Skip to main content
Berita TempatanSabah

‘Toastmaster’ Tingkat Kemahiran Pengucapan Awam

By 23 Mei 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Johny George Kimlon (Sabah)

KOTA KINABALU, 23 Mei (Malaysiaktif) – Aktiviti Toastmaster dapat meningkatkan kemahiran berucap dengan lebih yakin dan menarik di hadapan penonton dalam usaha memupuk sifat kepimpinan dalam diri.

Peserta persidangan, Nabil Abdul Kadir, 21, berkata minat dan usaha untuk membaiki kemahiran diri menjadi punca utama penyertaanya dalam kelab tersebut sejak tiga tahun lepas.

7

Nabil Abdul Kadir.

“Pengalaman tidak dapat menyampaikan pengucapan awam dengan baik menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menyertai Kelab Gavel ketika berusia 17 tahun.

“Dalam kelab tersebut saya diperkenalkan dengan teknik-teknik menyampaikan ucapan dengan lebih berkesan. Syukur selepas tiga bulan menyertai kelab tersebut, saya bertambah yakin untuk bercakap di hadapan orang di atas pentas.

“Bukan itu sahaja,  keyakinan diri saya turut bertambah semasa menghadiri temu duga pemilihan peserta Program Kepimpinan di Singapura baru-baru ini dan penemu duga telah memuji cara saya berkomunikasi kerana nampak lebih menarik dan yakin berbanding lima lagi calon lain.

“Selain itu, pensyarah dan rakan-rakan saya juga tertanya-tanya di mana dan bagaimana saya beroleh kemahiran pembentangan yang berbeza dan lebih menarik daripada rakan-rakan yang lain” terangnya kepada pemberita.

Pelajar jurusan Biomedikal, Universiti Brunei Darusalam itu juga turut menggalakkan remaja-remaja untuk menyertai kelab berkenaan untuk meningkatkan kemahiran diri.

“Anda mungkin merasakan Toastmaster hanya untuk mereka yang berucap di atas pentas, tetapi sebenarnya kemahiran ini tentang komunikasi, kita menggunakan pengucapan awam setiap hari dalam kehidupan kita kepada semua orang.

“Cara kita menyampaikan idea kepada orang lain akan menjadi pengaruh bagaimana mereka melihat anda. Dengan penyampaian yang menarik akan mengubah bagaimana orang lain menerima mesej atau idea tersebut. Tetapi sekiranya kita mempunyai idea yang baik, tetapi cara penyampaian yang salah, ia tidak akan diterima oleh mereka,” kongsinya kepada pemberita.

Sementara itu, bagi Perancang Kewangan, Jade Pang Kim Nyuk, 51, dia mula menyertai Toastmasters Bahasa Mandarin pada 2004 tetapi terpaksa melupakan minatnya atas desakan kerjaya dan memberi tumpuan kepada kursus perancang kewangan yang diikutinya.

Jade Pang Kim Nyuk

Jade Pang Kim Nyuk

“Setelah meninggalkan Toastmaster selama 13 tahun, kini saya kembali semula menyertai kelab ini untuk meningkatkan kemahiran saya dalam pengucapan awam Bahasa Inggeris.

“Saya amat teruja kerana dapat bersama-sama ahli-ahli kelab daripada pelbagai negara untuk bersama-sama berkongsi kemahiran dan pengalaman,” ujarnya gembira.

Ditanya tentang perbezaan pengucapan Bahasa Mandarin dengan Bahasa Inggeris, Jade berkata, apa juga bahasa yang diguna tidak memberi apa-apa perbezaan tetapi bagaimana disampaikan akan memberi impak kepada pendengar.

“Memandangkan saya bukan penutur Bahasa Inggeris, maka saya perlu bermula perkara yang paling mudah seperti memperkenalkan diri, menambah baik teknik vokal dan penghasilan ucapan dan seterusnya kemahiran persembahan,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian persidangan tersebut yang telah dirasmikan oleh Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Seri Panglima Anifah Haji Aman pada Sabtu.

Johan (kiri) menyerahkan cendera hati kepada Anifah (kanan) sambil disaksikan oleh Ivy.

Johan (kiri) menyerahkan cendera hati kepada Anifah (kanan) sambil disaksikan oleh Ivy.

Dalam pada itu, Pengerusi Penganjur Persidangan Tahunan ke-7 Toastmasters International District 87, Johan Amilin, berkata Toastmasters District 87 merupakan sebuah organisasi antarabangsa yang diwujudkan untuk menggilap bakat dan kemahiran pengucapan awam dengan lebih yakin dalam usaha menjadi pemimpin berketerampilan.
“Sebagai ahli Toastmaster International District 87, mereka akan diberi tunjuk ajar bagaimana untuk menulis dan berucap dengan lebih baik, membina keyakinan diri di hadapan orang ramai dan juga seterusnya membuka peluang kepada mereka untuk menjadi seorang pimpinan yang baik.
“Walaupun tunjuk ajar diberikan pada setiap perjumpaan, peserta perlu mengambil inisiatif untuk belajar sendiri dan menerima teguran daripada mereka yang berpengalaman dalam Toastmaster untuk menambah baik kemahiran dalam setiap pengucapan awam mereka,” ujarnya.

Menurut Johan, sehingga kini, District 87 telah mempunyai 166 kelab dengan lebih 4000 ahli yang dianggotai oleh Brunei, Indonesia, Labuan, Sabah dan Sarawak.

Persidangan yang bermula pada 19 hingga 21 Mei itu, disertai lebih 300 peserta termasuk dari Australia, Filipina dan Semenanjung Malaysia.
-SF

Tinggalkan komen anda