Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Masyarakat Orang Ulu Catat Rekod Tikar Rotan Terpanjang Di Dunia

By 9 Mei 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh : Mohd Baharruddin Mohamad / Jaed Tepus (Kuching)

KUCHING, 9 Mei (Malaysiaaktif) – Tikar rotan terpanjang di dunia dihasilkan oleh komuniti Orang Ulu dari kawasan Sg. Asap, Murum, Belaga dan Telang Usan, Baram yang berukuran 1,128.272 meter panjang dan 28 sentimeter lebar telah berjaya memecah Rekod Dunia Guinness.

Tikar tersebut dihasilkan oleh lebih 400 penganyam tikar wanita daripada komuniti orang ulu dan menyiapkan anyaman tersebut dengan mengambil masa selama lapan bulan bertempat di rumah panjang mereka.

Tikar sepanjang 1.2km berjaya memahat nama Sarawak di dalam Rekod Dunia Guinness

Tikar sepanjang 1.2km berjaya memahat nama Sarawak di dalam Rekod Dunia Guinness

Acara ini dianjurkan oleh pertubuhan wanita Belaga iaitu Peng Doh Belaga dan ditaja oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam percubaan untuk mengumpul penganyam tikar dari tiga penempatan komuniti untuk menganyam tikar rotan secara serentak untuk digabungkan sebagai simbol berkongsi dan memelihara warisan untuk generasi muda dan masa hadapan orang ulu.

Upacara mengisytiharkan rekod berkenaan disempurnakan oleh hakim Guinness World Record, Rishi Nath di Dewan Masyarakat Sungai Asap, Belaga Sabtu lalu.

“Ini adalah rekod yang dapat dipahatkan untuk Malaysia yang mana sebelum ini hasrat mereka sekadar untuk mencapai anyaman dengan ukuran 1,000 meter tetapi setelah dihakimi oleh Guinness World Record ia mencatatkan 1,128.272 meter, ujar beliau lagi.

“Tahniah kepada penglibatan wanita Peng Doh, Belaga yang mengetengahkan kraftangan unik dari kawasan ini. Terbukti dengan kerjasama SEB serta pihak tertentu termasuk kementerian, hasrat ini menjadi kenyataan,” katanya.

Nancy Lahet, 44, berbangsa Kayan Kenyah berasa cukup bangga atas pencapaian itu sekaligus memahat nama Malaysia di mata dunia.

“Kalau ditetapkan dalam minda untuk berusaha sebenarnya kita boleh melakukannya, sekaligus terima kasih kepada Datin Sri Devong Anyie dengan kepimpinnanya serta semua pihak sehingga usaha ini menjadi kenyataan.

“Kejayaan ini memperlihatkan ikatan komuniti begitu rapat sekali membabitkan etnik dari Belaga, Murum dan Baram,” kata beliau semasa ditemui oleh Malaysiaktif.

Manakala Luhat Ajang berkata kejayaan ini dapat menaikkan nama baik komuniti orang ulu di mata dunia disamping itu dapat mempereratkan lagi kerjasama komuniti orang ulu dalam menjayakan sesuatu yang menakjubkan.

Dalam beberapa temubual dengan peserta yang mengambil bahagian, rata-rata mereka bersyukur dan berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk menghasilkan rekod tersebut. Mereka turut  berharap agar kerajaan dapat terus memberi bantuan khasnya memasarkan hasil-hasil kraftangan mereka pada masa-masa mendatang.

 

-SH

Tinggalkan komen anda