Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Penting Dedah Ilmu Seni Bina Tradisional – Rais Yatim

By 23 Mei 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan: Hamidah Md Drus / Foto: Khairul Nisyak Harun (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 23 Mei  (Malaysiaaktif) – “Ilmu berkaitan seni binaan tradisional perlu terus diperturunkan kepada generasi muda dan dihayati oleh masyarakat seluruhnya.

Demikian kata Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim semasa merasmikan Kem Penghayatan Seni Tradisional (KAST 2017) Negeri Sembilan yang dihadiri lebih 200 orang di Seri Siantan, Kampung Gunung Pasir, Seri Menanti pada Sabtu.

Tambahnya, pendedahan ilmu berkaitan seni bina tradisional, khususnya seni bina tradisional Negeri Sembilan dan masyarakat setempat perlu diteruskan. Kesedaran tentang kepentingan memelihara warisan seni bina tradisonal, terutama berkaitan rumah-rumah pusaka yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu perlu diambil tahu oleh generasi sekarang.

Rais Yatim selepas merasmikan Kem Penghayatan Seni Tradisional (KAST 2017)

Rais Yatim selepas merasmikan Kem Penghayatan Seni Tradisional (KAST 2017)

Sementara itu, Sekretariat Program, Khairul Nisyak Harun berkata KAST 2017 diadakan untuk memberi pendedahan tentang warisan seni bina tradisional kepada para peserta pelajar dan pensyarah jurusan seni bina daripada Universiti Awam dan Swasta serta Politeknik terpilih.

“Ini sejajar dengan resolusi yang telah dicapai menerusi Kongres Budaya 2017 berkaitan usaha pembinaan budaya tinggi daripada kearifan tempatan, khususnya berkaitan seni bina tradisional. Kem kali ini menumpukan kepada seni bina tradisional Melayu Negeri Sembilan yang kaya dengan keunikan dan ketinggian nilai falsafahnya.

“Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah jurusan seni bina diberi pendedahan tentang warisan seni bina tradisional, termasuk perkongsian ilmu berbentuk teori dan praktikal selain memupuk kesedaran tentang kepentingan memelihara dan memulihara warisan seni bina tradisional,” jelasnya.

KAST 2017 anjuran Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pejabat Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia dan Yayasan Warisan Negara merupakan kesinambungan daripada KAST 2015 yang telah berlangsung dengan jayanya di Muzium Warisan Melayu,  (UPM) pada 5 hingga 7 Jun 2015.

Program tersebut telah mendapat pengiktirafan sebagai ‘Projek Jaringan Industri Berimpak Tinggi Terbaik’ oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM.

Sementara itu, penduduk Kampung Gunung Pasir, Muhammad Fadzil Amri, berkata dia amat mengalu-alukan kedatangan pelajar-pelajar jurusan seni bina ini ke kampungnya.

“Seri Menanti memang terkenal dengan istana yang pembuatannya tidak menggunakan sebarang paku. Seni bina rumah Negeri Sembilan juga amat unik. Peserta kem juga sempat membuat lawatan ke rumah Negeri Sembilan abad ke-18 di Ladang Alam Warisan di sini.

“Pelajar jurusan seni bina daripada pelbagai institusi ini membuka dimensi pergaulan yang lebih luas sesama mereka. Setiap peserta disasarkan untuk menjadi duta kecil penyampai aspirasi kelestarian seni bina tradisional di kampus masing-masing,” ujarnya.

KAST 2017 dirangka dengan melibatkan sesi perkongsian teori dan praktis oleh pakar, tokoh jemputan dan juga tidak ketinggalan lawatan tapak serta bengkel khusus secara praktikal pembinaan struktur asas seni bina tradisional Melayu yang menitikberatkan pembelajaran menerusi pengalaman dan latihan praktik yang asas.

Turut hadir Naib Canselor UPM, Prof Dr Aini Ideris.

-SF

Tinggalkan komen anda