit berusia seawal dua bulan hingga 71 tahun telah berjaya dibantu oleh persatuan berkenaan.

“Pada tahun ini kita menyasarkan sebanyak 17 kes untuk dihantar bagi menjalani pembedahan dan sejak Januari, lima pesakit telah berjaya dibantu oleh SOSHF.

“Jika dahulu, pesakit dihantar menjalani pembedahan di Singapura, Institut Jantung Negara, Hospital Adventist Penang, Gleneagles Kuala Lumpur, Filipina dan Australia kini pesakit-pesakit jantung boleh mendapatkan rawatan dan pembedahan di Hospital Queen 1 dan terkini di Gleneagles KK,” katanya.

Christine turut memaklumkan, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah juga telah menjalankan kerjasama dengan Hospital Sejong, Korea melalui program International Food For The Hungry Humanitarian Project untuk mengenal pasti pesakit yang memerlukan bantuan menjalani pembedahan jantung di Korea.

“Sejak 11 tahun lepas, 134 orang pesakit telah menjalani pembedahan jantung percuma dengan tajaan Hospital Sejong Korea dan pihak kami menanggung kos tiket kapal terbang, insurans, duit perbelanjaan dan lain-lain kos pesakit.

“Selain itu, kami juga menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kepenggunaan dalam usaha membantu pesakit-pesakit jantung di negeri ini,” tambahnya.
-SF

Tinggalkan komen anda