Skip to main content
Berita TempatanHomeNegeri Sembilan

Jelajah Ziarah Kasih Manfaat Lebih 130,000 Penerima

By 17 Jun 2017Jun 19th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan / Foto Oleh Daniel Jong (Seremban)

SEREMBAN, 17 Jun (Malaysia Aktif) –“Rembau ialah destinasi kita yang ke-44 daripada 67 lokasi jelajah seluruh Malaysia sehingga memanfaatkan lebih kurang 131,000 orang penerima bantuan seluruh negara.

Demikian kata Pengerusi Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim semasa program Ziarah Kasih Ramadan Al-Mubarak 2017 anjuran Yayasan Tabung Haji, di Rantau Ecopark, hari ini.

Tambahnya, sumbangan sebanyak RM150 ribu disalurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak manakala RM60 ribu lagi daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk parlimen Rembau bagi menjayakan program Ziarah Kasih ini.

Mohamad sedang menyampaikan ucapan perasmian

Mohamad sedang menyampaikan ucapan perasmian

Azeez juga menyeru masyarakat supaya tidak mendengar cakap orang yang mengatakan TH akan bankrap tidak lama lagi.

“Di depan kita, saya jamin TH tidak akan bankrap kerana TH ditubuhkan di bawah Akta Parlimen yang dijamin oleh sepenuhnya kerajaan Malaysia.

“Dakwaan oleh sesetengah pihak bahawa UMNO menggunakan duit Yayasan TH untuk menjalankan program ini sebenarnya adalah fitnah. Sebaliknya, UMNO sendiri turut menyumbang kepada yayasan tersebut untuk menjayakan program Ziarah Kasih ini,” ujarnya.

Pada program tersebut, Azeez turut berkata kerajaan bercadang untuk membina Kompleks Tabung Haji yang dinamakan sebagai Perkampungan Negaraku Malaysia bagi memudahkan pengurusan penginapan haji di Mekah dan Madinah. Katanya lagi, kompleks berkenaan akan dibina di atas tanah yang dianugerahkan oleh kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia.

“Tahun ini sahaja kerajaan telah memberikan subsidi sebanyak RM230 juta untuk seramai 30,200 orang bakal haji dan ini membuktikan dakwaan kerajaan akan bankrap adalah tidak benar.

“Terdapat juga peningkatan kuota Haji sebanyak 8,200 dan menjadikan jumlah kesemua kuota haji sekarang ialah 32,200 orang,” jelasnya.

Salah seorang daripada seramai 1,200 orang penerima, Manisah Embok, 81, melahirkan rasa syukur dengan sumbangan yang diterimanya pada hari ini.

“Bantuan ini adalah kali pertama diterima saya. Baru-baru ini ada juga dapat BR1M dan duit zakat. Alhamdulillah, sumbangan hari ini dapat digunakan untuk beli baju raya untuk cucu-cucu wan,” katanya lagi.

Seorang lagi penerima bantuan, Norhasiah Dolah, 78, turut berterima kasih kepada kerajaan yang sedia ada kerana mengutamakan kebajikan rakyat.

“Gembira sangat hari ini sebab Tabung Haji bagi sumbangan ini. Saya dah tujuh tahun menerima bantuan khas untuk warga tua. Banyak kemudahan saya dapat. Kerusi roda dapat, naik kereta api pun dapat diskaun” tambahnya lagi.

 

-SF

Tinggalkan komen anda