Skip to main content
Home

Serunding Lumek Salai Inovasi Terbaharu Dari Sarawak

By 23 Mei 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

KUCHING, 23 Mei (Malaysiaaktif) –Menggandingkan konsep makanan yang sihat dan enak dengan teknik masakan dan pembungkusan serunding berasaskan sumber ikan lumek salai yang didatangkan khas dari perkampungan laut Pulau Bruit, Sarikei, melayakkan tiga sahabat bergelar inovator akar umbi dari Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Mereka ialah Norshafiza Zakaria, Nurul Dafiqah Kamarudin dan Shafrine Mohd Morshidi yang mula mencuba inovasi Serunding Lumek Salai dari Sarawak ini dengan bermodalkan tiga ribu ringgit.

Norshafiza Zakaria bersama-sama produk perusahaannya.

Norshafiza Zakaria bersama-sama produk perusahaannya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YIM,  Tany Anthony Kiob, projek ini merupakan rancangan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dalam membantu memasarkan produk komuniti Sarawak dan secara tidak langsung menjadi produk pelancongan.

“Antara lain ialah untuk mengetengahkan makanan ikan lumek sebagai salah satu produk Sarawak seperti Kek Lapis, Ikan Terubuk Masin, Umai dan lain-lain serta untuk mengkomersialkan ikan lumek salai dengan inovasi serunding supaya makanan ini dapat diterima ramai.

“Di samping itu juga kami berhasrat untuk mempelbagaikan alternatif makanan berasaskan ikan lumek dan memanfaatkan golongan nelayan dan penduduk setempat dengan mempelbagaikan makanan yang berasaskan ikan lumek ini,” katanya lagi.

Lumek salai banyak didapati di Sarawak dan secara tidak langsung produk ini membantu menjana pendapatan penduduk atau nelayan di Sarawak.

Menurut Pengurus Serunding Lumek Salai, Norshafiza Zakaria, ini merupakan idea mereka sendiri dalam menghasilkan inovasi Serunding Lumek Salai yang berasaskan hasil laut.

“Serunding ini merupakan sejenis masakan yang dibuat dengan rempah dan dimasak sehingga kering, agar tahan lama. Antara serunding yang biasa dijual di pasaran adalah serunding daging, ayam, ikan, udang dan ikan bilis.

Norshafiza (kiri) semasa menerima geran RM30,000 daripada Yayasan Inovasi Malaysia, Tany Anthony Kiob (tengah).

Norshafiza (kiri) semasa menerima geran RM30,000 daripada Yayasan Inovasi Malaysia, Tany Anthony Kiob (tengah).

“Walaubagaimanapun ikan lumek belum pernah digunakan sebagai serunding dan masih belum ada di pasaran, ujarnya yang ditemui di rumahnya.

“Memandangkan kumpulan kami dikira berjaya dalam inovasi makanan, pihak YIM memilih kami sebagai Inovator Akar Umbi yang terpilih mendapat bimbingan dan bantuan pembangunan dengan nilai RM30,000.00,” katanya lagi.

Serunding yang dibotolkan ini boleh terus dimakan tanpa perlu dimasak semula dan sekaligus menjimatkan masa pengguna.

Kaedah penyediaan serunding ini dibuat secara tumis dan bakar untuk tahan lama. Inovasi ini juga dibuat sebagai alternatif kepada makanan berasaskan ikan lumek kerana wajah dan bentuk fizikal ikan ini menyebabkan sesetengah masyarakat tidak gemarkannya.

“Memandangkan ikan lumek salai dijual secara kecil-kecilan oleh nelayan dan penduduk kampung dan belum dikomersialkan maka kami timbul idea untuk menginovasi ikan tersebut,” jelasnya lagi.

Menurut Norshafiza, kesan inovasi ini bagi penduduk setempat telah membantu mereka menjana pendapatan terutamanya nelayan dan pengusaha ikan lumek salai.

Inovasi ini juga telah dapat mengurangkan pembaziran pembuangan ikan lumek segar yang terlalu banyak.

Azlina Pon, 42, peminat serunding lumek salai menyifatkan serunding ini cukup sedap dan harganya pula berpatutan, serta tidak menyangka bahawa ikan lumek boleh dibuat sebegini.

-SH

Tinggalkan komen anda